Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Bantuan Rakyat Satu Malaysia: Ringan Beban Rakyat

Bantuan Rakyat Satu Malaysia adalah salah satu bantuan yang telah  di janji oleh Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam bajet 2012, Bantuan Khas RM500 akan diagihkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui LHDN.

Bantuan tunai, secara one-off, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Bantuan  ini adalah tanda keprihatinan  kerajaan dalam usaha untuk membantu  meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Kategori isi rumah yang layak memohon merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau  ketua keluarga. Ini merangkumi individu berkahwin termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa. Selain ibu atau bapa tunggal yang mempunyai  Individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang tanggungan;   Warga emas sebatang kara mempunyai tanggungan; dan Ketua isi rumah yang berkerja sendiri juga adalah layak untuk memohon.

Sehubungan itu, pihak kerajaan memutuskan bahawa pendaftaran permohonan Bantuan Tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Disember 2011 untuk tempoh satu bulan.  Borang-borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut, di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta agensi-agensi Kerajaan. Borang yang lengkap di isi berserta salinan Kad Pengenalan hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDNM.

Pembayaran Bantuan RM500 mula  dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari 2012. Bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini. Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion.

Pembayaran  dilakukan selama dua bulan bermula 15 Januari sehingga Mac 2012 dalam bentuk baucar tunai. Semua pemohon BR1M akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos secara berperingkat. Setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman masing-masing secara berperingkat-peringkat (dalam tempoh dua bulan) dengan disertakan tarikh dan tempat majlis penyerahan baucar diadakan.  Majlis penyerahan baucar kepada pemohon yang berjaya akan diadakan pada tarikh dan tempat yang ditetapkan dalam surat.  Baucar bantuan boleh ditunaikan di cawangan bank terpilih (Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank) di seluruh negara.  Permohonan masih terbuka dan bagi mereka yang gagal atas sebab teknikal boleh membuat rayuan
Selain daripada (BR1M) kerajaan juga telah memberikan Bantuan Persekolahan sebanyak RM 100 yang diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.  Melalui bantuan ini dilihat dapat membantu kira-kira 5.3 juta pelajar di seluruh negara dan tujuan bantuan ini diberi pada awal tahun ini adalah bagi memudahkan proses pembelian keperluan pembelajaran bagi setiap pelajar. Bebanan ibu bapa juga dilihat dapat dikurangkan kerana anak-anak dapat menggunakan wang bantuan persekolahan yang diberikan oleh kerajaan untuk menampung keperluan seperti membeli peralatan tulis dan buku-buku. Bantuan persekolahan ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat mengenai masalah yang terpaksa di tanggung oleh ibu bapa setiap kali musim persekolahan bermula dalam menyediakan anak-anak agar mendapat suasana yang selesa dalam proses pembelajaran.
Kerajaan juga telah memperuntukkan pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebanyak  RM 200 setiap pelajar yang berada di IPTA dan IPTS merangkumi diploma sehingga ke peringkat PhD serta bagi pelajar tingkatan enam seluruh negara.  Pemberian baucar buku ini juga diberikan kepada semua penuntut yang berstatus pelajar dari 1 Januari 2012 hingga 31 Mac 2012 dan juga pelajar yang mendaftar bentuk pengajian separuh masa. Sungguhpun baucar ini diberikan kepada pelajar, terdapat juga segelintir penuntut yang menyalahgunakan baucar tersebut dengan menjualnya kepada orang lain.  Hal ini berlaku kerana sifat individu itu sendiri yang cuba mendapatkan wang tunai untuk dibelanjakan kerana baucar tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran dan bukanya untuk tujuan berhibur atau sebagainya.
Penyalahgunaan baucar ini telah menunjukkan bahawa pelajar tersebut dilihat tidak menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan kepadanya iaitu dengan menjual baucar tersebut kepada individu lain dengan nilai yang lebih murah sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar lain. Sebagai  mahasiswa, seseorang itu haruslah bijak dalam menggunakan serta berbelanja kerana mahasiswa adalah golongan cerdik pandai yang bakal menerajui kepimpinan negara suatu masa nanti dengan corak kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia (SARA 1Malaysia) adalah salah satu daripada pelaburan yang disediakan oleh kementerian Kewangan yang mana bertujuan untuk menggalakkan golongan berpendapatan rendah untuk menabung.  Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sebanyak RM500 juta dengan sasaran seramai 100 000 isi rumah.  Borang permohonan Sara 1 Malaysia boleh didapati di cawangan bank yang terlibat iaitu Maybank, RHB, CIMB dan BSN bermula 31 Januari 2012. Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan pada pihak bank untuk semakan sama ada layak untuk membuat pelaburan dalam SARA 1Malaysia.
Bagi pemohon yang ingin melabur dalam SARA 1 Malaysia ini adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18- 58 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM 3000. Pemohon juga boleh membuat pinjaman atau pelaburan tunai daripada simpanan sendiri untuk melabur dalam Skim SARA 1 Malaysia. Pulangan bulanan yang bakal di perolehi daripada Pelaburan dalam SARA 1 Malaysia adalah sebanyak RM 134 sebulan dan pulangannya selepas lima tahun melakukan pelaburan sebanyak RM 15 000 bagi pelaburan sendiri dan RM 5000 bagi yang melakukan pinjaman bank.
Skim Amanah 1Malaysia ini merupakan salah satu daripada langkah kerajaan untuk menggalakkan rakyat untuk menabung dan membantu golongan yang berpendapatan rendah agar mampu mendapat pulangan yang tinggi daripada simpanannya. Hal ini kerana kerajaan telah mula sedar bahawa sekiranya kerajaan tidak menyediakan kemudahan sedemikian, golongan berpendapatan rendah akan terus tercicir dan kemajuan ekonomi negara tidak mampu untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat negara ini.
Dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang telah diberikan oleh pihak kerajaan ini dilihat benar-benar dapat membantu rakyat yang berpendapatan rendah di negara ini bagi menampung keperluan keluarga dan kos sara hidup yang kian meningkat. Sungguhpun ada pihak yang menyatakan bahawa (BR1M) adalah “gula-gula” atau rasuah kerajaan dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke -13.  Hakikatnya, kerajaan dibawah kepimpinan Dato’Sri Najib Tun Abdul Razak sememangnya  sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat dengan pelbagai jenis bantuan yang telah diberikan sebelum ini bagi  mengurangkan beban sara hidup rakyat. Contohnya ialah kedai 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia yang dilihat banyak membantu dalam meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Oleh demikian, segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan harus lah diteliti dan di fahami kerana setiap kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah sebagai satu rasa bertanggujawab terhadap golongan rakyat yang memerlukan. Kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban hidup rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan. Peranan kita adalah untuk sama-sama menjayakan usaha bagi menuju negara maju menjelang wawasan 2020 dan bukan hanya mencari salah. Tepuk dada tanya selera..