KUCHING: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) diminta mengkaji dan meneliti sama ada wujud peraturan untuk menyekat mana-mana murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana faktor masalah ketidakhadiran ataupun disiplin di sekolah.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, berkata beliau difahamkan pengawas peperiksaan tidak mempunyai hak menghalang murid yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan pada tahun berkenaan.
"Peraturan Lembaga Peperiksaan Malaysia masih lagi kurang jelas dan apa yang saya faham ini berbeza dengan peraturan di peringkat universiti iaitu penuntut yang tidak cukup waktu kehadirannya boleh dihalang untuk menduduki peperiksaan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes tiga pelajar dari sebuah sekolah rendah di bandar Bintangor dekat Sarikei yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada 13 September dan 14 September lalu dan hanya menduduki peperiksaan pada hari terakhir iaitu pada 15 September.
Menurutnya, kejadian itu kini disiasat polis selepas ibu bapa pelajar terbabit membuat laporan polis berhubung kes itu.
Namun, pada masa yang sama polis juga masih lagi menunggu laporan lengkap daripada pegawai pendidikan daerah Meradong dan guru besar sekolah terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut dilakukan.
Namun, pada masa yang sama polis juga masih lagi menunggu laporan lengkap daripada pegawai pendidikan daerah Meradong dan guru besar sekolah terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut dilakukan.
BERNAMA, 19 September 2011