Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

INOVASI PENGURUSAN SAMPAH

 

INOVASI PENGURUSAN SAMPAH

Konsep Rawat Dan Jana

Konsep pengurusan sampah membabitkan sistem pengumpulan, pengangkutan dan penghapusan yang efisien dan seharusnya sangat efektif, khususnya dari segi teknologi pelupusan.

 

Ini kerana timbunan sampah yang tidak diurus dengan baik akan menimbulkan kesan yang negatif terhadap alam sekitar seperti bau busuk, pengaliran air kotor (leachate) ke dalam sungai dan pembebasan gas merbahaya umpamanya karbon dioksida dan metana daripada tapak pelupusan sampah itu sendiri.

 

Pengurusan sampah di Selangor dan Lembah Klang kini lebih berinovatif dengan adanya loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse Derived Fuel (RDF) yang beroperasi di Semenyih Kajang.

 

Projek perintis ini bermula pada tahun 2006 melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Kajang, firma bumiputra Recycle Energy Sdn Bhd (RESB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Loji RDF ini adalah sistem dua dalam satu yang mampu memproses serta merawat sampah yang dibuang oleh pendudduk setempat dan dalam masa yang sama boleh menjanakan tenaga eletrik daripada sampah terbabit.

 

Skematik Proses

 

Berbanding dengan tempat pelupusan sampah konvensional yang hanya sekadar melambakkan sisa sampah dengan banyaknya, teknologi RDF ini mempunyai mekanisme pintar untuk mengurus dan merawat antara 700 dan 1000 tan sampah dalam sehari.

 

Proses yang digunakan adalah cukup mudah, bermula dari penghantaran sampah ke tempat pengumpulan sisa-sisa pepejal yang terdapat di loji RDF ini.

 

Sistem unik ini mampu untuk membuat pemilihan sampah yang mempunyai bahan boleh bakar agar ia boleh dikitar semula menjadi pelet (butir-butir kecil) yang dinamakan RDF untuk dijadikan sumber bahan api.

 

RDF yang dihasilkan oleh loji ini mempunyai ciri-ciri kemeruapan yang tinggi, mudah terbakar dan mempunyai nilai kolorifik yang rendah disebabkan kandungan kelembapannya di dalam kadar antara 20 dan 30 peratus.

 

Istimewanya RDF ini ialah ia boleh diubahsuai dan dicampur aduk dengan bahan buangan yang lain mengikut kesesuaian untuk menghasilkan pelbagai jenis pelet yang berlainan jenis dan karakter.

 

Ia juga boleh digunakan sebagai bahan api untuk kilang pemprosesan simen atau kilang penghasilan batu-bata, dek kerana harga pasarannya yang jauh lebih murah berbanding arang batu.

 

Bagi bahan tidak boleh bakar pula, ianya boleh diasingkan secara mekanikal daripada sisa sampah pejal ini.

 

Bahan yang berguna seperti plastik, kaca, botol, bahan logam dan kertas akan dijadikan bahan kitar semula yang bernilai dan boleh dijual kepada kilang-kilang yang berminat untuk mendapatkannya.

 

Kebaikan sistem inovatif ini ialah pada akhir proses, hanya 10 peratus sahaja amaun sisa sampah pepejal yang tingal.

 

Bahan lengai ini yang terdiri daripada pasir,batu dan kayu boleh dibuang dengan selamat di tempat pelupusan sampah tanpa meninggalkan sebarang kesan pencemaran.

 

Penjanaan Tenaga

 

Tambah menarik, telah dibina sebuah loji penjanaan tenaga yang telah direka cipta untuk menggunakan pelet RDF sebagai sumber bahan apinya di kawasan berdekatan dengan loji rawatan sampah ini.

 

Loji ini terdiri daripada generator stim, set generator extraction-condensing turbo, sistem elektrikal yang digunakan untuk mengeksport tenaga, sistem penyejuk, sistem transformer dan loji rawatan air kotor (leachate) yang berupaya merawat air dan sampah-sarap sehingga mencapai piawaian tahap A.

 

Penghasilan tenaga daripada loji ini boleh mencecah sehingga 9 megawatt (MW) dan dikatakan mampu menjana kuasa secukupnya untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik untuk sebuah bandar kecil seperti Kajang.

 

Satu usahasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah ditandatangani untuk membolehkan loji ini membekalkan sebanyak 5.5 MW tenaga elektrik kepada syarikat utiliti gergasi di Malaysia itu.

 

Kesimpulanya, konsep pengurusan sampah secara rawat dan jana ini sangat membanggakan kerana ia merupakan hasil titik peluh dan cetusan idea daripada anak tempatan kita sendiri yang prihatin untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.

 

Ternyata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama lebih empat tahun untuk menguruskan sampah kini sudah tercapai matlamatnya apabila loji RDF ini diakui mempunyai teknologi pengurusan sampah yang terbaik di Asia Tenggara.

 

 Oleh itu, amatlah diharapkan agar sistem berinovasi ini tidak hanya tertumpu kepada pengurusan sampah di sekitar Lembah Klang dan Selangor sahaja, tetapi juga dapat dipraktikkan di seluruh Malaysia untuk memberi sokongan yang bersepadu ke arah pemuliharaan dan pembaikan alam sekitar.    

 

Sumber : estidotmy, Ogos 2009