Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Rmk-10 Kemakmuran Ekonomi Dan Keadilan Sosial

PENDAHULUAN


Kepelbagaian corak kehidupan masyarakat Malaysia yang diwarnai dengan pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam memerlukan kepimpinan negara menyediakan landasan yang tepat untuk setiap rancangan. Perancangan yang menyeluruh dan mampan adalah titik tolak kerajaan yang sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat agar kemakmuran dan keadilan dapat diagih secara saksama. Kerajaan sentiasa menyediakan perancangan yang tersusun, menyeluruh dan adil untuk pembangunan negara dan rakyat yang berbilang kaum.


Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) adalah kesinambungan pelan rancangan pembangunan negara jangka sederhana untuk tempoh lima tahun. RMK10 adalah bagi tempoh 2011 hingga 2015 dirangka amat kritikal bagi meneruskan agenda pembangunan negara ke arah menuju Wawasan 2020 dengan berpaksikan negara maju serta berpendapatan tinggi. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan, kerajaan menggarap rancangan ini untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira kaum, sempadan geografi dan politik.


Selaras dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan, kerajaan menyasarkan RMK10 adalah pemangkin kepada pencapaian Wawasan 2020. Ekonomi yang berpaksikan pengetahuan, inovatif, kreatif dan berkemahiran tinggi, dijana oleh sektor perkhidmatan akan melonjakkan aspirasi negara pendapatan tinggi. Negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor eksport, pertanian, perlombongan dan elektronik selepas kegawatan yang melanda ekonomi pada tahun 2008 lalu. Pengalaman Malaysia mengharungi krisis kewangan dunia yang bergantung pada eksport telah mematangkan kepimpinan kerajaan untuk mengorak langkah ke ekonomi yang berpaksikan perkhidmatan.


RMK10 adalah pelan rancangan pembangunan negara yang digubal untuk menyokong pelaksanaan Model Baru Ekonomi, enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),  Bidang Ekonomi Utama Negara dan Pelan Transformasi Kerajaan. Perkara tunjang atau yang lebih penting ialah melaksanakan Gagasan 1Malaysia agar seluruh rakyat mendapat kehidupan yang sempurna dan berkualiti setanding dengan negara maju. Peralihan atau perubahan daripada satu sistem yang lama kepada yang baru akan mengambil masa kerana perubahan minda memerlukan masa.


RMK10 MELANGKAH KE HADAPAN


RMK10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan  dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi. Dalam RMK10, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38, 850 atau USD 12,140 pada tahun 2015. Keadaan ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar Enam peratus setahun.


Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta kesesuaian teknologi semasa.


Di persada global, perjalanan negara ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Malaysia tidak boleh lagi bergantung pada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan persaingan negara-negara seperti China, India, Brazil, Russia, Timur Tengah dan juga negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan. Malaysia perlu melaksanakan transformasi minda dan ekonomi untuk terus kekal bersaing di peringkat global. RMK10 adalah landasan yang sesuai digubal untuk melaksanakan perubahan untuk pembangunan negara yang seimbang dan berdaya saing. Rakyat perlu bersedia untuk melangkah ke hadapan menerima dan melakukan perubahan untuk bersama membangunkan negara.






RMK10 PEMANGKIN MODEL BARU EKONOMI


Penggubalan RMK10 berdasarkan kepada kesesuaian bagi mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE). Setiap strategi yang dirangka merupakan pemangkin kepada kejayaan MBE yang berpaksikan negara maju berpendapatan tinggi. Sokongan dan sumbangan pelbagai sektor perlu bagi menjayakan setiap rangka strategi yang digubal dalam RMK10. Sektor swasta dan awam akan memainkan peranan yang seiring bagi menzahirkan cita-cita murni kerajaan. Perkongsian pintar yang akan menguntungkan kedua-dua pihak dilihat mampu menjana pembangunan untuk negara bergerak ke arah negara maju menjelang 2020.


Kerjasama sektor awam dan swasta dengan perancangan dan pelaksanaan yang tersusun akan dapat memacu pembangunan negara dengan lebih pantas. Tempoh waktu untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 hanya berada sekitar sepuluh tahun lagi. Perubahan atau transformasi ekonomi negara yang diperkenalkan kerajaan wajar dilaksanakan tanpa halangan atau kerenah birokrasi pentadbiran yang mengekang kelancaran pelaksanaan. Sektor awam perlu melaksanakan perubahan beberapa prosedur pentadbiran untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu kerjasama kedua sektor adalah perubahan yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Pihak swasta akan diberi peluang menyertai pembangunan beberapa projek yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC ). Beberapa projek besar yang berjumlah RM63 bilion telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah RMK10. Setakat ini 52 projek yang berimpak tinggi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan. Antara projek tersebut ialah pembinaan tujuh lebuh raya , projek loji jana kuasa Elektrik dan pembangunan semula kawasan Sungai Buluh di tanah Lembaga Getah Malaysia. Kesepakatan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan dijangka mencapai sasaran yang dihajati oleh kerajaan Dana untuk membiayai pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi akan disediakan oleh kerajaan sebanyak RM20 bilion melalui Dana Mudah cara  atau Facilitation Fund. Pewujudan Dana ini bertujuan merapatkan jurang daya maju pelabur swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi. Projek-projek ini menjadi pemangkin kepada kesan limpahan pelabur yang dapat menjana ekonomi negara. Dianggarkan dalam tempoh pelaksanaan RMK10, syarikat-syarikat swasta yang bekerja sama dengan GLC mampu menarik sehingga RM200 bilion  nilai pelaburan swasta.


Melalui bantuan dan inisiatif pelbagai dana yang disediakan kerajaan, syarikat-syarikat swasta akan lebih berdaya saing di samping mengurangkan risiko. Sebanyak RM500 juta diperkenalkan bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan. Jaminan dan penyediaan dana modal serta sokongan penuh GLC akan dapat memacu kelancaran syarikat yang mula menceburi bidang perniagaan. Tahap risiko dan jaminan modal yang dijamin kerajaan akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat swasta berkembang dan menarik pelabur luar untuk pengkomersilan pintar dengan syarikat multinasional.


Ekonomi yang berasaskan perkongsian pintar antara swasta dan kerajaan akan menguntungkan kedua pihak. Situasi menang menang akan menjamin KDNK negara mencatat yang tinggi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan. Limpahan ekonomi yang stabil serta berdaya maju akan memberi peluang kepada rakyat tempatan mengecapi pendapatan yang lebih tinggi melalui pekerja yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi. Hasrat menzahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi akan terlaksana menjelang 2020. Sokongan dan kerjasama antara swasta dan awam lebih menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang dengan meraih pelbagai keuntungan kedua pihak.


INFASTRUKTUR BERTARAF DUNIA


Selaras dengan harapan dan cita untuk menjadi negara maju menjelang 2020, kemudahan dan infrastruktur yang lengkap akan disediakan. Lebuh raya, kemudahan awam rakyat, landasan kereta api berkembar serta rangkaian telekomunikasi yang pantas dan meliputi semua kawasan akan dibangunkan dalam tempoh RMK10. Status negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi memerlukan pencapaian infrastruktur dan jalinan komunikasi yang canggih meliputi seluruh negara tanpa batas sempadan geografi.


Pembinaan Lebuh raya Pantai Timur fasa 2 yang menghubungkan Kuantan dengan Kuala Terengganu akan memberi manfaat kepada penduduk sepanjang rangkaian tersebut. Limpahan pembangunan akan dapat dinikmati oleh penduduk melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang dapat diusahakan. RM3.7 bilion telah di peruntukan dalam RM10 untuk melaksanakan pembinaan Lebuh raya tersebut. Di samping itu pembinaan jalan raya antara Kuala Lipis ke Cameron Highland dan Jerantut ke Sungai Lembing di pedalaman Negeri Pahang akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk mengeluarkan hasil mahsul serta mengembangkan peluang ekonomi lain. Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan rangkaian Lebuh raya dan jalan raya yang menghubungkan bandar, pekan dan kampung seluruh negara akan menggambarkan Malaysia mempunyai kemudahan pengangkutan darat yang lengkap.


Rangkaian landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru dengan peruntukan RM 8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap landasan dari Padang Besar di Utara  ke Johor Bahru di Selatan yang telah diperuntukkan RM16.5 bilion dan dijangka siap menjelang 2015. Pertambahan pengguna pengangkutan awam seperti kereta api akan memberi keselesaan kepada rakyat. Kesesakan lalu lintas dan kenaikan kos bahan api akan memberi pilihan kepada rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam. Di samping itu pengangkutan kargo barang-barang juga akan dapat digunakan secara optimum dengan pengangkutan kereta api.


Kemudahan pengangkutan awam yang bersepadu dan moden perlu diwujudkan di Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Pembangunan kemudahan awam yang bertaraf dunia sekitar Kuala Lumpur akan dilaksanakan dalam tempoh RMK10. Mass Rapid Transit(MRT),  yang berkapasiti tinggi sepanjang 150 km akan dibangunkan. Pembangunan ini akan dapat menampung dua juta penumpang sehari . Keperluan dan keutamaan memperlengkapkan Kuala Lumpur sebagai pusat komersial antarabangsa menjadi keperluan kerajaan menjelang 2015 agar setanding dengan negara maju.


Penyediaan infrastruktur yang bertaraf dunia sewajarnya dibangunkan di negara ini sebelum negara melangkah menjadi negara maju pada 2020. Urusan eksport dan import yang melibatkan pengangkutan laut juga wajar diberi perhatian yang khusus. Pergerakan dan kemasukan kapal-kapal dagang ke negara ini akan meningkatkan perdagangan antarabangsa. Keselesaan dan kemudahan laluan kapal juga diberi penekanan dalam RMK10. RM1 bilion bagi kerja menaik taraf infrastruktur maritim termasuk kerja mendalamkan muara di alur pelayaran bagi keperluan kapal yang lebih besar. Menaik taraf serta memperbaiki kemudahan di Pelabuhan Barat, Tanjung Pelepas dan Pulau Pinang bagi meningkatkan keupayaan import dan eksport. Sebanyak RM6bilion diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf pelabuhan tersebut.
Pandangan utama pelancong atau bakal pelabur terhadap sesuah negara adalah kepada Lapangan Terbang. Kemudahan dan keselesaan yang bertaraf dunia wajar disediakan kerajaan terhadap semua pintu masuk udara di negara ini terutama yang berstatus Lapangan Terbang Antarabangsa. RM10 telah memperuntukkan RM 3.3 bilion untuk meningkatkan kapasiti Lapangan Terbang di negara ini selaras dengan penambahan penumpang dan kargo udara. Kemudahan dan keselesaan pengguna terutama pelancong asing akan memberi pulangan yang menguntungkan negara. Di samping itu imej negara di mata dunia akan meningkat serta menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan.


Mempunyai rangkaian telekomunikasi yang canggih serta menyeluruh antara ciri negara maju. Penyediaan Jalur Lebar berkelajuan tinggi akan memacu kepesatan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. RMK10 akan melaksanakan projek Jalur Lebar berkelajuan tinggi secara berperingkat ke seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan yang selesa dan memuaskan pengguna. Kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman akan di bekalkan dengan kemudahan Jalur Lebar mengikut kesesuaian dan kepentingan. Perkhidmatan tanpa wayar akan disediakan dengan pakej mampu milik di kawasan luar bandar atau pedalaman. Pembangunan sistem Jalur Lebar berkelajuan tinggi akan dapat memberi peluang kepada rakyat terutama pelajar mengakses internet di mana-mana dalam negara ini. Kemudahan prasarana ini bertujuan memberi rakyat peluang yang sama rata antara bandar dan luar bandar. Di samping itu kerajaan berharap setiap rakyat mampu menjadi warga yang celik ICT dan bermaklumat.



KEADILAN SOSIAL


Penggubalan RMK10 bertepatan dengan pelaksanaan kerajaan menjayakan Gagasan 1Malaysia. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan adat budaya akan menerima peluang yang sama dalam pelbagai bidang. Keselesaan dan kemudahan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan menjadi fokus dalam RMK10 agar tiada kumpulan atau kaum yang tersisih daripada arus pembangunan negara. Hasrat membangunkan negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi tidak meminggirkan mana-mana kumpulan atau golongan yang masih memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan.


Kebergantungan rakyat kepada subsidi perlu diubah kerana kebanyakan subsidi dinikmati oleh golongan yang berada dan berkemampuan. Kerajaan akan menyusun semula pemberian subsidi kepada rakyat, namun bantuan kepada kumpulan yang memerlukan akan diteruskan agar golongan ini tidak tersisih daripada arus perdana kemajuan negara. Kerajaan sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat agar tiada yang terpinggir daripada setiap program atau dasar yang diperkenalkan.


Pembangunan tanah secara berkelompok atau menggunakan pendekatan agropolitan akan dilaksanakan untuk pembangunan pertanian kepada masyarakat Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Pemberian tanah ini untuk golongan ini akan membolehkan mereka memajukan dengan bantuan kerajaan. Di samping itu mereka turut diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur  dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan kemahiran. Kerajaan tidak mahu ada golongan atau kumpulan yang tertinggal dalam pelaksanaan RMK 10 kerana keadilan sosial perlu diutamakan. Pemberian tanah serta usaha memajukan pertanian secara berkelompok  membolehkan mereka menikmati pendapatan yang lebih lumayan.


Tumpuan juga akan diberi kepada masyarakat India yang tinggal di Estet dengan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik. Peruntukan sebanyak RM109 juta disediakan untuk menyediakan bekalan air bersih kepada pekerja ladang agar mutu kehidupan dapat dinikmati. Turut diberi perhatian ialah penduduk Cina yang menghuni kampung-kampung baru. Kebanyakan masalah yang dihadapi masyarakat kampung baru adalah berkaitan dengan premium tanah yang dihuni mereka. Peruntukan sebanyak RM100 juta sebagai dana permulaan untuk mereka membayar premium tanah. Bank Simpanan Nasional dilantik untuk menyalurkan pinjaman mudah kepada penduduk kampung baru. Keprihatinan kerajaan terhadap setiap kaum atau kumpulan minoriti di negara ini agar tiada yang terpinggir dengan setiap pelan pembangunan kerajaan terutama RMK10.


Program pembangunan latihan kemahiran akan disediakan kepada golongan muda terutama yang berminat dengan perniagaan. Penyediaan kemudahan kredit melalui TEKUN dan AIM akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan ini akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang pengurusan kewangan, penyelidikan, rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Penyediaan segala peluang ini bertujuan untuk mengurangkan jurang antara penduduk terutama yang tinggal di bandar. Melalui latihan dan penyediaan mikro kredit ini rakyat terutama golongan muda berpeluang memajukan diri, masyarakat dan negara dengan menceburi bidang perniagaan.


MEMBANGUNKAN MODAL INSAN


Pembangunan Modal Insan menjadi kesinambungan dalam RMK10. Hasrat menjayakan Model Baru Ekonomi dan mencapai status negara maju menjelang 2020 serta negara berpendapatan tinggi lahirnya daripada pembangunan modal insan kelas pertama. Bermula daripada kanak-kanak sehingga golongan belia wajar menerima pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan negara. Ekonomi yang berpaksikan perkhidmatan dan kepakaran tinggi dengan inovatif serta kreatif memerlukan penyediaan peluang-peluang pengajian dan tenaga pengajar yang berkemahiran tinggi. RMK10 banyak menyediakan segala kemudahan fizikal dan bukan fizikal kepada bidang pendidikan untuk menjana pelaksanaannya.


Menyediakan modal insan kelas pertama yang berkualiti serta pengetahuan yang tinggi dengan nilai-nilai inovatif dan kreatif perlu bermula daripada zaman kanak-kanak. Proses pembelajaran yang dimulai daripada zaman kanak-kanak akan mengerakkan daya kreatif yang tinggi selain percambahan ilmu di peringkat awal usia. Di akhir tempoh RMK10, kerajaan akan mengurangkan umur persekolahan daripada enam ke lima tahun untuk mencapai matlamat menyediakan pendidikan di awal usia agar percambahan kreativiti dapat digarap dengan lebih bersistem.


Guru atau tenaga pengajar merupakan aset utama kepada pembelajaran dan pengajaran. Guru yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang berkaitan akan dapat melahirkan pelajar atau murid yang berkualiti. Latihan dan pengambilan guru dalam tempoh RMK10 akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek kemahiran, inovatif, kreatif dan kelayakan yang sewajarnya di samping menambah bilangan guru siswazah sehingga 60 peratus di sekolah rendah seluruh negara.


Subjek-subjek kritikal seperti Bahasa Malaysia, Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik memerlukan guru yang berkualiti dan mahir dalam bidang berkenaan. Pengambilan guru dalam subjek-subjek tersebut akan dipertingkatkan dengan memastikan hanya yang berkelayakan dan berminat ditawarkan mengisi jawatan tersebut. Begitu juga pendidikan prasekolah yang menentukan permulaan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan prasekolah juga dititik beratkan dengan meningkatkan pengambilan tenaga pengajar kepada kelayakan Diploma atau Sarjana Muda. Selaras itu juga kerajaan akan menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang cemerlang dan menjadi pilihan utama. Pembentukan modal insan yang berkualiti adalah bermula dengan penyediaan segala kemudahan dan tenaga pengajar yang berkualiti.


Kerjasama dan penglibatan swasta memajukan sistem pendidikan negara akan mempercepatkan proses kecemerlangan pendidikan negara. Kerajaan akan memberi insentif RM10,000 kepada sektor swasta yang menubuhkan pendidikan prasekolah di institusi mereka. Melalui kaedah dan galakan ini bilangan prasekolah akan dapat ditambahkan dengan keselesaan dan kemudahan yang lengkap. Keselesaan  suasana pembelajaran akan memberi semangat dan galakan kepada kanak-kanak untuk menghayati agar minat mereka belajar dapat diterjemahkan.


Pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan pendidikan yang berteraskan agama juga tidak ketinggalan dalam perancangan RMK10. Bantuan merupa dana tahunan disediakan untuk sekolah-sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil juga kepada sekolah mubaligh ( mission school ). Setiap satu akan menerima RM70 juta yang melibatkan peruntukan RM280 juta bagi tempoh 2011 dan 2012. Pengiktirafan juga diberi kepada lulusan sekolah menengah agama untuk menjadi guru pendidikan Islam dan J-QAF. Begitu juga dengan lepasan yang berkelayakan daripada sekolah-sekolah jenis kebangsaan untuk mengikuti kursus latihan guru.


Di samping itu untuk meringankan beban sekolah bantuan modal, kerajaan akan menyediakan bantuan pembayaran utiliti iaitu bil eletrik dan air sehingga RM2,000 sebulan. Sebanyak 1,900 buah sekolah bantuan modal akan menikmati bantuan tersebut. RMK10 memberi peluang kepada memperkasakan pendidikan negara tanpa mengira kaum dan bentuk pendidikan. Matlamat utama kerajaan ialah memberi pendidikan yang menyeluruh kepada kanak-kanak di seluruh negara. Mereka akan penentu dan modal insan yang akan membina negara di masa depan.


Peluang dan ruang untuk membangunkan modal insan begitu banyak disediakan kerajaan untuk memberi pendidikan yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tiada satu kumpulan atau kaum yang dipinggirkan untuk sama-sama menikmati kemakmuran negara hasil limpahan ekonomi berkat kesepaduan dan kemuafakatan kerajaan. Matlamat Gagasan 1Malaysia untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat serta stabil akan dapat diwujudkan lebih awal melalui pendidikan yang bersepadu kepada rakyat bermula daripada kanak-kanak. Kanak-kanak lebih memahami dan menghayati segala nilai dan aspirasi 1Malaysia melalui pendidikan yang terancang. RMK10 adalah pemangkin kepada pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang diilhamkan dalam Rukun Negara.





PENGIKTRAFAN KEPADA UNIVERSITI


Melahirkan modal insan yang berilmu serta berkualiti secara berterusan menjadi fokus utama kerajaan untuk menjayakan misi nasional dan menterjemahkan Model Baru Ekonomi. Ekonomi yang berpaksikan pengetahuan, kreativiti dan inovasi memerlukan tenaga mahir dan pakar yang mampu mengilhamkan perkhidmatan terbaru. Pendidikan tinggi adalah pemangkin kepada melahirkan cendekiawan dan tenaga-tenaga pakar negara. Universiti di negara ini telah berjaya mencipta serta menempa kejayaan yang membanggakan negara. Banyak penemuan baru dan tenaga pakar telah dikeluarkan. Terdapat ramai yang telah mencipta nama di luar negara dan berkhidmat dengan agensi luar negara.
RMK10  memberi peluang kepada universiti-universiti tempatan untuk mendapatkan autonomi secara berperingkat. Melalui autonomi ini, setiap universiti akan mempunyai kuasa dan hak untuk menjana pendapatan dan mengurus dengan acuan dan kehendak mereka. Walau pun begitu kerajaan akan memastikan agar mutu serta matlamatnya tidak menyimpang daripada landasan pewujudan universiti. Melalui pemberian autonomi ini, setiap universiti akan dapat mengukuhkan peranan dan meningkatkan prestasi institusi berkenaan serta mempunyai daya saing yang sihat.
Penambahan tenaga pakar akan dapat diwujudkan melalui pengajar atau pensyarah yang berkaliber serta mempunyai tahap akademik yang tinggi. Penambahan bilang pensyarah yang mempunyai kelayakan PhD akan ditambah di setiap universiti sejajar dengan matlamat melahirkan graduan yang mampu bersaing di pasaran global serta mempunyai kepakaran yang tinggi. Semasa pelaksanaan RMK10, penambahan kepada 75 peratus pensyarah yang memiliki PhD akan dilaksanakan di universiti-universiti penyelidikan. Pada masa ini terdapat empat buah universiti yang telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Dalam RMK10, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan diiktiraf sebagai universiti penyelidikan menjadikan Malaysia mempunyai lima buah universiti penyelidikan. Dengan penambahan universiti pendidikan di negara ini, akan dapat melahirkan lebih ramai pengkaji, penyelidik dan pencipta yang bertaraf dunia.


LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL


Model Baru Ekonomi akan dipacu oleh modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Bagi menjayakan hasrat negara berpendapatan tinggi melalui perkhidmatan yang kreatif dan berinovatif, penyediaan peluang-peluang latihan kemahiran kepada rakyat  semestinya seiring dengan keperluan tersebut. Bermula dengan Pakej Rangsang Ekonomi yang diperkenalkan ketika negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi, kerajaan terus melaksanakan latihan dan kemahiran vokasional kepada pekerja tempatan. Penyediaan tenaga kerja yang berpengetahuan dan mahir wajar diteruskan agar negara tidak terus bergantung dengan tenaga kerja asing. Rakyat tempatan wajar membangunkan negara sendiri agar nisbah pengangguran negara tidak meningkat.


RMK10 banyak menyediakan peluang kepada pekerja-pekerja tempatan untuk memantapkan ilmu dan kemahiran agar dapat mengisi keperluan pasaran kerja di masa depan. Ekonomi yang berpaksikan perkhidmatan dan kemahiran tinggi memerlukan pekerja yang berkemahiran serta berilmu. RM500 juta akan disediakan melalui Perbadanan Kemahiran dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan kelayakan dan kemahiran. Dianggarkan seramai 38,000 pekerja akan menikmati peluang ini. Kerajaan juga melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia  serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana akan menyediakan geran sepadan untuk membangunkan latihan kemahiran kepada pekerja. Melalui geran ini kerajaan membantu majikan  dan industri untuk melatih pekerja bersesuaian dengan keperluan semasa.


Sijil Kemahiran Malaysia akan diiktiraf sebagai kesesuaian kepada pasaran kerja dan keperluan masa depan. Seramai 60,000 pekerja yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman akan diiktiraf oleh kerajaan melalui pemberian Sijil Kemahiran Malaysia. Langkah ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat terutama golongan muda berminat dengan bidang kemahiran. Program atau tindakan ini akan dapat melahirkan pekerja yang mempunyai keyakinan diri dan mampu bersaing di pasaran. Di samping itu pengurangan kepada tenaga kerja asing dalam bidang-bidang tertentu dapat dikurangkan agar pengaliran wang keluar negara dapat dibendung.


KESELAMATAN NEGARA KESEJAHTERAAN RAKYAT


Keselamatan adalah aset utama bagi menentukan kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara. Keadaan yang aman di mana rakyat dan pelabur bebas bergerak tanpa sebarang perasaan curiga akan menjamin kemakmuran ekonomi negara. Negara yang kadar jenayah seperti rompak, ragut, samun, curi dan peras ugut akan diyakini oleh para pelabur dan pelancong luar negara untuk menanam modal atau melancung. Kerajaan telah mengambil langkah awal mengurangkan kadar jenayah negara dengan memperkenalkan salah satu NKRA iaitu mengurangkan kadar jenayah negara. Rakyat memerlukan keadaan yang selamat dan bebas untuk menikmati kehidupan di samping meneruskan aktiviti ekonomi.


Bidang Keberhasilan Negara berkaitan dengan jenayah  yang menjadi keutamaan kerajaan ialah mengurangkan sehingga ke paras sifar menjelang 2015. Peruntukan yang besar saban tahun telah diberikan kepada PDRM bagi melaksanakan program dan aktiviti pengurangan jenayah terutama di bandar-bandar besar yang menjadi tumpuan rakyat dan pelancong. RMK10 telah memperuntukkan RM2.4 bilion untuk menjaga kebajikan anggota polis seperti menaik taraf balai polis, kediaman serta menambah prospek kerjaya sebagai motivasi untuk meningkatkan prestasi pasukan polis. Polis diberi tanggungjawab yang besar untuk menangani masalah jenayah bagi memberi keyakinan kepada rakyat tentang keselamatan negara dan mereka adalah terjamin.


Memupuk budaya kesukarelaan dalam masyarakat Malaysia menjadi agenda dalam program pengurangan kadar jenayah. Penglibatan semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan orang ramai amat digalakkan bagi menghidupkan semangat kesukarelaan seperti pasukan rondaan kampung, taman perumahan dan pekan-pekan bagi mengurangkan kadar jenayah. Peruntukan sebanyak RM2.04 juta disediakan bagi melaksanakan program membina pasukan kesukarelaan bagi mengurangkan jenayah. Di samping itu RM120 juta juga diperuntukkan di bawah Skim Rondaan Sukarela dalam bentuk inisiatif bagi menggalakkan budaya kesukarelaan seperti program Rukun Tetangga dengan penyertaan penduduk setempat di kawasan kejiranan.



KEMUDAHAN KESIHATAN


Satu daripada penanda aras atau indikator negara maju ialah penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang lengkap di samping rakyatnya sihat dan cerdas. Penyediaan kemudahan kesihatan yang menyeluruh serta bertaraf dunia telah lama dilaksanakan oleh kerajaan. Kerajaan sentiasa memastikan tidak ada kawasan atau rakyat yang tidak mendapat perkhidmatan kesihatan di negara ini. Sejak RMK pertama  hingga RMK10 perkhidmatan kesihatan sentiasa diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Banyak hospital, pusat kesihatan, klinik, klinik bergerak tidak ketinggalan juga hospital pakar telah banyak didirikan di setiap negeri dalam negara ini. Peruntukan yang berbilion ringgit setiap tahun telah diberi kepada sektor kesihatan bagi menjamin kualiti kesihatan kepada rakyat.


RMK10 telah menyediakan peruntukan sebanyak RM637 juta untuk membina 156 buah klinik di kawasan luar bandar,41 klinik kesihatan komuniti dan 50 klinik 1Malaysia. Tanpa mengira lokasi sama ada bandar, pedalaman atau taman perumahan, kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan kesihatan kepada rakyat. Tidak ada mana-mana kawasan atau rakyat yang terpinggir daripada menikmati peluang kesihatan percuma di negara ini. Keprihatinan kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan bertujuan mewujudkan rakyat Malaysia yang sihat, cergas dan mampu melaksanakan pembangunan untuk negara atau menyumbang secara yang mampu.


Kemewahan dan nikmat pembangunan yang dikecapi rakyat Malaysia kini telah menyebabkan pertambahan bilangan pesakit. Pelbagai penyakit sama ada kronik atau wabak semakin bertambah di negara ini menyebabkan kebanyakan hospital kerajaan menjadi sesak. Prihatin dengan situasi ini, kerajaan sentiasa menambah bilangan hospital dengan membina bangunan tambahan atau baru. Empat buah hospital baru dan empat yang akan di naik taraf akan dilaksanakan dalam RM10. Peruntukan sebanyak RM600 juta telah disediakan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat yang memerlukan rawatan.




PERUMAHAN UNTUK RAKYAT


Keselesaan rakyat menjadi agenda utama kerajaan dalam sebarang perancangan. Rumah merupakan perkara yang sering diperkatakan oleh rakyat terutama yang menghuni kawasan perbandaran. Pertambahan penduduk serta luasnya peluang pekerja telah mendesak rakyat terutama golongan muda berhijrah ke kawasan-kawasan industri atau ke perbandaran. Keperluan perumahan semakin mendesak rakyat untuk menyewa atau membeli kepada yang berkemampuan. Pembinaan perumahan yang dibangunkan oleh swasta tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Kerajaan terpaksa membentuk badan yang dipertanggungjawabkan mengenai urusan penyediaan perumahan rakyat. Syarikat  Perumahan Negara telah mengenal pasti, merancangkan dan mengambil alih segala projek perumahan yang terbengkalai untuk menjamin hak rakyat tidak disia-siakan. Di samping itu Syarikat Perumahan Negara merancang pembinaan perumahan rakyat mampu milik untuk memenuhi tuntutan perumahan rakyat.


78,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam RMK10 untuk memberi keselesaan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah. Penyediaan perumahan yang teratur dan terurus akan membendung pembinaan setinggan yang menjijikkan pemandangan bandar-bandar terutama Kuala Lumpur. Sasaran setinggan sifar menjelang 2020 menyebabkan kerajaan merancang, membina dan menempatkan masyarakat di bandar-bandar agar segala perancangan dan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Di samping itu kemudahan di kawasan perumahan seperti taman permainan, lif, tangki air dan lain-lain kemudahan bersangkutan akan dipertingkatkan. RM500 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan penyelenggaraan kemudahan tersebut demi memberi keselesaan kepada penduduk. Tanpa mengira perumahan awam yang dimajukan kerajaan mahu pun yang dibina swasta. Hasrat memberi keselesaan kepada rakyat menjadi aspirasi kerajaan berdasarkan 1Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.




MENINGKATKAN EKUITI BUMIPUTERA


Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tidak akan dipinggirkan dalam apa-apa dasar kerajaan sekalipun. Penglibatan dan peranan bumiputera dalam memajukan negara wajar diberi keutamaan. Hak istimewa dan kedudukan bumiputera tidak akan digadai atau berkompromi dengan segala anasir yang ingin mencabulnya. Rangka atau pelan untuk memperkasakan bumiputera telah dikenal pasti kerajaan dalam menyediakan RMK10.
Meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera melalui penginstitusian. Program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluas bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti bumiputera. Kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan swasta bumiputera. EKUINAS mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi peneraju utama dalam sektor masing-masing. EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Kerajaan akan menyokong usahawan bumiputera berwibawa dan golongan profesional bumiputera yang berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa.


Mempertingkatkan pemilikan hartanah bumiputera. Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah untuk mengurangkan kekangan kepada bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri serta mendapat faedah daripada peningkatan hartanah tersebut. Kampung Baru di Kuala Lumpur, merupakan aset bumiputera yang berharga di tengah Pusat Bandar raya. Kampung Baru perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah di kawasan tersebut.



Kerajaan akan menambahbaik  program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan bumiputera. Pakej bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Pakej ini termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk kemudahan usahawan bumiputera.


Membangunkan guna tenaga profesional bumiputera secara lebih menyeluruh. Kerajaan telah berjaya melahirkan banyak profesional bumiputera termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor, peguam dan profesional lain. Sehingga kini kebanyakan sektor atau profesion  telah diceburi oleh golongan profesional bumiputera. Kejayaan melahirkan profesional bumiputera adalah berkat usaha dan kesungguhan kerajaan memajukan golongan bumiputera agar mereka dapat bersaing dengan kaum-kaum lain. Dalam tempoh 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus.


Satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera akan ditubuhkan dan dipengerusikan Perdana Menteri dengan dianggotai beberapa menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan dan pihak swasta. Tanggungjawab dan kesungguhan membangunkan taraf kehidupan bumiputera menjadi tunjang kepada setiap dasar atau program pembangunan kerajaan agar golongan bumiputera tidak tersisih daripada arus kemajuan. Sesungguhnya program pembangunan usahawan bumiputera akan mempercepatkan proses pegangan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam negara sebagaimana yang dihajati dalam Dasar Ekonomi Baru 1970.



KESIMPULAN


Tempoh Malaysia menuju mencapai Wawasan 2020 dengan matlamat negara maju berserta negara berpendapatan tinggi sebagaimana inti pati daripada Model Baru Ekonomi hanya tinggal sepuluh tahun lagi. RMK10 adalah landasan kepada pencapaian matlamat tersebut kerana di akhir pelaksanaannya, negara dan rakyat semestinya sudah bersedia menempuh RMK11 yang akan menuju negara maju pada 2020. Penyertaan rakyat terutama bumiputera dalam menerima, menghayati dan melaksanakan segala teras dan strategi dalam RMK10 adalah wadah kepada kejayaan rancangan tersebut. Hasrat dan nilai murni sesuatu perancangan tidak tercapai tanpa penerimaan dan penyertaan rakyat. RMK10 pula digubal dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat  apabila negara berada persada global.

 

Peruntukan RM230 bilion untuk tempoh 2011 hingga 2015 meliputi keseluruhan sektor . Kerjasama awam swasta amat diharapkan bagi melaksanakan pembangunan negara dijayakan melalui penglibatan bersama. RMK10 menggalakkan perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta kerana limpahan dan pembangunan ekonomi yang tinggi akan menguntungkan pihak swasta di samping kerajaan menerima hasil dalam bentuk cukai. Dalam tempoh peralihan model ekonomi sedia ada kepada Model Baru Ekonomi, kerjasama dan penglibatan swasta amat digalakkan kerana mereka adalah penggerak dan penjana ekonomi negara.


RMK10 meliputi pengagihan yang menyeluruh tanpa menyisihkan mana-mana kumpulan atau golongan minoriti di negara ini. Pengagihan kekayaan negara yang saksama dan mengutamakan kepentingan keseluruhan rakyat menjadi teras perancangan. Sejajar dengan Gagasan 1Malaysia, RMK10 tetap berpaksikan kepada kepentingan dan mendahulukan rakyat di samping meningkatkan pencapaian. Kaum bumiputera dan Orang Asli sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak mendapat perhatian yang khusus, di mana kerajaan banyak memberi bantuan, galakkan dan kemudahan untuk membolehkan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana kemajuan.


Penyediaan dan pembangunan modal insan menjadi agenda utama negara untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi dan menjadi negara maju menjelang 2020. Ekonomi yang berpaksikan pengetahuan, inovatif dan kreatif memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. RMK10 telah menyediakan landasan yang kukuh serta sistematik untuk memartabatkan sistem pendidikan dan pembelajaran negara. Latihan dan kemahiran sama ada ditaja kerajaan atau melalui perkongsian pintar pihak swasta dan kerajaan akan memberi peluang yang lebih luar kepada golongan muda untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan menjana kemahiran sebelum memasuki pasaran industri. Di samping itu hasrat membangunkan negara dengan diterajui anak tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing menjadi keutamaan.


Penyediaan prasarana dan kemudahan awam yang lengkap dan bertaraf dunia melibatkan peruntukan yang besar. Kemudahan dan keselesaan yang menjadi keutamaan kerajaan tanpa mengira sempadan geografi. Pembinaan jalan raya, lebuh raya, hospital, klinik, menaik taraf jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik dan pengangkutan awam yang mencukupi akan memberi kemudahan yang lebih selesa kepada rakyat. RMK10 juga memberi perhatian yang serius kepada penyediaan kemudahan rakyat agar mereka dapat menikmati limpahan pembangunan tidak hanya kepada penduduk bandar sahaja.





RMK10 tetap memberi keutamaan kepada prinsip-prinsip keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Kemakmuran dan keselesaan bersama menjadi kepentingan kerajaan dalam penggubalan rancangan tersebut. Walaupun negara menuju ke negara maju dan berpendapatan tinggi, golongan atau kumpulan yang perlu mendapat pembelaan dan bantuan akan terus dibantu agar mereka tidak tersisih daripada pembangunan.

Selaras dengan tema RMK10, Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial, kerajaan tetap prihatin dan peka dengan denyut nadi rakyat. Segala perancangan dan dasar yang digubal tetap mengambil kira kehidupan dan keperluan rakyat terutama golongan yang memerlukan perhatian. Melalui pelaksanaan RMK10, kerajaan menyasarkan dapat mengurangkan kadar perbezaan pembangunan antara wilayah dan meningkatkan pendapatan seluruh rakyat. Pelaksanaan Model Baru Ekonomi akan memberi kesan yang positif kepada negara dan rakyat melalui perancangan yang teliti. Rakyat yang akan menentukan kejayaan atau kecemerlangan sesuatu rancangan atau dasar kerajaan.