Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

KAMPUNG WIFI KE ARAH MERAKYATKAN JALUR LEBAR





internet Pelancaran KampungWiFi di Kampung Bahagia Jaya, Teku di Sibu, Sarawak pada 12 Mei 2010 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menggunakan sepenuhnya teknologi tanpa wayar atau ’wireless-fidelity’ (WIFI) untuk menambahbaik keterkaitan atau ’connectivity’ kepada perkhidmatan Internet di Sarawak. Majlis dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.






















Projek Kampung WiFi di Kampung Bahagia Jaya, Teku dijalankan melalui inisiatif awam-swasta yang membawa bersama kepakaran syarikat Pernec Paypoint Sdn Bhd. Menurut Tan Sri Khalid Ramli, Pengerusi SKMM ”Sarawak tidak akan dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar Jalur Lebar Nasional (NBI). Pelbagai perancangan telah disusun untuk meningkatkan infrastruktur bagi menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dalam dasar NBI di negeri Kenyalang ini.”


















Beliau berkata teknologi WIFI akan mempermudah pembentukan masyarakat berilmu (K-Society) di Sarawak serta membolehkan negeri ini menceburi aktiviti ekonomi berasaskan kepada pengetahuan. Pada majlis tersebut, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim menyerahkan komputer netbook kepada 14 orang pelajar cemerlang dari Kampung Bahagia Jaya.














Selain itu empat sekolah di Sibu turut menerima sumbangan komputer iaitu SMK Agama Sibu (13 komputer), SMK Sungai Merah (13 komputer), SMK Kwang Hwa Middle (14 komputer) dan SK Nanga Tutus (5 komputer). Projek Kampung WiFi menyediakan kemudahan sambungan Internet tanpa wayar di mana syarikat Pernec meletakkan antena wi-fi di atas bumbung sekolah bagi memudahkan penggunaan jalur lebar bagi pelajar sekolah dan penduduk di kampung tersebut. Mereka dapat mengakses jalur lebar dengan kelajuan sehingga 4Mbps dalam lingkungan jarak sekitar radius 50 meter.





















Usaha ini membolehkan rakyat di kawasan-kawasan luar bandar dapat menikmati dan mengambil faedah kemudahan ICT sepertimana mereka yang berada di bandar sebagai mangkin untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dan mewujudkan nilai ekonomi sama ada bagi isirumah, pelajar, wanita dan warga emas. Usaha merapatkan jurang digital ini merangkumi segala aspek ICT iaitu kemudahan komunikasi seperti telekomunikasi, Internet, maklumat, perisian dan perkakasan multimedia. Kemahiran dalam bidang ICT boleh membantu matlamat penduduk tempatan untuk meneroka bidang-bidang kemajuan di kawasan itu, menjana ekonomi serta kemajuan di bidang ilmu dan pendidikan khususnya dalam melahirkan generasi digital.
















Peruntukan perkhidmatan jalur lebar merupakan penyelesaian paling tepat dalam menambahbaik penembusan Internet dalam sebuah negeri yang besar seperti Sarawak dengan bilangan penduduk yang kecil, kira-kira dua juta orang dengan penempatan mereka tersebar luas di negeri ini. Walaupun nampak kecil, pelaksanaan Kampung WiFi mempunyai matlamat yang penting dan bermakna dalam arus membangunkan negara ke arah status negara maju. Langkah ini dilihat kelak akan memberi lonjakan kepada penembusan jalur lebar di kawasan kampung dan di luar bandar seterusnya merapatkan jurang digital. Kampung WiFi ini ternyata dapat menyediakan kemudahan Internet dan ICT kepada masyarakat setempat untuk dinikmati bersama.