Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pemutihan Pendatang Asing

Program pengampunan dan pemutihan imigran di negara ini bakal diadakan pada bulan ini untuk mengurangkan bilangan pendatang tanpa izin di negara ini. Program pemutihan pendatang tanpa izin ini membabitkan Pendaftaran Pekerja Asing Sah dan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja atau Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program (6P), yang sepatutnya bermula pada 1 Ogos ditangguhkan sehingga pendaftaran pekerja berdaftar dilaksanakan.  Pendaftaran Pekerja Asing yang sah membabitkan pengambilan data biometrik dan melengkapkan maklumat peribadi di Jabatan Imigresen. Melalui data biometrik, pihak imigresen berupaya mengenal pasti dengan tepat pekerja asing sah yang lari daripada majikan. Keadaan ini termasuk mereka yang membuang dokumen pengenalan diri sedia ada dan menukarnya dengan dokumen baru dengan menggunakan identiti berbeza. Mereka yang dikenal pasti melakukan perbuatan sedemikian tidak dibenarkan untuk  menyertai program pemutihan dan dinasihatkan kembali kepada majikan asal atau pulang ke negara asal.

Program ini dilakukan kerana imigran di negara ini dianggarkan berjumlah lebih dua juta orang sekarang. Melalui program yang digelar “6P” itu iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran yang akan mengambil  masa tiga minggu untuk dilaksanakan. Ini  merupakan program paling komprehensif yang diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini bertujuan untuk mengurangkan  bilangan pendatang tanpa izin di negara ini.

Sebelum ini, telah banyak program yang dilakukan tetapi operasi tersebut adalah terhad hanya kepada usaha penghantaran mereka balik ke negara asal masing-masing.  Contohnya program pengampunan yang pernah dilakukan beberapa kali bagi mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin di negara ini.  Program sedemikian adalah yang terbaru dilaksanakan pada tahun lalu. Program enam dalam satu ini juga bertujuan untuk mendaftarkan semua imigran di negara ini. Melaluinya cap jari mereka akan diambil dan disimpan untuk pangkalan data Jabatan Imigresen sebagai  rujukan masa depan.  Melalui program ini akan memudahkan pihak kerajaan untuk mengumpul data mengenai pendatang asing tanpa izin di negara ini seperti di mana mereka bekerja, dengan siapa dan berapa gaji yang diterima serta beberapa maklumat lain yang diharap dapat membantu ke arah mengatasi isu sosial dan jenayah yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu.

Dengan kaedah ini, pihak kerajaan dapat memastikan mereka tidak akan kembali atau  meninggalkan negara ini dengan nama atau pasport berbeza seterusnya akan mengelirukan identiti sebenar mereka untuk dikenal pasti.  Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Tanpa Izin (PATI) mempunyai kata putus berhubung dengan perkara tersebut iaitu program 6P, di mana pendatang tanpa izin yang ingin meninggalkan negara ini dibenarkan berbuat demikian tanpa bimbang mereka akan ditahan.  Sumber daripada KDN berkata, kerajaan akan mengenakan caj sebanyak RM400 bagi setiap imigran. Jumlah sebanyak, RM300 ialah kompaun kerana tinggal terlalu lama manakala RM100 pula untuk pas khas bagi membolehkan imigran tersebut menetap di negara ini.

Sungguhpun begitu, pekerja asing ini perlu membayar antara RM 2000 hingga RM3500 bagi pengurusan perbelanjaan seperti levi, pemeriksaan perubatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), kad pengenalan dengan data biometrik, visa JP dan bayaran kepada syarikat yang dilantik untuk menjalankan program tersebut.  Visa JP ialah dokumen journey performed (pengembaraan yang telah dilakukan) Pemohon dari negara-negara bukan Komanwel yang memasuki Malaysia dengan pas lawatan sosial tanpa mengambil visa rujukan di negara asal selalunya dikehendaki untuk meninggalkan Malaysia.

Manakala jumlah bayaran levi yang akan dikenakan adalah berbeza iaitu bagi imigran yang ingin bekerja dalam sektor pertanian perlu membayar levi sebanyak RM360, RM540 untuk perladangan, RM1,200  perindustrian dan pembinaan dan RM1,800 perkhidmatan. KDN juga akan melantik beberapa syarikat untuk menjayakan program pengampunan dan pemutihan imigran tersebut supaya setiap proses dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Bagi majikan yang bercadang untuk menggaji para pekerja asing pula perlu mengemukakan profil mengenai perniagaan mereka contohnya pengusaha restoran yang ingin menggaji pendatang tanpa izin perlu melampirkan salinan lesen yang dikeluarkan oleh majlis perbandaran.

Selain itu, imigran tanpa izin yang pasportnya telah tamat tempoh perlu mengemukakan permohonan baru kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi atau kedutaan sebelum dipertimbangkan untuk menyertai program tersebut. Melalui program pemutihan ini dilihat adalah sebagai usaha pihak kerajaan secara komited untuk mengurangkan kebanjiran pendatang asing di negara ini serta membendung kadar indeks jenayah yang berleluasa berpunca daripada imigran-imigran yang tidak diketahui identitinya Walau bagaimana pun, lebih 1.3 juta pendatang asing yang  masih belum melakukan pengesahan dan perlu di ambil berat bahawa tarikh akhir bagi program ini  adalah sepatutnya sehingga 31 Julai 2011. Bagaimanapun, atas keprihatinan kerajaan, pendaftaran ini dilanjutkan. Diharap kepada semua majikan mengambil tindakan segera dengan mendaftarkan pekerja mereka bagi mengelakkan kesesakan di saat-saat akhir.