Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Menilai Semula Teori Lapuk

Penulis: Mior Kamarul Shahid

Sarjana komunikasi mempunyai tugas berat dan mencabar berikutan pelbagai perubahan landskap dan persekitaran media hari ini. Mereka perlu melihat semula teori komunikasi, media dan kewartawanan yang dianggap sudah tidak lagi sesuai berikutan kemajuan teknologi yang begitu pesat. Sudah ada teori yang tidak relevan hari ini walaupun ia teori penting satu ketika dulu. Kajian baru perlu dilakukan untuk memahami kesan media terhadap masyarakat dengan mengambil kira aliran kemajuan teknologi, pemikiran dan perubahan sosial masyarakat. Ini berikutan perubahan cita rasa manusia yang berbeza. Sebagai perbandingan, cita rasa remaja hari ini begitu berbeza dengan kehendak remaja sebaya mereka tiga atau empat puluh tahun lalu. Mereka lebih dipengaruhi dengan komunikasi bersemuka atau kesan radio dan televisyen terhadap pemikiran dan sikap mereka.

Kemunculan media baru hari ini menyebabkan banyak teori komunikasi dan media perlu dinilai semula kerana ada yang sudah lapok. Sarjana komunikasi dan media wajar menghasilkan teori-teori baru yang relevan berasaskan kajian terperinci. Jika dulu media dianggap sebagai membentuk fikiran rakyat, teori ini mungkin tidak sesuai lagi hari ini. Sewaktu kajian mengenainya dibuat, masyarakat ketika itu mungkin mempunyai saluran maklumat yang terhad. Masyarakat ketika itu masih terkongkong dengan saluran rasmi semata-mata sedangkan hari ini maklumat menyelinap ke dalam minda seseorang menerusi pelbagai penjuru dan dengan banyak cara.

Umum mengetahui pemikiran rakyat, termasuk pemikiran politik dibentuk menerusi pelbagai cara rasmi dan tidak rasmi, kaedah bersemuka, penggunaan teknologi moden dan sebagainya. Antara satu cara yang sangat digemari oleh penyebar maklumat ialah dengan menyebarkan berita-berita konflik. Selain berita seperti ini suka dibaca oleh masyarakat kerana mempunyai unsur melaga-lagakan individu dan puak, ia biasanya mempunyai elemen sensasi yang tinggi. Lagi tinggi tahap konflik sesuatu berita itu, lebih tinggi minat orang untuk membacanya. Ini termasuk berita pertikaian kaum, agama, politik berpuak, rusuhan, pemberontakan, peperangan dan sebagainya.

Dilema dihadapi media

Disebabkan politik mempunyai ciri-ciri berita konflik yang nyata, mereka yang suka kepada konflik berminat untuk mengikuti perkembangannya. Bila berlaku pertandingan politik, berita seperti ini mendapat perhatian media kerana ia mempunyai elemen sensasi. Jika dulu pelajar kewartawanan biasanya diberitahu bahawa ciri-ciri berita yang paling tinggi darjatnya ialah berita yang mempunyai kepentingan awam, hari ini mungkin tidak lagi, melainkan berita yang mempunyai kepentingan kepada individu seperti kenaikan gaji, harga barang naik atau jatuh dan sebagainya. Jika dulu, berita konflik hanya dianggap sebagai antara satu ciri-ciri berita, hari ini kedudukannya melonjak ke tangga yang lebih tinggi. Mungkin berita konflik bersaing dengan berita seks dan pesona luar biasa.

Di negara-negara membangun, mereka juga menghadapi dilema. Berita pembangunan yang banyak disiarkan di media mereka dianggap sebagai berita propaganda. Bagi mereka, berita pembangunan tidak mempunyai apa-apa makna. Di negara maju, berita pembangunan sudah hilang serinya dan mungkin dianggap tidak mempunyai nilai berita lagi. Dilemanya sekarang ialah bagaimana media harus memainkan fungsinya secara berkesan untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu, beretika, berakhlak dan sebagainya. Apakah pengamal media perlu akur kepada kehendak pembaca atau terus menyiarkan berita dan maklumat yang pembaca tidak mahu baca atau dengar.

Rakyat kena bijak guna kebebasan
Seandainya media akur kepada kehendak pembaca dan pendengar, ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat. Rakyat akan disogokkan dengan berita yang ‘terawang-awang’ dari segi fakta dan kebenarannya. Sesetengah masyarakat tidak begitu berminat membaca berita positif walaupun ia boleh mendatangkan faedah kepada mereka. Orang Cina khasnya peniaga mengambil berat soal fakta dan angka kerana mereka menjadikannya sebagai bahan maklumat untuk tujuan perniagaan mereka. Hanya dengan maklumat mereka boleh membuat keputusan dalam perniagaan. Sebaliknya, orang Melayu lebih gemar kepada berita konflik untuk memudahkan mereka bertegang urat dengan rakan lain.

Jika teori sedia ada mengatakan media membentuk pemikiran masyarakat, hari ini wujud hipotesis mengatakan media gagal menjadi pembentuk pemikiran masyarakat disebabkan kesan pengaruh pelbagai media lain, termasuk media dalam talian dan penggunaan beberapa gajet lain. Semua ini menunjukkan bahawa kebebasan bersuara di kalangan rakyat sudah sampai ke kemuncaknya. Namun, walaupun demokrasi menjadi sesuatu yang nyata, ia juga menghadapi cabaran yang sangat ketara. Kewujudan pelbagai media ini membuka ruang seluas-luasnya kemasukan maklumat tanpa ditapis ke dalam masyarakat. Begitu banyak maklumat disalurkan dengan pelbagai saluran, begitu jugalah banyaklah pembohongan disumbatkan menerusi media tidak dikawal.

Seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012 di Kuala Lumpur, Khamis lalu, bahawa jika aliran ini dibiarkan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada negara. Hari ini kerajaan tidak gusar dengan memberi kebebasan kepada rakyat. Sebaliknya, rakyatlah seharusnya berwaspada menggunakan kebebasan itu sejajar dengan semangat kebebasan yang diberikan kepada mereka. Jika menyalahgunakan kebebasan, kerajaan boleh menarik balik kebebasan yang diberikan kepada mereka dalam sekelip mata saja.

Sumber: Berita Harian, 19 Jun 2013