ALOR SETAR -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah diminta oleh doktor yang merawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur supaya berehat sehingga benar-benar pulih.
Beliau berkata beliau turut diberi cuti sakit (MC) sehingga 29 Ogos ini. Ketika ini beliau masih di bawah pengawasan serta dibenarkan menyambung rawatan di sini.
Katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon di sini Rabu.
Pada 29 Julai lepas, Azizan yang juga menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke IJN selepas mengadu sakit jantung.
Beliau berkata beliau telah dimaklumkan oleh doktor bahawa tiada saluran di jantungnya yang tersumbat dan beliau tidak perlu menjalani pembedahan.
Azizan juga melahirkan rasa gembira kerana ramai pemimpin Umno dan Barisan Nasional terutama dari Kedah yang datang melawat beliau semasa berada di IJN.
Sumber - BERNAMA, 17 Ogos 2011