![]() |
PUTRAJAYA, 10 Feb - Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian kononnya kerajaan tunduk kepada bantahan beberapa kumpulan diketuai Perkasa yang menyebabkan Model Baru Ekonomi (MBE) fasa kedua dikurangkan. |
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tetap dengan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi melalui MBE tetapi pelaksanaannya mengambil kira semua komponen dalam masyarakat termasuk Bumiputera, masyarakat dalam dan luar bandar dan semua sektor ekonomi.
Beberapa media Selasa lalu melaporkan kenyataan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara Zainal Aznam Mohd Yusof bahawa bantahan keras Perkasa mengenai fasa pertama MBE menyebabkan fasa kedua dikurangkan.
Mengenai perkara lain, Muhyiddin berkata pandangan bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John R. Malott mengenai negara ini tidak seharusnya diperbesar-besarkan terutama oleh media kerana ia tidak relevan. Dalam sebuah artikel bertajuk "The Price of Malaysia's Racism" yang dipaparkan di The Wall Street Journal, Malott antara lain mengatakan bahawa ketegangan kaum dan agama lebih tinggi pada masa kini berbanding sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009.
