Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Deepavali Perayaan Cahaya Penuh Simbolik

deepavali01

Perayaan Deepavali disambut  penganut Hindu setiap tahun

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang bererti cahaya dan perkataan "Gavali" yang bererti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta Cahaya.

Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan.

Sambutan Perayaan di Malaysia

Hari Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.  Deepavali atau lebih dikenali sebagai ‘pesta cahaya’ disambut oleh masyarakat India yang beragama Hindu dan Sikh di negara kita.


Mitos Hari Deepavali
Mitos yang paling terkenal di kalangan masyarakat India di Malaysia berhubung tujuan perayaan Deepavali adalah kisah Dewa Krishna membunuh Narakasura.   Seterusnya penduduk kampong telah meraikan kemenangan Kebaikan menewaskan Kejahatan dengan menyalakan lampu serta berpesta. Satu lagi mitos yang lebih terkenal di Benua Kecil India adalah berdasarkan epik Ramayana di mana Rama berjaya membunuh Ravana dengan bantuan Laksamana dan Hanuman. Lalu, mereka bersama-sama Sita pulang dari Langka ke Ayodhya. Kepulangan mereka selepas 14 tahun disambut para penduduk dengan menyalakan lampu dan berpesta. Memandangkan kedua-duanya hanyalah mitos, tidak menjadi masalah kisah mana satu yang menjadi ikutan dan turutan di kalangan kaum India beragama Hindu yang menyambut Deepavali. Apa yang penting, simbol kebaikan atau Cahaya menumpaskan Kejahatan atau Kegelapan adalah menjadi pegangan utama mereka .

Malam Sebelum Perayaan Deepavali

Pada malam itu juga diadakan upacara memasang pelita yang disertai oleh seluruh ahli keluarga. Tidak ketinggalan juga upacara yang dinamakan 'Rangoli' iaitu upacara menyusun beras atau hampas kelapa yang telah diwarnakan dengan pelbagai warna di hadapan pintu. Kaum wanita juga pada malam itu akan mengenakan inai pada jari tangan dan kaki mereka untuk tujuan menghias diri.

Memasang Vilakku
Pada malam perayaan Deepavali, upacara memasang pelita dijalankan yang disertai oleh seluruh ahli keluarga. Mereka akan memasang lampu “vilakku”. Lampu “vilakku” adalah sejenis pelita tradisi yang diperbuat daripada tanah liat. Perayaan Deepavali juga akan bertambah meriah dengan adanya lampu-lampu moden. Penganut agama Hindu percaya akan Dewa kekayaan dan kemakmuran iaitu Dewi Laksmi yang akan datang melawat rumah mereka pada masa itu. Persiapan memasang lampu tersebut dilakukan untuk menyambut kedatangan Dewi Laksmi.

Kolam atau Rangoli

deepavali04

Rangoli  lambang penyembahan Dewa  Lakshmini

Penganut Hindu akan menghiasi rumah mereka dengan “kolam ” atau “rangoli” iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras yang diwarnakan sebelum tertib matahari. Biasanya “kolam ” ini dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.

Kemahiran membuat “kolam” ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Walaupun nampak susah, tetapi penganut Hindu boleh membuatnya dengan cantik, unik dan menarik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Upacara ini membawa maksud yang amat bererti kerana perayaan ini tidak hanya dirayakan oleh penganut Hindu tetapi juga makhluk lain di dunia

Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.


Persiapan Di Pagi Hari Deepavali
Pada pagi perayaan pula, pada kebiasaannya seluruh ahli keluarga akan bangun lebih awal iaitu sebelum matahari terbit.
Seluruh keluarga akan mandi dan membersihkan diri sebelum bersalam dan memohon maaf dengan kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Selain itu, upacara mandi minyak bijan turut dilakukan pada awal pagi sebelum matahari terbit. Penganut Hindu akan menjalankan upacara mandi minyak bijan bertujuan untuk penyucian badan dan semangat. Minyak bijan ini akan disapukan ke atas kepala setiap ahli keluarga oleh mereka yang lebih tua seperti ibu atau nenek.

Kebaikan mandi minyak bijan bagaikan mandi di Sungai Ganges yang suci bertujuan membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki. Selepas mandi dimestikan memakai pakaian dan perhiasan serba baru pada pagi Deepavali bertujuan untuk menghilangkan segala sifat buruk dan kejahatan dalam diri seseorang. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau di kuil-kuil. Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga. Penganut Hindu akan mengunjungi kuil di mana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.


Manisan dan Juadah Deepavali
Manisan merupakan identiti masyarakat India. Manisan ini bukan sahaja diminati oleh kaum India tetapi juga masyarakat lain di negara ini termasuk pelancong asing. Dalam masyarakat India, manisan sering menjadi acara pembuka sebelum memulakan sesuatu majlis, acara atau hari perayaan. Mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan. Itulah juga sebabnya manisan yang lebih manis dan sedap dianggap lebih baik dan dialu-alukan.


Mereka akan dihidangkan dengan juadah tradisional kaum india yang terkenal seperti halwa dan laddu. Malah sembilan jenis hidangan sayur-sayuran turut disediakan pada pagi Deepavali. Antaranya ialah “aloogobi” iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga, “paneer” campuran masala bersama yourgart dan kari dal. Tidak ketinggalan kuih-muih tradisional lain seperti maruku dan adivasam dan payasam.  Muruku, Neiurundai dan Atherasam adalah merupakan kuih-muih tradisional orang India.

Pakaian Tradisional Deepavali
Mengenai pakaian yang sering dikenakan oleh kaum India semasa perayaan Deepavali adalah “Sari” untuk kaum wanita dan “Dhoti” untuk kaum lelaki.


Upacara Sembahyang
Penganut Hindu akan mengunjungi kuil untuk bersembahyang selepas menjalankan upacara penyucian. Penganut Hindu akan mengalungkan Patung Dewa Hindu dengan kalungan bunga untuk mendapatkan kesejahteraan diri dan keluarga serta memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selepas sembahyang, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai manisan yang dinamakan “Prasad” sebelum pulang ke rumah.

Sambutan  Deepavali Masyarakat Sikh
Masyarakat Sikh menyambut hari Deepavali atau dikenali sebagai Diwali di kalangan mereka di atas sebab yang berbeza.
Guru Nanak, yang juga merupakan pengasas agama Sikh pada suatu masa dahulu telah dipenjarakan oleh seorang Raja. Raja itu memaksanya makan tetapi beliau enggan dan berpuasa. Sejurus itu , barulah Guru Nanak sedar yang ramai orang telah berkumpul di luar penjara dengan memegang lampu sebagai tanda protes untuk membebaskannya.   Akhirnya, Raja itu sedar akan kesilapannya. Oleh kerana sikap tamaknya, dia telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang raja dan sebagai balasannya, dia membebaskan Guru Nanak. Kaum Sikh menyambut pembebasan Guru Nanak sebagai hari Deepavali.

Rumusan
Kehadiran perayaan ini bukan sahaja membuka ruang sanak-saudara merapatkan hubungan, malah kunjungan rakan daripada bangsa dan agama lain juga dialu-alukan. Mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan di antara pelbagai kaum.


Suntingan dari akhbar : Utusan Malaysia ( 14/10/2010)
Laman web mstar.