Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kelah - King Of The River

Ikan Kelah atau Mahseer adalah ikan kap dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik besar, dan merupakan ikan sukan yang digilai dan banyak terdapat di India dan secara amnya di Asia Selatan.

Ikan ini digambarkan pada asalnya oleh Hamilton pada tahun 1822, dan pertama kali disebut dalam cabaran memancing dalam Majalah Oriental Sporting pada tahun 1833, dan kemudiannya menjadi buruan kegemaran pemancing British yang menetap di India.

k01 k03 k02

Spesies Golden Mahseer diketahui mencapai 2.75 meter (9 kaki) panjangnya dan 54 kilo gram (118 paun) beratnya, walaupun spesimen sebesar ini jarang dinampak pada hari ini.

Ikan Kelah mendiami di sungai serta tasik, dan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak.

Serupa dengan jenis ikan kap yang lain, mereka merupakan omnivor dan makan bukan sahaja alga, krustasia, serangga, katak, dan ikan yang lain, tetapi juga buah-buahan yang jatuh daripada pokok-pokok di atas.

Selain daripada ditangkap untuk sukan, ikan kelah juga merupakan sebahagian perikanan komersil di India.

Hasil Benih Kelah Terbaik

IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.

Justeru, kombinasi semangat juang yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.

Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.

Dikenali sebagai 'King of the River', kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.

Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah. Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.

Menurutnya lagi secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju. Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar.

Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.         

Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.

Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor). Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.


Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.

Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Selain menghasilkan benih kelah PPA Perlok ini juga turut menghasilkan benih ikan lampam sungai, baung, keli dan patin. PPA Perlok turut menerima tempahan daripada orang perseorangan mahu pun mana-mana syarikat untuk melakukan proses pembenihan ikan menurut permintaan.

Diwujudkan sejak tahun 1998, PPA Perlok secara rasminya dibuka pada tahun 2000 dan berkeluasan 110 ekar.

Kelebihan

Apa yang menjadi kelebihan kawasan PPA Perlok ini adalah kerana mudah untuk mendapatkan punca air semula jadi yang bersih.

k04   k05       k06

Sehingga kini, PPA Perlok telah menghasilkan ribuan anak benih ikan air tawar untuk menampung keperluan ke seluruh negara.

Selain itu, anak benih ikan air tawar tersebut juga telah dilepaskan di sungai-sungai sekitar Pahang bagi tujuan meningkatkan sumber perikanan di negeri itu.

Dengan itu, ia mampu mengelakkan sumber ikan di sungai yang amat bernilai, pupus kerana pelbagai faktor antaranya masalah pencemaran, penggunaan tanpa kawalan atau pembiakan semula jadi yang tidak memberangsangkan.

Soalan Lazim Mengenai Ikan Kelah


• Ikan Kelah Ini Ikan Air Tawar Atau Masin?

Air tawar dan mengkhusus habitat asalnya di kawasan air terjun, jeram dan sungai atau aliran deras di kawasan pergunungan.


• Keistimewaan?


Amat bernilai kerana rasa yang sedap, hiasan yang cantik dan kehebatan bertarung dalam “sport fishing”. Justeru digelar sebagai “Kings Of The Rivers”, “The King Of Fish”, “The King of Freshwater Sport Fish”, “World Best Freshwater Sport Fish”, “Raja Ikan Air Tawar, “Raja Sungai”, dan “Ikan Sukan” sekali gus harganya termasuk dalam kategori “mahal“.


Ringkasnya Ikan Kelah ini digilai kerana untuk tujuan Ikan Sukan, Ikan Hiasan dan Ikan Makan. Ikan Kelah juga mempunyai “Sanctuary” nya yang tersendiri di Taman – Taman Negara.


• Jenis dan Spesis Ikan Kelah Yang Boleh Didapati Di Malaysia?


Berdasarkan kajian penyelidik ikan kelah setakat ini, disimpulkan terdapat 3 jenis ikan kelah di Malaysia, iaitu:
a) Tor Tambra
b) Tor Tambroides
c) Tor Duoronensis


Ikan kelah merah di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Kelantan selalu dirujuk sebagai “Tor Tambroides”.  Spesis “Tor Tambroides” yang sebenar ialah ikan kelah merah yang mempunyai lebihan cuping panjang di bawah mulutnya.


Sementara di Sarawak, ikan yang dirujuk sebagai “Tor Tambroides” ialah ikan empurau. Sementara ikan semah di Sarawak (ikan rasmi negeri Sarawak) dirujuk sebagai spesis “Tor Duoronensis” dan warnanya lebih kehijauan tua ke coklat.


Ikan kelah yang kebiruan juga biasa dirujuk sebagai dari spesis “Tor Douronensis” walaupun ianya didapati di Semenanjung Malaysia khususnya dari kawasan Endau. Ikan pelian di Sabah pula dirujuk sebagai spesis “Tor Duoronensis”.


Harus juga diingat bahawa, berdasarkan rekod kajian, hanya ikan kelah dari jenis “tor tambroides” dan “tor tambra” sahaja yang boleh membesar sehingga melebihi 1 meter.


• Bagaimana Pula Dengan Ikan Tengas Dan Kejor?


Ikan tengas dan kejor ialah 2 spesis ikan yang hampir menyamai ikan kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas/kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah “Neolissochilus Hexagonolepis”.


Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai “tengas batu”. Sementara ikan kejor ialah “Neolissochilus Soroides”.  Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai ” Poropuntius Smedleyi”.


• Adakah Ia bersifat Karnivor, Herbivor Atau Omnivor?


Omnivor. Maksudnya Ikan Kelah makan semua, dia makan binatang lain (yang lebih kecil), dia makan tumbuh tumbuhan (yang terpilih) dan buah-buahan (yang terpilih).

• Bolehkah Ikan Kelah Diternak?


Boleh. Ikan Kelah boleh diternak di dalam kolam tanah, tangki, kanvas mahupun kolam simen dengan syarat adanya pergerakan air.


• Berapa lama ikan kelah ini mencapai umur matang/boleh dijual?


Bergantung kepada dari saiz berapa anda ternak, untuk apa anda ternak, iaitu sama ada untuk tujuan ikan makan atau ikan hiasan? Jika untuk tujuan ikan makan perlu mencapai berat 1Kg untuk boleh dijual di restoran.
 Jika anda bermula dari saiz 4 inci, anda memerlukan purata 2 – 3 tahun untuk mencapai berat tersebut.

 Jika untuk tujuan ikan hiasan, bila bila pun jika ada pelanggan nak beli, anda boleh jual dengan harga yang baik sekali tanpa perlu menunggu untuk mencapai berat 1Kg, kerana untuk tujuan ikan hiasan, biasanya dijual berdasarkan saiz inci panjangnya seseekor ikan kelah itu.


• Harga pasaran?


Pada masa sekarang, harga ikan kelah hidup untuk tujuan makan – restoran ialah RM80/Kg borong - mati dan RM150/Kg borong – hidup. Sementara untuk tujuan hiasan antara RM500/Kg ke RM1000/Kg.


• Muatan untuk kolam 10 kaki X 10 kaki?

Jika anak benih ikan kelah bersaiz 2 ke 6  inci, 1 kaki padu boleh memuatkan 10 ekor. Jika ikan kelah telah bersaiz 1 kaki, maka 1 kaki padu boleh memuatkan 1 ekor sahaja. Dari situ, anda boleh merancang berapa besar kolam ternakan yang ingin anda bina.


• Jenis-jenis Ikan?


Sebenarnya, apabila disebut “ikan kelah” memang merujuk “ikan kelah merah” yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sementara “ikan kelah biru” jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Sementara “ikan kelah hijau” adalah panggilan nama yang diguna-pakai oleh orang orang Cina (peminat dan penternak) untuk merujuk sebenarnya kepada “ikan tengas”, iaitu satu spesis yang mirip mirip kelah, dan juga dipanggil sebagai “false mahseer”.

 

untitled-1   k09       untitled-2   untitled-3