Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Hubungan Malaysia-Korea Selatan Ditingkatkan Secara Menyeluruh

najib-dengan-lee-myung-bak

Perdana Menteri disambut mesra Presiden Korea Selatan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Korea Selatan Lee Myung-Bak sebagai sesuatu yang produktif yang akan menyaksikan perhubungan kedua-dua negara ditingkatkan secara menyeluruh di dalam semua bidang.

Menurutnya, sambutan peribadi oleh Lee terhadap beliau dan rombongan dari Malaysia mencerminkan hasratnya  bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Korea, ia juga menunjukkan Korea adalah sebuah negara sahabat yang ingin menjadi rakan kongsi Malaysia di dalam aspek pembangunan bersama dalam pelbagai isu, bukan saja dalam konteks dua hala tapi juga isu antarabangsa.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi beliau ke republik tersebut dari 4 hingga 6 April 2011 dan beliau berkata perbincangan itu juga termasuk menimbangkan kemungkinan syarikat-syarikat Korea yang mempunyai teknologi terkini untuk menambah pelaburan mereka di Malaysia.

Yang turut disentuh adalah mengenai hubungan dagangan dua hala yang telah mencecah AS$16 bilion dan kewajaran untuk melaksanakan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA).

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya, sentimen sambutan terhadap Malaysia amat baik dan hasil lawatan itu akan dapat meningkatkan kemajuan yang lebih bermakna untuk negara.

Perjumpaan dengan pihak swasta Korea melalui rundingan meja bulat serta seminar pelaburan adalah menggalakkan dengan minat yang kukuh dan bertambah di kalangan syarikat-syarikat Korea untuk melabur di Malaysia, katanya.

Pelancong Korea ke Malaysia

Datuk Seri Najib berkata bilangan pelancong Korea ke Malaysia seramai 230,000 orang pada 2010, dijangka bertambah berikutan tambahan penerbangan udara yang kendalikan oleh Malaysia Airlines dan AirAsia.

Bilangan 500 keluarga Korea yang menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku sehingga ini juga dijangka bertambah.

Kini terdapat 20,000 rakyat Korea yang bermastautin di Malaysia serta kira-kira 3,000 pelajar Korea yang mengikuti pengajian di Malaysia.

 

Sumber : BERNAMA

Artikel dimasukkan pada 13 April 2011