Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Definisi Islam Hadhari



Definisi



Dari segi istilah, perkataan “hadhari” membawa maksud “yang bertamadun” atau Islam yang menekankan aspek tamadun. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “Civilizational Islam”, dan dalam Bahasa Arab sebagai “Al-Islam al-Hadhari”.



Manakala takrif Islam Hadhari secara lengkap ialah : “Suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam”.
Sebagai huraian kepada takrif di atas bahawa;

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juzi’e atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik (Islam al-Siyasi),Islam bersifat tasawwuf (Islam al-Sufi) dan seumpamanya.



Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya meterialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran.



Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur.




Visi



Visi Islam Hadhari adalah Untuk Menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam Contoh, iaitu sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Konsepnya ialah negara yang mempunyai masyarakat membangun dan memiliki ilmu, berkemahiran dan berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan Agama.



Misi



Melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang.



Objektif



Objektif Islam Hadhari adalah bagi melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.