MALAYSIA kini menjadi pusat pembangunan dan penggalakan perniagaan francais berasaskan kopi untuk Asia Tenggara melalui penubuhan pusat latihan dikenali Coffee University, yang diperkenalkan Gloria Jean’s Coffees Malaysia, bermula bulan ini.
Pengerusi Malaysia International Franchise Sdn Bhd, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, berkata penubuhan Coffee University bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran terperinci kepada pengusaha baru francais Gloria Jean’s Coffees serta kakitangan mereka berhubung selok-belok dunia perniagaan.
“Mereka akan diberikan pengetahuan menyeluruh, termasuk kaedah mengadun minuman kopi terbaik, pengurusan kewangan, cara berinteraksi dengan pelanggan, susun atur premis dan penyediaan jadual kerja.
“Gloria Jean’s Coffees Malaysia amat komited untuk membangunkan perniagaan itu di Malaysia dan menyokong rakan francais jenama berkenaan di seluruh Asia Tenggara bagi mencapai kejayaan melalui sistem operasi bertaraf dunia.
“Bagi Gloria Jean’s Coffees Malaysia, kejayaan perniagaan jenama ini bukan diukur melalui kuantiti kewangan diperoleh atau berapa banyak cawangan dibuka.
“Tetapi, kita lebih mementingkan kejayaan berterusan francais dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya pada sidang akhbar Coffee University di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Gloria Jean’s Coffees International, Nabi Saleh dan Ketua Eksekutif Malaysia International Franchise Sdn Bhd, Fauzi Awang.
Ahmad Shalimin berkata, penuntut Coffee University akan menerima pendedahan dan kemahiran daripada wakil berpengalaman dalam dunia perniagaan francais Gloria Jean’s Coffees International dari Australia.
Mereka yang berminat boleh melayari laman web rasmi penganjur di www.gloriajeanscoffees.my atau hubungi 03-20827761.
Sumber: Berita Harian