Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Warisan Budaya Melayu

WARISAN BUDAYA

 

ADAT RESAM

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

 

perkahwinan1

 

ADAT RESAM  MASYARAKAT MELAYU

Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

 Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

Peralatan untuk upacara ini termasuk

v  Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan

v  Segantang beras

v  Sebiji kelapa

v  Beberapa urat benang mentah
Damar

v  Minyak kelapa atau minyak urut

v  Lilin

v  Tepak sirih yang lengkap isinya

v  Pengeras sebanyak RM1.25

Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.

Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut  wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

 Sewaktu Bersalin

Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Potong Tali Pusat

Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.

v  Azan/Qamat

         Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

v  Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

 v  Berpantang

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.

    Tempoh Berpantang

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan  ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar, direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.

   Bertungku

 Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal.   Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

     Selepas lahir

         Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

v  Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

v  Nasi kunyit dan lauk-lauk

v  Seekor ayam hidup

v  Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang

v  Hadiah untuk bidan sepersalinan

Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.  

Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.

Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

 v  Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar,beras  kunyit dan bertih.

v  Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.   

 

 j4ambul-gunting

Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut  bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.

Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan. 

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut     diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa         pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua  ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Naik Buai 

buaian_baby

Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.

Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk    memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri    selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di  atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan  dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam  tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan  dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

  Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini jug boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan   memijakkan kaki kanak-kanak itu ke  piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.

 Bersunat / Berkhatan

 Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya   dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Sumber : Perpustakaan Negara Malaysia