Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kemalangan Jalan Raya Tanggungjawab Siapa?



Sebagai mukadimahnya ingin saya tekankan bahawa isu keselamatan jalan raya tidak seharusnya dipandang remeh kerana setiap hari kita membaca berita kematian seorang atau lebih akibat kemalangan jalan raya. Jika dilihat dari ciri keselamatan, ia menjadi tanggungjawab yang utama pemerintah bagi mengawal keselamatan nyawa rakyatnya.


Dalam rangka ini, jika kita merujuk kepada al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah  beliau mengatakan bahawa pemerintah (menurut fahamnya) adalah suatu agensi berkuasa pengganti kepada pemerintahan Nabi yang bertindak mengawal keselamatan agama dan siasah dunia berpandukan kepada syari`ah (al-Mawardi, t.t., hal. 7). Dalam tindakannya bagi memenuhi tanggungjawab ini, ia terikat dengan pengawalan terhadap maqasid syari`ah yang lima, iaitu: memelihara agama, nyawa, akal, keturunan serta maruah dan harta benda (Dr. Yusuf Hamid `Alim, 1993, h. 203-568).









rs_depr3









Dalam persoalan keselamatan jalan raya, tentunya ia ada kaitan dengan keselamatan nyawa yang menjadi tujuan kedua dalam urutan maqasid syariah yang lima itu. Arahan-arahan al-Qur'an cukup jelas berkaitan dengan pemeliharaan nyawa seperti yang terdapat di dalam maksud ayat 195, surah al-Baqarah dan maksud ayat 29, surah al-Nisa' yang melarang seseorang daripada membinasakan diri serta nyawanya. Baginda Rasulullah pula, di dalam sebuah Hadisnya, meletakkan tanggugnjawab pemeliharaan ke atas bahu pemerintah,  sabdanya yang bermaksud: Tiap kamu adalah pengawal dan tiap kamu bertanggungjawab dengan orang yang dibawah kawalannya (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ahmad). Jika pemerintah bertanggungjawab mengurus kebajikan ummah dan keterikatannya dengan maqasid syari'ah yang lima, maka dari sudut perlaksanaan dan kaitannya dengan maslahah umum semasa yang sedia ada, maka ia harus mengambil tindakan serius berkaitan dengan persoalan keselamatan jalan raya yang secara langsung melibatkan keselamatan nyawa pengguna.








Menurut perangkaannya, kemalangan maut akibat kenderaan pada tahun 2001 sebanyak 5,856 kematian berbanding dengan 6,200 kematian pada tahun 2005. Perbezaan bilangan kematian amat menakutkan. Justeru, pemerintah dan masyarakat awam tidak seharusnya berdiam diri dengan kadar pertambahan yang begitu tinggi (Polis Diraja Malaysia, Statistik Kemalangan Jalan Raya, dikemaskini pada 20 Mac 2006).











Dalam menangani persoalan ini, beberapa perkara perlu diambil kira, pertamanya: peraturan keselamatan jalanraya, kedua: bimbingan (termasuk bimbingan akhlak) dan latihan pemandu, ketiga: jenis kenderaan yang dipandu, keempat: kesempurnaan kereta yang dipandu, kelima: jalanraya dan permukaannya yang selamat, keenam: tanda-tanda arah dan berbahaya pada sudut-sudut tertentu di jalan raya,  ketujuh: kadar had laju yang diluluskan, kelapan: analisis kepada kes-kes kemalangan maut jalanraya.










Peraturan keselamatan jalan raya perlu dipantau dari masa ke semasa agar ianya sesuai dengan pertambahan bilangan jalan raya dan pembahagiannya, pertambahan kenderaan, pertambahan bilangan pemandu yang diluluskan dalam ujian memandu dan keselamatan kenderaan yang diluluskan untuk berada di atas jalan raya, seperti bas, lori, motor dan lain-lain.










Bimbingan dan latihan pemandu, jika bertujuan memahirkan seseorang pemandu dengan gaya memandu yang selamat, perlulah difikirkan tentang kadar masa latihan yang diwajibkan, kepatuhan pemandu kepada peraturan jalan raya semasa memandu sama ada dari sudut had laju, penggunaan stering, brek, lampu isyarat, cermin tepi, cermin belakang dan lain-lain. Latihan hendaklah ditumpukan kepada perkara-perkara tersebut dan lainnya yang ada kaitan dengan keselamatan jalan raya dan bagaimana seharusnya dia mengawal perasaan ketika dicabar pemandu lain.










Kesempurnaan kenderaan yang dipandu memerlukan perhatian yang teliti sebelum ianya dipandu. Perhatian ini amat bergantung dengan sikap seseorang pemandu yang sentiasa beringat dan  mengenalpasti tentang kesempurnaan kenderaannya yang akan dipandunya, khususnya jika dia akan menggunakannya dalam perjalanan jarak jauh.



Mewujudkan sebatang atau beberapa batang jalan raya dan permukaannya yang selamat dengan dibantu oleh papan-papan tanda tunjuk arah serta papan-papan tanda isyarat berbahaya pada tempat-tempat tertentu adalah menjadi tanggungjawab pemerintah. Setiap kawasan lencongan, simpang, curam dan tempat-tempat yang berbahaya hendaklah diletakkan papan-papan tanda khas yang memberi peringatan kepada pengguna jalan raya. Pemerintah juga harus menetapkan peraturan yang lebih khusus bagi tiap  jenis kenderaan yang berlainan dan diperjelaskan kepada umum.









Kadar had laju yang terkawal pada sesuatu kawasan adalah suatu usaha yang boleh menyumbangkan kepada pertambahan kadar keselamatan nyawa jika ianya dipatuhi dengan sempurna. Kerajaan hendaklah memantau kadar had laju ini dan membuat pindaan pada sebahagian kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan berbahaya.  Pindaan ini berkaitan rapat dengan pertambahan bilangan kenderaan dan kesesakan sesuatu jalan raya.










Kajian dan rumusan yang telah dibuat oleh pihak keselamatan jalanraya terhadap kes-kes kemalangan maut hendaklah didedahkan kepada pengetahuan umum dari masa ke semasa. Kajian dan rumusan itu hendaklah merangkumi pelbagai ciri sama ada ia berpunca dari peraturan yang tidak dipatuhi, latihan memandu yang tidak mencukupi, keadaan mental dan perasaan pemandu semasa memandu, keadaan permukaan jalan, keadaan kenderaan yang dipandu, tanda-tanda keselamatan atau berbahaya yang disediakan, had laju yang dipandu dan seterusnya akibat kegagalan mematuhi perkara-perkara di atas menentukan bentuk kemalangan yang berlaku, seperti kematian, keremukan pada bahagian hadapan kenderaan, badan kenderaan yang terputus dua dan sebagainya. Pengalaman daripada negara-negara lain perlu didedahkan kepada umum untuk dicontohi.










Sebuah buletin hendaklah diterbitkan oleh pemerintah pada setiap bulan bagi tujuan memaparkan kemalangan maut jalanraya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalanraya dengan disertakan gambar-gambarnya sekali. Selain dari itu, hendaklah dipaparkan juga jenis-jenis kenderaan yang tinggi dan rendah tahap keselamatannya bagi tujuan memberi pilihan terbaik kepada para pengguna memilih kenderaan yang akan dibelinya. Dengan itu mereka dapat  menentukan gaya memandunya yang sesuai. Berbagai pandangan dan nasihat dapat diselit di dalam buletin ini berkaitan dengan jalan raya dan cara memandu yang selamat daripada pihak-pihak yang berpengalaman untuk didedahkan kepada masyarakat umum dan masyarakat kenderaan.









Matlamat buletin ini pada dasarnya ialah memberi bimbingan dan nasihat kepada pemandu dan pengguna jalan raya, dengan itu kadar keselamatan akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa dan mungkin akan mencapai tahap sifir kemalangan serta lalulintas akan berjalan lebih lancar dan terjamin keselamatan pengguna.











Dalam Undang-undang Jenayah Syariah, kemalangan maut di jalan raya termasuk ke dalam lingkungan kesalahan membunuh dan pihak pemandu yang terlibat diwajibkan membayar pampasan nyawa kepada ahli waris mangsa yang terbunuh. Inipun jika disabitkan bahawa pemandu terbabit secara tidak sengaja (tanpa niat membunuh) telah melanggar mangsanya yang menyebabkan kematiannya. Kes sebegini biasanya dirujuk kepada kecuaian pemandu yang ada hubungkaitnya dengan pengabaian peraturan jalanraya ataupun memandu dalam keadaan mabuk dan lain-lain. Merujuk kepada hukuman di dalam Undang-jenayah Jenayah Syariah dan amalan yang sedang berlaku di Negara Arab Saudi, pampasan nyawa dalam kesalahan tidak sengaja adalah sebanyak RS100,000, iaitu harga kepada 100 ekor unta menurut jenisnya (Mat Saad, 1991, h. 130).











Dengan itu kita harus:

* Menimbang semula hukuman yang diperuntukkan undang-undang negara berkaitan dengan isu ini, adakah ia masih berpatutan jika dibandingkan dengan kehilangan satu nyawa atau beberapa nyawa akibat kecuaian pemandu?
* Kesombongan pemandu perlu dibentuk menerusi pendidikan akhlak dan hukuman berat yang berkesan.
* Latihan yang mencukupi bagi setiap pemandu.
* Pemandu hendaklah mampu mengawal perasaan ketika dia dicabar atau tercabar di jalan raya. Justeru, satu kursus untuk membangunkan rasa tanggungjawab dan sikap perihatin berkaitan dengan keselamatan umum perlu diadakan.
* Membiarkan persoalan ini berlarutan bermakna kita sengaja menambah bilangan mangsa yang akan terkorban pada setiap hari.
* Tanggungjawab pemerintah mengawal kesejahteraan dan keselamatan rakyat tidak seharusnya lemah dan tidak diremehkan. Kaedah Fiqhiyyah telah menyatakan bahawa Tindakan pemerintah adalah terikat dengan kepentingan rakyatnya  (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nadha'ir, 1996, 158).
* Sebuah buletin berkaitan dengan keselamatan jalanraya perlu diterbitkan setiap bulan sekali.
* Pemandu perlu membentuk sikap terpuji mengamalkannya semasa berada di jalanraya.
* Pemantauan harus sentiasa dijalankan dan bukan sekadar semasa musim perayaan dan sebagainya.



























Artikel ditulis oleh:







Dr. Haji Mat Saad Abd. Rahman,
Fellow Kanan Syariah
Pusat Syariah, Undang-undang & Sains Politik

Sumber: Laman web www.ikim.gov.my

21/07/2006