Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Pembangunan Nasional


Pengenalan

Tahun  1990  menandakan  berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971 - 1990), ekonomi Malaysia telah berkembang  dengan  pesatnya  walaupun  menghadapi  pelbagai cabaran.  Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh  namun banyak  kejayaan  telah  dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang  lebih lama  daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya. DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato'  Seri  Dr.  Mahathir Mohamad,  Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991.  Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2)  1991  -  2000  telah digubal   berasaskan   Dasar   Pembangunan  Nasional  (DPN), menandakan bermulanya satu lagi  era  baru  di  dalam  usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Objektif

Perpaduan  negara  akan  terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat  yang  bersatupadu  adalah  penting  untuk memperkukuhkan   lagi  kestabilan  sosial  dan  politik  dan mengekalkan  pembangunan  ekonomi   yang   berterusan.   DPN menetapkan   satu   langkah  ke  arah  membolehkan  Malaysia mencapai taraf sebuah negara  yang  maju  dalam  semua  segi iaitu  dari  segi  keadilan  sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik,  kualiti  hidup,  kecekapan  pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

 Strategi pelaksanaan

DPN   akan   terus   mengekalkan  strategi  asas  DEB  iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan  dengan  ini  akan  menyumbangkan  ke  arah  mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:

  1. Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama
  2. Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;
  3. Mengurang  dan  akhirnya   menghapuskan   ketidaksamaa sosial    dan   ekonomi   negara   untuk   menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama  faedah  yang diperolehi   dari   pertumbuhan  secara  lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;
  4. Menggalak dan  memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan  jurang  ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan  ekonomi antara negeri dan  antara  kawasan bandar dan luar bandar;
  5. Membangunkan sebuah masyarakat yang  progresif di  mana semua rakyat  menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan  kerohanian yang  positif  serta  menghayati  perasaan  bangga  dan cintakan negara;
  6. Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin  dan produktif serta meningkatkan kemahiran  yang  perlu    bagi    menghadapi    cabaran pembangunan industri melalui satu budaya  kecemerlangan tanpa     menjejaskan    matlamat   penyusunan   semula masyarakat;
  7. Menjadikan  sains  dan  teknologi  sebagai  satu  teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang    memerlukan  usaha  membangunkan  keupayaan  dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan
  8. Memastikan bahawa dalam  usaha  mencapai  pembangunan ekonomi  perhatian  yang  sewajarnya  diberikan  kepada perlindungan  alam  sekitar  dan ekologi  supaya  dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.
     

DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan  dan  kelemahan  yang  wujud semasa  pelaksanaannya.  Ia  mengandungi  beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru  dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun  semula masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:

  1. Memberi    penekanan   yang  lebih   kepada   strategi pembasmian  kemiskinan  untuk   tujuan    menghapuskan kemiskinan  di kalangan golongan  termiskin   hardcore poor  di samping   mengurangkan   kemiskinan  relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis  Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan  Garis  Kemiskinan  adalah sebanyak  $370  sebulan  bagi saiz  isi  rumah  5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah  5.4 di Sabah  dan $452 bagi saiz isi rumah  5.2  di  Sarawak. Kira-kira 143,000 isi  rumah  atau  4% daripada jumlah isi    rumah    adalah    tergolong  sebagai  keluarga termiskin);
  2. Menumpukan   perhatian   kepada   pembangunan   sebuah masyarakat  Perdagangan  dan  Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya  mengekalkan penyertaan  Bumiputera dalam kegiatan ekonomi;
  3. Meningkatkan  penekanan  kepada  sektor  swasta  untuk melibatkan  diri  dalam    proses   penyusunan  semula masyarakat; dan
  4. Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai  matlamat pertumbuhan  ekonomi  dan   pengagihan   yang  saksama.

 Program Pelaksanaan


Beberapa  pendekatan   baru   yang   diambil   dalam   usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:

  1. Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan Pendekatan  yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk  mencapai  hasil  yang  berkualiti  dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan  termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek  pendidikan  dan latihan sebelum bantuan diberikan;
  2. Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa
    DPN  telah  mengambilkira  kemampuan  negara  untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa  di  samping menghadapi  cabaran  baru.  Di  dalam  menghadapi persaingan antarabangsa,  Malaysia  perlu  meningkatkan  daya   tarikan kepada  pelabur  dan  pengusaha  supaya  dapat memperluaskan urusan mereka di negara  ini.  Dalam  bidang  eksport  pula, halangan-  halangan  (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini,  Malaysia  akan terus  mengamalkan  dasar  liberal  yang  boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia  menghadapi  risiko  berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan  mereka   kepada   Sistem  Keutamaan  Am  (GSP)  dan  menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;
  3. Wawasan 2020
    Penyertaan semua kaum di negara ini  adalah  sangat  penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun   2020.   Oleh   yang  demikian  pelaksanaan  strategi serampang   dua   mata   DPN   akan    terus    menggalakkan penggemblengan  sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk  membina  ekonomi yang   teguh   serta   meningkatkan  ketahanan  negara  bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi  dunia. Oleh  kerana  setiap  kaum  mempunyai  sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di  negara  ini saling  melengkapi  dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan
  4. Pembasmian Kemiskinan
    Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat  dikurangkan  ke  paras  7.2%  dalam  tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan  ke tahap  4%  dalam  tahun  2000.  Dalam  melaksanakan strategi pembasmian  kemiskinan,DPN  akan  mengambil  kira   beberapa perubahan  dibuat  terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar  bandar pada  akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan  awam  melalui pembukaan  tanah-tanah  dan  pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk  mewujudkan  pekerjaan  dan membantu  meningkatkan  pendapatan  mereka.

Pengalaman telah menunjukkan  bahawa  kos  penyelenggaraan  skim  pembangunan tanah  seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian  estet  yang  serupa  oleh  sektor swasta.  Tambahan  pula  anak-anak  peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja  di luar  bandar.  Ramai  di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar- bandar.

Dengan itu pembukaan  tanah  baru oleh  agensi  kerajaan  untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan  ini  lebih  sesuai  untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial. Latihan  yang  diberikan  kepada  belia-belia di luar bandar akan  membolehkan  mereka   mendapatkan   kerja-kerja   yang berkemahiran  dan berpendapatan lebih tinggi.  Aspek latihan ini  akan  dipertingkatkan  untuk   menggantikan   pemberian subsidi  yang  dilaksanakan  sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan   tetapi   ianya    akan    ditumpukan    ke    arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka. Peranan   sektor   awam  dalam  pembasmian  kemiskinan  akan ditumpukan pada program-program  berikut:
    - pendidikan  dan
    - latihan
    - kesihatan
    - jalan-jalan  luar  bandar
    - pengangkutan
    - perumahan
    - bekalan air dan elektrik


Usaha-usaha  yang  lebih  gigih  akan   dilaksanakan   untuk mengurangkan   ketidakseimbangan   pembangunan   di   antara wilayah-wilayah,  khususnya  di  antara  negeri  Sabah   dan Sarawak dengan negeri-negeri lain. Program  pelaksanaan  untuk  mengatasi kemiskinan di bandar- bandar  juga  akan  dipertingkatkan.  Di   kawasan   bandar, kemiskinan  relatif  akan  dikurangkan  menerusi  penyediaan peluang yang lebih baik untuk  meningkatkan  pendapatan  dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.  

Langkah-langkah  juga  akan  diambil  oleh  Kerajaan melalui perancangan dan  penetapan  zon  pembangunan  bandar yang  sesuai  dalam  usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan  dapat  mengawal  pertumbuhan kawasan-kawasan  setinggan  tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam  perniagaan  dan industri kecil.

 5.  Penyusunan Semula Masyarakat


Penghapusan  pengenalan  kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan  terus  menjadi  program penting  di  bawah  strategi  ini.    Berhubung  dengan ini matlamat DPN adalah  untuk  meningkatkan  taraf  sosial  dan ekonomi  masyarakat  Bumiputera  ke tahap yang lebih berdaya maju  dan  teguh.    Kedudukan  ini  boleh  dicapai   dengan pelaksanaan  strategi meningkatkan gunatenaga dan penyertaan Bumiputera  dalam   pengurusan   sektor-sektor   moden   dan membentuk    Masyarakat    Perdagangan   dan   Perindustrian Bumiputera. 

Walaupun dasar dan program Kerajaan akan  terus menyediakan  sokongan  kepada  usahawan  Bumiputera,  tetapi adalah menjadi harapan  kerajaan  usahawan  Bumiputera  akan memajukan  perniagaan  berasaskan  daya  usaha  sendiri  dan kurang  bergantung  kepada  bantuan  dan  subsidi  kerajaan. Sehubungan  dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program  untuk  memupuk  usahawan  muda  juga  akan diberi tumpuan.


DPN  akan  menggalakkan  penyertaan Bumiputera secara meluas dalam   sektor-sektor   moden    seperti    pembuatan    dan perkhidmatan.  Perhatian  khusus  diberi  kepada  penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil  dan  sederhana  menerusi program  sub-kontrak  dan franchise.  Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan  Bumiputera  akan  digalakkan untuk  membolehkan  syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan.   Bagi  membolehkan  Bumiputera  bersaing  dalam perniagaan  moden,  mereka  akan didedahkan kepada teknologi terbaru  di  samping  kemudahan-kemudahan  modal,   maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa.

Matlamat  penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan  pekerjaan  dalam  ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam  tempoh  10  tahun  yang  akan  datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang  saksama daripada  pekerjaan  baru  yang  diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal.  Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun  1991  -  2000,  kira-kira  55.8%  akan  diambil  oleh Bumiputera  (706,700  dalam  sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam  sektor  pembuatan.) 

Di  sektor  luar  bandar,  untuk meningkatkan  mobiliti  tenaga  kerja,  langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran. Berhubung dengan strategi penyusunan semula  hak  milik  dan pengawalan  dalam  sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan  dalam  DPN.    Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran   yang  sesuai  bukan  sahaja  bagi  mengurus  dan menjalankan  pemiagaan  dengan  berkesan  tetapi  juga  bagi mengekalkan   kekayaan   mereka.  Agensi-agensi  amanah  dan perbadanan awam  perlu  merancang  dan  menyelaras  tindakan masing- masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta  baru  dan  membeli  kepentingan  tertentu  bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional  Berhad  (PNB)  akan diperkukuhkan  dalam  menggembleng  tabungan  Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. 

Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN)  merupakan  sebahagian  daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN. Penswastaan   akan   digunakan   sebagai  suatu  cara  untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula  modal saham.   Jawatankuasa   Pelaburan   Asing   akan  meneruskan pengawasan  proses  penyusunan  semula  modal  saham  dengan menggalakkan  lagi  syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Penutup

Seperti DEB, DPN akan  meneruskan  usaha-usaha  mengurangkan ketidakseimbangan  ekonomi  bukan  sahaja  di  kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan  kaya  dan  miskin  dan antara  wilayah.  Ketidakseimbangan  ekonomi  ini akan dapat dikurangkan  berasaskan  prinsip  pembangunan  seimbang  dan pengagihan  yang  saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.