Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Mentransformasikan Legasi Tun Razak

SEDUTAN UCAPAN PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB RAZAK PADA PROGRAM SEJAHTERA PENEROKA BERSAMA PERDANA MENTERI DI JERANTUT, PAHANG
PROGRAM ini membuktikan FELDA sebuah agensi yang amat berjaya bukan saja dalam negara tetapi juga pada peringkat global dan semua ini berjaya kita laksanakan sejak saya menjadi menteri yang bertanggungjawab berkaitan FELDA.

Sambutan yang saya lihat ini begitu luar biasa dan memberangsangkan dan lebih daripada apa yang saya jangkakan.

Saya amat terharu dan apabila saya bersalaman dengan peneroka sepanjang menuju ke pentas... saya rasa genggamannya lain macam. Macam orang putih cakap ‘ada feeling’ dan ada yang bertanya bila pilihan raya dan saya kata jika macam inilah perasaan dan sambutan yang diterima... esok juga kita boleh bubar Parlimen tetapi tunggu dulu.
Sejak saya umumkan dalam Bajet 2012 pada Oktober lalu bahawa peneroka akan dapat durian runtuh sejak itu ramai yang bertanya bila mereka akan dapat.
Habuan yang saya sifatkan ini sebagai suatu durian runtuh. Sejak saya umum perkara tersebut ramai yang bertanya, seperti mana kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob ‘durian runtuh’ ini. Ada yang buat ramalan demi ramalan... apakah bentuk durian runtuh tersebut.
Maka pada hari ini, majlis bersejarah ini segala akan terjawab Insya-Allah dalam majlis ini. Durian runtuh simboliknya belon di atas pun macam bentuk durian.
Saya tidak tahu sama ada belon di atas tuan-tuan dan puan-puan akan digugurkan tidak, tetapi Insya-Allah durian runtuh akan runtuh pada tuan-tuan sekalian.
Saya mencadangkan bahawa pengumuman ini dibuat di negeri Pahang Darul Makmur dan saya pilih kawasan Jengka, Jerantut ini atas tiga sebab...

Pertama, saya nak melawat Jerantut, sebab lama tak lawat Jerantut.

Kedua, mahu tidak mahu, jika kita nak buat sesuatu yang besar, kalau kita nak umumkan sesuatu perubahan yang sangat bermakna, maka sewajarnyalah pengumuman itu dibuat di negeri Pahang Darul Makmur kerana di Pahang lah cerita FELDA bermula pada 1956 sampailah pada hari ini dan di Pahang lah, rancangan FELDA yang paling banyak sekali di Malaysia. Jadi, atas penghargaan diberikan kepada kerajaan Pahang, sampai sekarang sudah beri sokongan yang cukup kuat kepada FELDA dalam bentuk keluasan yang diserahkan kepadanya.
Ketiga, kerana saya terdengar-dengar bahawa apa yang kita lakukan hari ini adalah merupakan impian Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak yang menjadi pengasas kepada FELDA.
Bila saya lalu jalan nak masuk ke tapak Jengka 8, saya lihat rumah FELDA, saya terkenang wajah Allahyarham ayah... yang banyak berjasa pada negara dan masyarakat FELDA. Jadi hari ini, saya sifatkan sebagai hari bukan saja mengenang legasi Tun Razak tetapi kita nak mentransformasikan legasi Tun Razak ke tahap yang lebih tinggi, lebih berjaya.
Kita patut mengenangnya sebagai suatu perjalanan, suatu yang amat bersyahdu, terasa dalam hati kita, dalam jiwa kita, halangan nak sampai pada detik dan hari ini bukan suatu perjalanan yang mudah, bukan senang... bukanlah rezeki datang bergolek dan yang pipih datang melayang tetapi kita berada di sini atas himpunan jerih payah, kudrat empat kerat peneroka yang berkorban bermula dengan bangun pada pagi buta lagi, meneroka dengan menebang hutan, dengan kapak di tangan sebelah di kawasan hutan, direbahkan, berdepan dengan sang harimau dan segala binatang buas, lagi jembalang dan puaka... jika ada, akhirnya bertukar wajah menjadi rancangan FELDA yang sangat berjaya pada hari ini.
Begitulah sehingga akhirnya, di tempat di mana gajah dan harimau pernah bermain, ular dan lipan pernah berkampung, segala puaka pernah bernaung, kita bina kampung, ladang dan kebun, kita dirikan tempat berlindung, kita jadikan tempat berhimpun, kita ubah kawasan hutan, kita bina perkampungan peneroka kita tegakkan semua legasi untuk diwarisi daripada generasi ke generasi.
Inilah cerita sebenar FELDA dan patutlah jika hari ini kita memilih satu tema perhimpunan tema kita... berkongsi kemakmuran tetapi sebelum kita dapat kongsi kemakmuran kita mesti membina dan menjana kejayaan dan selepas itu kekayaan itu boleh kita kongsi kepada peneroka, rakyat dan negara pada keseluruhannya.
Ini berbeza dengan parti pembangkang, segala yang kita buat tidak betul, jika Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dia kata langkah kerajaan tipu peserta, maka majlis kita pada hari ini boleh menafikan, bukan peneroka ditipu tetapi peneroka dibela sepenuhnya. Bukan Amanah Saham Nasional (ASN) dikata Amanah Saham Neraka... bukankah Putrajaya nak dilelong tetapi hari ini mereka mengidam nak tawan Putrajaya.
Semua ini nak diletakkan atas kepala UMNO, yang baik nak diperlekehkan... yang menguntungkan nak diselewengkan kenyataan dan fakta supaya dalam kepala rakyat bercelaru, pemikiran rakyat dan semuanya nak dipersalahkan kepada UMNO sehinggakan anak yang tidak pedulikan emak pun, nak katakan UMNO yang bersalah. Hebat sangatlah UMNO sampai dalam kelambu pun kita pengaruhi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sebenarnya tuan-tuan, pembangkang ketandusan modal. Jika mereka tidak boleh memenangi hati nurani rakyat, mereka cuba celarukan fikiran kita, sebab itulah ada orang yang cuba bawa ke mahkamah dah bawa pun ke mahkamah, tetapi kita tetap cekal hati dan FGVH diteruskan kerana kita tahu kebaikannya.

Tuan-tuan,

Baiklah yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Hari ini hari bersejarah, jadi yang pertama yang saya nak sebutkan di sini, durian runtuh yang saya janjikan pada peneroka. Dengan penyenaraian FGVH ini, maka FELDA akan agih dana keseluruhannya kepada peneroka berjumlah RM1.689 bilion kepada 112,000 warga peneroka. Jumlahnya lebih besar daripada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), jika BR1M kita beri RM500 sekeluarga, ini bukan BR1M tapi vrooom... macam bunyi kereta, sebab itulah Datuk Nan (Adnan Yaakob) kata ada yang terkejut dan bersandar masuk hospital.
Ini terbahagi seperti berikut. Bagi fasa pertama, untuk setiap ketua keluarga peneroka pengagihan akan dibuat sebaik saja pengumuman ini dengan jumlah sebanyak RM5,000, iaitu 10 kali ganda BR1M yang jumlahnya RM563.175 juta.
Fasa kedua pula, akan melibatkan agihan RM5,000 lagi... kali ini kepada isteri peneroka. Ini sebagai mengiktiraf peranan wanita, bukan tak percaya pada suami tapi nak berlaku adil. Isteri saya juga selalu ingatkan jangan lupa wanita, jadi kita beri RM5,000 kepada isteri peneroka, jika ada isteri bagilah adil.
Fasa ketiga, agihan RM5,000 kepada generasi kedua FELDA. Anak peneroka juga kita tidak lupa jadi semua orang dapat generasi pertama dapat, isteri dapat, anak pun dapat. Saya nak beritahu bahawa durian runtuh dan durian gugur... dia ada dua kategori... kita tambah satu kategori lagi, durian runtuh RM15,000, tetapi ia tidak berakhir dengan durian runtuh ada pula durian gugur (DG).
Pertama, Tabung Amanah, tabung ini sebanyak 20 peratus saham kita masukkan dalam tabung amanah dan sekiranya FGVH (Felda Global Ventures Holdings Berhad) dapat keuntungan dan insya-Allah, kita jangka akan dapat keuntungan, dividen itu kita akan beri kepada setiap keluarga peneroka dan mungkin ada yang akan tertanya-tanya pada saya berapa agaknya.
Saya nak bayangkan jika FGVH dapat keuntungan sebanyak RM1.5 bilion seperti mana jangkaan tahun ini, maka tahun hadapan selepas ditolak cukai dan diisytihar dividen, maka jika FGVH untung RM1.5 bilion, setiap peneroka akan terima RM1,331 sebagai tambahan. Yang tidak dijangka hari ini tambahan RM1,300 tetapi kalau untung lebih boleh naik kepada RM2,000 setiap keluarga.
Durian gugur kedua, setiap peneroka akan terima pink form, iaitu form (borang) saham, jadi boleh dapat saham FGVH dan daripada saham itu boleh dapat dividen kalau jual (tapi) harap jangan jual, (memang) jual dapat untung, jika simpan jangka masa panjang ia boleh dapat lagi saham untuk anak dan cucu. Jadi kita boleh dapat bonus akan datang. Jadi nasihat saya jangan dijual saham ini.
Ini semua tuan-tuan dan puan-puan atas apa yang dinikmati hari ini, kita tidak potong satu pun, yang terima hari ini tidak kita kurangkan sedikit pun, maknanya dividen KPF dapat, bonus produktiviti dapat, duit raya dapat, pinjaman perumahan tanpa faedah dapat, pinjaman yang terbaik di dunia dan bagi bantuan seperti latihan kemahiran, pembangunan usahawan dan bantuan sakit kronik dan sebagainya semuanya kita jalankan seperti biasa. Saya juga mengesahkan jika pembohongan yang dibuat pembangkang, tanah tuan-tuan kekal pada milik tuan-tuan.
Sebagai sokongan pada usaha kita, sebab saya dengar juga ada rintihan kononnya peneroka FELDA ini jadi anak emas kerajaan, sebenarnya tidak timbul sebab ini datang daripada kekuatan dalaman FELDA, kita tidak ambil dana kerajaan sama sekali. Tetapi memandangkan sekitar FELDA ini banyak rancangan dan kampung tradisional yang perlukan bantuan, maka FELDA akan tambah dana Yayasan FELDA untuk melaksanakan pelbagai program membantu kampung lama dan tradisional di sekitar tanah rancangan FELDA. Kita akan laksanakan program membaik pulih rumah sebanyak RM5,000 setiap rumah. Kampung lama akan dapat manfaatnya.
Kepada pekerja, petugas dan pegawai FELDA, kita tidak lupa juga. Mereka selain dapat pink form, mereka akan dapat bonus khas petugas FELDA sejumlah dua bulan setengah gaji. Daripada (pegawai) atasan, sampai Pengurus FELDA dan kakitangan akan terima bonus tambahan, bukan bonus tahunan tetapi tambah lagi bonus atas bonus tahunan.
Inilah yang saya sifatkan apabila saya umumkan durian runtuh ini begitu meluas pengertiannya bukan saja peneroka dapat, isteri dapat, anak dapat, kampung lama dapat, orang yang nak melabur dan beli saham IPO pun dapat keuntungan, sebab sehari dua ini bertalu-talu orang yang nak minta saham FGVH, sampai 17 kali ganda dah lebih.
Meja di pejabat saya sudah penuh dengan surat orang nak minta saham. Ini tuan-tuan dan puan-puan... kejayaan kita menguruskan FELDA dan negara kita selama ini. Ini adalah fasa terakhir abad ke-21 ini yang bermula di Lurah Bilut. Lurah Bilut merupakan tempat pertama lahirnya FELDA dan hari ini di Jengka 8, kita mula perjalanan fasa terakhir abad ke-21 di mana kita berazam dari mula kita merangkak, bertatih, hari ini kita boleh berdiri dengan rasa bangga bahawa kita akan menjadikan FELDA sebuah konglomerat, komoditi terbesar di dunia.
Kita tidak mahu jadi juara kampung, kita mahu jadi juara seantero dunia, inilah transformasi sebenarnya, bukan reformasi, transformasi yang akan menguntungkan peneroka, rakyat dan negara kita. Ini impian yang bermula di Lurah Bilut dan impian Tun Razak, kita galas dan bawa dan jayakan semuanya dan Insya-Allah FELDA akan jadi kebanggaan rakyat Malaysia. Hidup FELDA!