Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Gagasan Najib 1Malaysia kini mula dipasarkan


BAGI mengupas konsep 1Malaysia, cetusan minda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penyatuan rakyat, kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara, dua penulis, Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan Prof Madya Mohamad Shah A'shaari menghasilkan buku `Gagasan Najib: 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Buku yang mempunyai 16 bab ini memulakan pengisiannya dengan kupasan mengenai lapan nilai teras 1Malaysia meliputi definisi, perbezaan antara konsep 1Malaysia dengan konsep Malaysian Malaysia, kedudukan dan hubungan konsep 1Malaysia, budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, integriti dan juga kesimpulan.

Turut dibincangkan ialah bagaimana gagasan 1Malaysia boleh menjadi nafas baru kepada perpaduan nasional, makna 1Malaysia yang sebenarnya, peranan perkhidmatan awam, media massa, sektor swasta, organisasi korporat serta peranan badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam merealisasikan konsep 1Malaysia.

Selain itu, kupasan turut dilakukan mengenai bagaimana gagasan itu boleh menyatukan pemikiran dan perjuangan, kenapa penjelasan mengenai konsep itu penting kepada masyarakat, latar belakang, maksud, ciri-ciri dan nilai utama 1Malaysia.

Buku ini juga memberikan penjelasan bagaimana agama juga relevan dalam menjayakan gagasan 1Malaysia, kupasan mengenai gagasan itu dalam konteks Piagam Madinah di mana beberapa perkara diberi keutamaan seperti pendekatan yang adil, perubahan, pengisian di bidang pendidikan dan mengubah pandangan skeptikal.

Terdapat juga bab yang memaparkan latar belakang, kejayaan dan peribadi Najib termasuklah impian beliau sebagai perdana menteri ke enam, gagasan 1Malaysia dari kacamata beliau dan perbincangan mengenai konsep 1Malaysia yang tidak terhad dan bakal mengalami evolusi.

Kupasan turut dipaparkan mengenai gagasan 1Malaysia dalam konteks kelangsungan kegemilangan, petunjuk prestasi utama dan gagasan 1Malaysia sebagai teras memperkukuhkan perpaduan dan harapan Najib kepada penjawat awam dalam konteks mendepani cabaran pentadbiran serta budaya kecemerlangan.

Mohamad Shah yang juga bekas Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kebanyakan bahan yang diselenggara untuk penerbitan buku berkenaan diperoleh melalui banyak saluran antaranya pembentangan kertas kerja berkaitan konsep 1Malaysia.

"Kami berdua mengambil bahan yang ada dan memperincikan sebaik mungkin supaya pembaca lebih mudah faham mengenai konsep ini melalui penulisan esei dan huraian, bahasa yang indah serta di sokong oleh gambar menarik.

"Buku ini memang sesuai untuk semua lapisan masyarakat di negara ini dan wajar dibaca oleh mahasiswa, pegawai kerajaan, pekerja swasta, pelajar sekolah kerana mengandungi banyak maklumat berguna mengenai konsep 1 Malaysia yang mengajak kita menerima keunikan di negara ini sebagai satu kelebihan," katanya.

Sementara itu, Syed Mahadzir yang sudah menulis lebih 300 buku pula berkata, tempoh masa enam bulan diperlukan untuk menyiapkan buku berkenaan yang kini sudah menerima tempahan awal sebanyak 5,000 naskhah .

"Sasaran jualan kita ialah sebanyak 100,000 buku. Setakat ini kebanyakan tempahan dibuat oleh pengedar tunggal kita iaitu Panca Suria Global serta perpustakaan negeri, universiti dan kolej," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan buku berharga RM175 senaskah itu boleh mendapatkannya dengan membuat tempahan kepada Warisan Inked melalui talian 03-55423659 atau emel kepada www.warisaninked.com atau melayari laman web Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya .

 

sumber maklumat : Utusan Malaysia