Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kebangkitan Luar Biasa Wanita Malaysia


Dahulu, nama-nama seperti Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aisyah Ghani, Ibu Zain, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara nama wanita yang sering dikaitkan dengan pengorbanan dan sumbangan yang besar dalam memajukan wanita dan negara., kini perjuangan untuk memartabatkan kaum wanita diteruskan oleh generasi pelapis.


Kini, nama besar seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Pusat Negara Malaysia telah menunjukkan ketabahan dan kerja keras menggerakkan ekonomi Malaysia. Beliau telah dipilih sebagai gabenor bank pusat terbaik dunia The Banker, sebuah majalah kewangan terbitan Financial Times of London kerana kejayaannya menerajui usaha pembentukan industri kewangan Islam dan menjadikan Malaysia negara terkemuka dalam industri ini.


Begitu juga dengan Datuk Mazlan Othman, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan Malaysia, yang meletakkan Malaysia dalam peta dunia menerusi bidang sains angkasa yang begitu asing bagi masyarakat negara ini dan dilantik mengetuai Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Kajian Angkasa di Vienna.


Penglibatan wanita dalam bidang perniagaan juga semakin meningkat di mana terdapat ramai kaum wanita yang mencipta nama dalam bidang ini dan turut bersaing dengan kaum lelaki. Nama-nama seperti Datuk Maznah Jalil (Pengarah Eksekutif DRB HICOM), Dr. Zaha Rina Zahari (Ketua Pegawai Operasi) dan Datuk Maznah Abdul Hamid telah masyhur dalam bidang perniagaan dengan menerajui syarikat atau agensi dalam bidang masing-masing dengan jayanya. Tidak kurang hebatnya bagi belia wanita berhati waja, Noor Dina Mohd Tajudin, 26, Pengurus Besar Dazzle Food Enterprise terbabit sebagai pengeluar coklat tempatan milik penuh Bumiputera.


Dalam bidang politik pula kejayaan yang dicapai oleh wanita amat jelas. Kini terdapat ramai wanita yang menyandang jawatan menteri, senator, ahli parlimen, ahli EXCO, ADUN dan sebagainya. Kita berbangga dengan ahli-ahli politik wanita seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berusaha gigih menjaga hak dan kepentingan wanita.


Kita berbangga dengan khidmat dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Datuk Siti Norma Yaakob (Ketua Hakim Malaya), Datuk Siti Maslamah Osman (Akauntan Negara), KLOFFE), Nicol Ann David (Pemain squash) nombor satu dunia,  tidak terkecuali penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza yang mencipta kejayaan luar biasa hanya berbekalkan suara. Di laut, udara, darat dan di mana sahaja wanita terus gagah mencuba.


Dalam hal kebajikan pula Datuk Dr. Jemilah Mahmod dari Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) amat terkenal dalam misi membantu kerja-kerja kemanusiaan. Beliau sanggup bergadai nyawa demi melaksanakan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dunia khususnya wanita dan kanak-kanak. Puan Azah Aziz (Budayawan), Dato’ Noor Faridah Ariffin (Duta Besar Malaysia ke Belanda), Datuk Tom Abang Saufi (pereka fesyen ternama) juga merupakan antara wanita Malaysia yang telah mengharumkan negara dan merealisasikan semangat Wanita Boleh di mata dunia.


Pembangunan negara menyaksikan kehebatan wanita masa kini dengan hampir 70 peratus tenaga kerja negara sekarang bergantung kepada wanita khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Dalam bidang pendidikan misalnya, wanita memonopoli kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi swasta dan kerajaan dengan purata 75 peratus wanita 25 peratus lelaki.


Semarak kejayaan wanita, lebih meluas hingga mempelopori  bidang sains kerana usaha ke arah itu sudah pun bermula. Ini terbukti, di mana sekumpulan tiga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Pensyarah Bioteknologi Pusat Pengajian Sains Hayat, Dr. Rashidah Abdul Rahim, 29, pensyarah patologi tumbuhan, Dr. Latifah Zakaria, 35, dan Faradina Merican Mohd Sidek, 23 pelajar sarjana dalam bidang biologi akuatik.


Siapa sangka tahun ini wanita terus mencatat sejarah gemilang apabila Senior Asisten Komisioner (SAC) II, Nooryah Anvar dilantik memegang jawatan Ketua Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus menjadi wanita pertama di negara ini menyahut cabaran berkenaan.Begitu juga dengan pelantikan Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah selaku Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Datuk Rafiah Salim merupakan sebagai wanita pertama di negara ini memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya.


Sementara seorang lagi, Penjelajah kutub, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, pensyarah Psikologi Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya menakluk Kutub Utara pada 17 April 2007 sekali gus menjadinya sebagai wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan. Semangat dan keazaman penuh membara yang ditunjukkan oleh mereka ini seharusnya dijadikan iltizam buat generasi masa hadapan untuk terus mengorak langkah merintis kecemerlangan.