Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Akta Hasutan Dimansuh: Bukti Kerajaan Komited Melakukan Perubahan

Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak telah mengumumkan  pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Keputusan untuk memansuhkan itu dibuat untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.

Akta baharu ini membolehkan  pihak kerajaan  lebih bersedia dalam menguruskan masalah negara yang berkaitan dengan tuduhan menggunakan akta hasutan bagi mengekang individu yang tidak sealiran dengan kerajaan. Penubuhan Akta Keharmonian Nasional ini juga dilihat dapat membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian dalam beragama. Sungguhpun begitu, keseimbangan yang ideal adalah sangat perlu bagi mengelakkan kerencatan hak bersuara  seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan iaitu menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremisme.

Keseimbangan itu perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat supaya lebih terbuka dengan akses kepada maklumat yang boleh menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat. Antara peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Justeru itu, rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.

Melalui penubuhan Akta Keharmonian Kerajaan ini juga pihak  kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak  menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja. Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan.

Secara keseluruhannya, pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini dilihat sebagai tindakan berani  kerajaan dalam menjayakan proses trasformasi bagi menyuburkan elemen demokrasi di negara ini tanpa memanipulasi kepentingan pihak-pihak tertentu. Oleh yang demikian kita sebagai rakyat Malaysia perlu menilai daripada pelbagai sudut serta melihat keterbukaan yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan. Jangan lah kita menjadi seperti  “pohon kayu tidak berbuah”.