Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

SPR Bersedia Laksana Pilihan Raya Bebas, Telus

BH 13 Februari 2013


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir. Pastinya semua parti politik yang akan bertanding sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRU-13 yang dianggap sebagai pilihan raya paling sengit.


Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah membuat persiapan rapi untuk memenuhi tanggungjawabnya melaksanakan pilihan raya yang bebas dan telus. Memang ia satu tugas yang berat buat SPR. Paling mencabar bagi SPR ialah memastikan para pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan selesa dan tenang.


Usaha pihak tertentu yang cuba mempertikaikan ketelusan SPR memang memberi tekanan kepada SPR. Namun, ini tidak mematahkan semangat SPR. Badan itu terus berusaha mengemaskinikan daftar pemilih pula walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan ke atasnya menyentuh tentang ketirisan pengurusan daftar pemilih, walhal SPR sudah menyediakan saluran yang sah untuk pemilih mengemaskinikan butiran maklumat mereka.


Usaha menambah baik kualiti daftar pemilih ini mendapat sambutan rakyat begitu memberangsangkan, terutama dalam pemilih yang sudah berdaftar. Ramai yang tampil untuk membantu SPR mengemaskinikan butiran maklumat, termasuk memaklumkan maklumat hilang kelayakan waris mereka.


Hasil daripada tindakan agresif SPR itu, sebanyak 1,319,077 pemilih telah disahkan. Daripada jumlah itu sebanyak 1,042,218 adalah pengundi baru, manakala 271,859 orang mendaftar bagi menukar alamat pusat mengundi. Daftar pemilih induk yang diwartakan pada 27 November 2012 mencatatkan sebanyak 13,105,407 orang pemilih yang berdaftar.


Persidangan Dewan Negara pada April tahun lalu diberitahu seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011. Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang, diikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).


Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang)Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang).


SPR juga memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan mewujudkan pelbagai aplikasi baru bagi menambah baik kualiti pengurusan pilihan raya. Antara aplikasi yang dibangunkan adalah Sistem Semakan Isi Rumah, Sistem Semakan Mengikut Status Pendaftaran dan Sistem Pengemaskinian Maklumat Alamat Pengundi Luar Negara.

SPR juga membangunkan aplikasi bagi Sistem Penjumlahan Rasmi Undi, Sistem Pengurusan Maklumat Pilihan Raya Umum, Sistem Peratusan Keluar Mengundi dan Sistem Paparan Peta Keputusan Pilihan Raya. SPR juga akan membangunkan portal khas Pilihan Raya Umum Ke-13. Untuk memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab dengan selesa dan lancar, SPR dijangka akan menyediakan sebanyak lebih 8,000 premis dan ia akan diwartakan sebagai Pusat Mengundi. Selain itu, lokaliti bagi setiap Daerah Mengundi turut dikemaskinikan dengan bantuan daripada sistem berkomputer dikenali sebagai Electoral Geographical Information System (EGIS).


Sistem ini akan menyemak kedudukan lokaliti yang berada di luar daerah mengundi dan memaklumkan kepada petugas SPR untuk tujuan siasatan dan pembetulan. Melalui sistem ini semua pengundi yang berada dalam daerah mengundi akan mendapat keselesaan untuk mengundi di Pusat Mengundi yang paling hampir dengan tempat kediaman yang didaftarkannya.


SPR juga melakukan transformasi dalam memantapkan lagi proses dan perjalanan sistem pilihan raya di negara ini. Justeru, beberapa pembaharuan dilakukan oleh SPR atas cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Antaranya penggunaan dakwat kekal, pengundian awal, pengundian pos bagi orang yang tidak dapat mengundi awal, OKU dibenarkan membawa orang yang dipercayai untuk membantu dalam proses pengundian dan pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.


Semua peraturan baru itu telah diluluskan dan diwartakan untuk diguna pakai semasa PRU-13 nanti. SPR diberi kuasa untuk menandakan jari pengundi dengan dakwat kekal sebelum kertas undi dikeluarkan kepada pengundi seperti yang diperuntukkan di dawah sub peraturan 19(14) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012.


Apa yang penting sekarang ialah SPR mestilah memulakan kempen yang berkesan untuk memastikan proses pilihanraya yang berkesan dilaksanakan dengan jayanya.Kempen dan penerangan berkaitan dengan penggunaan dakwat kekal, proses pengundian awal dan kesedaran anti rasuah dalam pilihan raya mestilah dimulakan dari sekarang.


Kesimpulan, kewibawaan dan kemampuan SPR untuk mengendalikan pilihan raya umum akan datang adalah tidak diragukan. Segala bentuk penambahbaikan dan transformasi yang dilakukan oleh SPR meyakinkan rakyat bahawa badan itu mampu menjalankan tugasnya dengan telus dan adil. – BH 13 Februari 2013


____________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.