Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Keperluan Umum Bagi Pensijilan Halal

  • Setiap pengeluar produk/ premis makanan/ rumah sembelih hendaklah mengeluarkan produk halal sahaja.
  • Setiap syarikat yang memohon Sijil Pengesahan Halal hendaklah memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal atau sub-kontraktor yang membekalkan bahan-bahan halal atau mempunyai Sijil Pengesahan Halal.
  • Setiap syarikat hendaklah memastikan prosedur halal dipatuhi dalam segala aspek seperti yang digariskan di dalam Manual Prosedur ini.
  • Syarikat yang disenaraikan dalam kategori Multinasional dan Industri Kecil & Sederhana (IKS) adalah wajib mewujudkan Jawatankuasa Audit Halal Dalaman dan melantik seorang Eksekutif Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) bagi mengendali dan memastikan pematuhan prosedur pensijilan halal.
  • Disyaratkan mempunyai minima dua orang pekerja Muslim yang tetap dan berwarganegara Malaysia di bahagian dapur/ pengendalian/ pemerosesan makanan.
  • Semasa penyediaan, pengendalian, pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal mengikut hukum syarak.
  • Penggunaan peralatan atau kemudahan dalam premis hendaklah bersih dan bebas dari dicemari najis mengikut hukum syarak atau yang memudaratkan kesihatan.
  • Pengangkutan yang digunakan hendaklah untuk produk halal sahaja.
  • Kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan dan syarikat hendaklah mengamalkan amalan pengilangan yang baik (Good Manufacturing Practices).
  • Pekerja hendaklah mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik (Good Hygiene Practices) seperti berikut:
    1. Semua pekerja perlu mendapat suntikan tertentu di mana-mana pusat kesihatan yang diakui oleh kerajaan sebelum dan selepas diambil bekerja;
    2. Semua pekerja hendaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik, terutamanya bagi mereka yang bekerja sebagai operator pengeluaran;
    3. Pekerja yang kurang sihat atau mengalami kecederaan atau luka terbuka yang boleh menjejaskan kualiti sesuatu keluaran tidak dibenarkan bekerja sehingga pulih;
    4. Sentuhan secara terus di antara tangan pekerja dengan bahan mentah dan keluaran separuh siap    hendaklah dihindarkan;
    5.Merokok, makan, minum atau menyimpan makanan, minuman, rokok, ubat dan lain-lain hendaklah dilakukan di kawasan yang dikhaskan dan tidak dibenarkan di kawasan pengeluaran atau mana-mana tempat yang boleh menjejaskan kualiti keluaran;
    6. Semua orang yang hendak masuk ke dalam kawasan pengeluaran mestilah memakai pakaian khas untuk kilang atau pakaian sopan dan bersih (jika tidak ada pakaian khas) mengikut prosedur penjagaan kesihatan dan kebersihan diri termasuk pekerja tetap, pekerja sementara, kakitangan pengurusan, pelawat dan lain-lain;
    7. Pekerja hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan memakai pakaian yang sesuai, penutup kepala dan mulut, sarung tangan dan kasut yang sesuai;
    8. Pekerja hendaklah sentiasa membasuh tangan secara sempurna dengan bahan pencuci yang bersesuaian;
    i. sebelum memulakan aktiviti pengendalian makanan;
    ii. selepas menggunakan tandas;
    iii selepas mengendali bahan mentah atau bahan yang tercemar dan sebagainya.
    9. Pekerja tidak dibenarkan memakai apa-apa barang kemas atau barang perhiasan, jam dan sebagainya di kawasan pemerosesan makanan yang mungkin menyebabkan pencemaran (contamination) dalam proses pengendalian makanan tersebut;
    10. Pekerja hendaklah sentiasa bertugas dan berfungsi di tempat yang diarahkan seperti “check point” kualiti halal dan pembelian bahan mentah yang halal;
    11. Pekerja hendaklah komited dan bertanggungjawab dengan polisi halal yang ditetapkan.
    12. Alat penyembahan agama tidak dibenarkan sama sekali di dalam premis/ kawasan pemerosesan makanan.

Syarat-Syarat Penggunaan Sijil Pengesahan Dan Logo Halal

  • Sijil Pengesahan dan Logo Halal ini tidak boleh diniaga, diberi pinjam, ditukarmilik, dipalsukan, disalahgunakan atau dipinda dengan apa caranya sekalipun.
  • Penggunaan Sijil Pengesahan Halal tertakluk kepada semua undang-undang atau peraturan yang berkaitan yang diamalkan di negara ini.
  • Sebarang perubahan ke atas nama dan alamat syarikat, kilang/ premis, jenama produk, bahan ramuan, pengeluar-pengeluarnya dan yang berkaitan dengannya, hendaklah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Pengarah JAIN/ Setiausaha MAIN secara bertulis untuk tindakan selanjutnya.
  • Pemegang sijil adalah bertanggungjawab ke atas apa-apa penyalahgunaan atau penyelewengan sijil tersebut tertakluk kepada undang-undang. Jika berlaku kehilangan atau kerosakan ke atas sijil berkenaan, pemilik hendaklah membuat laporan polis dan memberitahu secara bertulis dengan segera kepada Ketua Pengarah JAKIM atau Pengarah JAIN atau Setiausaha MAIN.
  • Sijil Pengesahan Halal boleh ditarik balik atau ditamatkan tempoh sahnya pada bila-bila masa serta penggunaan logo Halal tidak dibenarkan apabila didapati ianya menyalahi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang telah ditetapkan atau terdapat perkara atau cara pengendalian yang meragui dari segi syarak.
  • Pihak JAKIM/JAIN/MAIN boleh menyenaraihitamkan syarikat yang gagal mematuhi syarat dan peraturan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan boleh dipertimbangkan selepas Panel Pengesahan Halal berpuas hati.

Tanggungjawab Pemegang Sijil Pengesahan Halal

  • Kesedaran dan Tanggungjawab
  • Setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal dikehendaki mempunyai para pekerja yang terlatih dan memahami Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan dikehendaki mengikuti latihan pensijilan halal.
  • Pematuhan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia
  • Pemegang Sijil Pengesahan Halal perlu mematuhi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan undang-undang berkaitan termasuk memahami isu-isu halal terkini.

Tempoh

  • Tempoh sahlaku bagi Sijil Pengesahan Halal ialah dua tahun dan terbatal bila-bila masa sahaja apabila didapati bercanggah dengan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
  • Pemegang Sijil Pengesahan Halal hendaklah mengemukakan permohonan pembaharuan empat (4) bulan sebelum tamat tempoh.
  • Pemegang Sijil Pengesahan Halal yang gagal memperbaharuinya tidak dibenar menggunakan logo halal bagi premis atau produk yang dikeluarkan.

Panel Pengesahan Halal

  • Laporan pemeriksaan akan dikemukakan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal.
  • Panel Pengesahan Halal berhak menolak atau meluluskan mana- mana permohonan.