Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Belanjawan 2012: Kebaikan Menyeluruh Untuk Rakyat


Pada 7 Oktober lalu Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membentangkan Belanjawan 2012 yang mana pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM232.8 billion bagi melaksanakan semua program pembangunan dan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Keadaan ini jelas membuktikan keprihatinan  pihak kerajaan untuk membantu rakyat agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik selaras dengan matlamat wawasan 2020 iaitu menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.












Antara segmen yang diperuntukkan di dalam Belanjawan 2012 adalah dalam bidang pelajaran di mana pemberian baucar buku sebanyak RM200  kepada semua pelajar warganegara Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Selain daripada itu,  yuran pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan juga akan dimansuhkan.  Semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 akan mendapat  bantuan persekolahan sebanyak RM100. Melalui peruntukan yang diberikan oleh kerajaan ini dilihat cukup membantu dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat selain memberikan peluang kepada setiap warganegara mendapat ilmu selaras dengan saingan dan keperluan semasa.













Manakala bantuan lain yang diperuntukkan adalah bantuan sebanyak RM 500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos. Selain itu, melalui Skim Amanah Rakyat (SARA 1Msia) ini akan memanfaatkan 100,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.  Caj pendaftaran pesakit luar bagi warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas di semua hospital dan klinik kesihatan akan dikecualikan bermula 1 Januari 2012.  Mereka juga akan diberi diskaun sebanyak 50 peratus tambang LRT dan Monorel.










Selain itu, Kerajaan akan memberi sumbangan kepada pejuang negara sebanyak RM3000 secara one-off kepada setiap bekas anggota, duda dan balu mereka yang kesemuanya hampir 62,000 orang.  Bukan itu sahaja, sebanyak RM 400 juta juga telah diperuntukkan terhadap kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.













Kerajaan juga telah mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM 5,000 ringgit dan ke bawah.  Manakala penjawat awam juga telah ditingkatkan kenaikan gaji tahunan  mengikut gred jawatan iaitu antara RM 80 hingga RM 320.  Bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.  Pembaharuan lain yang telah dilakukan dalam belanjawan 2012 yang dibentangkan ialah dengan mewujudkan Dasar Pemisah atau “exit policy” bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.  Melalui dasar baru ini, mana-mana penjawat awam yang dilihat bermasalah dengan kerja atau prestasi kerja yang merudum akan dikenakan tindakan yang mana dapat untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih berdaya saing dan proaktif.














Dengan penambahbaikan struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam akan terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred akan menjadi  lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, bagi seorang guru yang bergred DG48, gaji maksimum sebelumnya  adalah RM6,325.39, tetapi di bawah Skim Baru Perkhidmatan Awam ini, gaji maksimum akan meningkat sebanyak 37.7 peratus dan menjadi RM8,710.  Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, pada gred DG34, gaji maksimum adalah RM 3,860. 52, dan di bawah SBPA tangga gaji akan meningkat sebanyak 39 peratus dan menjadi RM5,370.















Selain itu, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16 perkhidmatannya.  Manakala bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun untuk kenaikan pangkat,  namun di bawah SBPA ini hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai.  Pengenalan skim baru ini dilihat akan dapat memudahkan serta mempercepatkan kenaikan pangkat dan jawatan supaya berupaya mencapai tangga gaji yang maksimum dengan cepat dan berupaya menjadikan penjawat awam lebih berdaya saing untuk meningkatkan kemajuan diri.















Bagi penjawat awam pula akan dilanjutkan umur persaraan wajib mereka dari 58 tahun kepada 60 tahun. Pemberian bonus tambahan setengah bulan gaji akan diterima oleh kakitangan kerajaan dan bayaran bantuan sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pesara kerajaan.  Selain itu, satu program khas akan diperkenalkan untuk 175,000 anggota tentera yang tidak layak menerima pencen.  Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk dana komersial inovasi PKS.  Pelepasan cukai baru sehingga RM 3000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Pencen Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun.  Dengan peruntukan dana yang begitu banyak diperuntukkan dilihat dapat untuk membangunkan taraf ekonomi bagi industri-industri selaras dengan matlamat negara ke arah  negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.















Selain itu,subsidi juga turut diberikan terhadap barangan asas dan bantuan bagi setiap liter petrol RON95, harga asal RM 2.75 sen, rakyat hanya bayar RM 1.90. Subsidi kerajaan berjumlah RM 0.85 atau 31 peratus daripada harga sebenar. Manakala bagi setiap liter diesel, harga asal RM 2.66, rakyat hanya bayar RM 1.80.  Kerajaan telah memberikan subsidi berjumlah RM 0.86  atau 32 peratus dari harga sebenar. Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal RM48.02,  rakyat hanya bayar RM 26.60 sen.  Kerajaan telah mensubsidikan sebanyak RM 21.42  atau 45 peratus daripada harga sebenar. Beras juga yang menjadi makanan asasi rakyat Malaysia telah diberikan subsidi oleh kerajaan iaitu, bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM 2.40, rakyat hanya membayar RM 1.80. Subsidi kerajaan berjumlah RM 0.60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar. Gula juga disubsidikan kerajaan dengan setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM 2.30sen. Subsidi kerajaan sebanyak 0.20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar. Harga minyak masak bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal RM4.75 sen, rakyat hanya membayar RM2.50 sen.















Kerajaan telah mensubsidikan sebanyak RM 2.25 sen atau 47 peratus dari nilai harga sebenar. Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal RM 1.90 sen, rakyat hanya bayar RM 1.35 sen. Subsidi kerajaan sebanyak  RM 0.55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar. Dengan jumlah subsidi yang besar diberikan kepada rakyat ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat negara ini supaya dapat menikmati kehidupan yang terbaik.  Ini menunjukkan bukti bahawa pihak kerajaan adalah prihatin dan bertanggungjawab untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.













Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual dengan harga 45 ribu ringgit sahaja.  Bagi setiap unit rumah, kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.  Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.
















Secara keseluruhannya, belanjawan 2012 ini adalah merupakan belanjawan yang terbaik dan menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat mendapat faedahnya yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.  Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersyukur kerana kebajikan kita sebagai rakyat adalah menjadi keutamaan bagi pihak kerajaan yang dilihat membawa negara Malaysia tercinta menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.