Bermula 1 September 2011 ini, Kementerian Kesihatan telah membuat keputusan untuk melakukan pengurangan waktu bekerja bagi doktor pelatih iaitu daripada 90 jam kepada 54 jam seminggu. Keadaan ini berlaku kerana didapati kebanyakan doktor pelatih yang mengikuti housemanship di hospital kerajaan sering mengalami tekanan, kurang fokus, kurang rehat dan tidak cukup tidur sehingga mengganggu produktiviti serta mutu kerja.
Kajian pada tahun 2009 mendapati 68.7 peratus doktor pelatih mengalami tekanan, 53 peratus berniat meninggalkan bidang perubatan dan 30 hingga 40 peratus menyatakan waktu bekerja dan beban kerja yang tinggi sehingga mereka tiada masa untuk bersosial. Pengurangan jumlah masa bekerja ini dilihat dapat mengurangkan risiko kesilapan dan kecuaian doktor pelatih semasa melakukan rawatan kepada pesakit. Pengurangan waktu bekerja seminggu bagi doktor pelatih adalah perlu kerana dengan tekanan kerja 90 jam seminggu menyebabkan ada sebilangan doktor pelatih yang mengalami masalah mental sehingga berhasrat menukar kerjaya akibat tidak tahan dengan bebanan kerja dan waktu kerja yang sangat panjang.
Walaupun ada kebimbangan disuarakan oleh doktor pakar tentang kurangnya kemahiran doktor pelatih kelak kerana tidak mendapat pendedahan yang cukup dan kemahiran setelah masa housemanship dikurangkan daripada 90 jam kepada 54 jam seminggu. Selain itu, waktu bekerja secara giliran juga akan dilakukan supaya setiap doktor pelatih akan mempunyai masa rehat yang cukup bagi mendapat kemahiran yang pelbagai sungguhpun waktu kerjanya telah dikurangkan. Selain mendapat rehat yang cukup, seseorang doktor itu akan dapat untuk bersosial, beriadah bersama keluarga dan melakukan aktiviti kecergasan supaya kekal sihat fizikal dan mental.
Secara keseluruhannya, langkah untuk mengurangkan masa housemanship bagi doktor pelatih ini menunjukkan salah satu keprihatinan pihak kerajaan terhadap isu doktor pelatih yang mengalami masalah tekanan perasaan kerana beban tugas yang tinggi. Dengan pengurangan masa housemanship ini di harap akan melahirkan doktor yang berminat pada bidang kerjanya serta bersifat mesra pesakit seperti peramah, prihatin dan bertanggungjawab.




