Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Belanjawan Negara 2014:Tanda Kerajaan Prihatin Terhadap Permasalahan Rakyat

 

Secara keseluruhannya Bajet 2014 iaitu RM 264.2 billion dan menunjukkan  peningkatan kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8 bilion. Sebanyak  RM217.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Pada Tahun 2014 ini dengan bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji”, Bajet 2014 adalah bajet pertama selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

    Antara intipati Bajet 2014 adalah kadar BRIM dinaikkan iaitu pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650. Manakala Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 dan BR1M 3.0  diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. Keadaan ini amat jelas menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kesusahan rakyat dalam menjalani kehidupan dan melalui bantuan BRIM ini dijangka mampu mengurangkan kos sara hidup yang dilihat kian meningkat.

    Sungguhpun subsidi gula dimansuhkan sebanyak RM0.34 sen dan akan berkuat kuasa mulai 26 Oktober 2013. Ini merupakan sebagai salah satu langkah kerajaan untuk mengurangkan masalah kesihatan terutamanya penyakit kencing manis. Justeru itu, harga gula akan naik kepada RM2.84 sen sekilogram mulai 26 Oktober 2013. Dengan nilai subsidi yang dimansuhkan ini menunjukkan pihak kerajaan sangat tegas dalam menjamin kehidupan rakyat yang sihat dan melaluinya juga kempen-kempen kesedaran boleh dilakukan bagi meningkatkan kesedaran terhadap info pemakanan sihat.

Bagi penjawat awam pula mendapat bonus setengah bulan gaji, minimum RM500 dan pesara  kerajaan juga akan diberi Bayaran  Khas Kewangan sebanyak RM250 yang akan dibayar pada awal Januari 2014. Pemberian bonus untuk kakitangan awam ini dilihat dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung. Melalui pembayaran bonus setengah bulan gaji ini juga dilihat dapat merancakkan ekonomi kerana perbelanjaan yang dilakukan akan memberikan pulangan kepada peniaga-peniaga tambahan pula pemberian bonus pada awal tahun sedikit sebanyak dapat membantu bagi yang telah berkeluarga untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak. Bagi pesara kerajaan pula dengan mendapat Bayaran Bantuan Khas Kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaaan menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan ketika sedang berkhidmat dahulu dan ia diterjemahkan melalui pemberian khas tersebut untuk meringankan beban setiap pesara dalam menjalani kehidupan seharian.

Bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan  Baucar Buku sebanyak RM 250 bagi setiap pelajar pra – universiti dan Institut Pengajian Tinggi di Malaysia tetap diteruskan. Bantuan yuran TASKA sebanyak RM250 sebulan bagi ibu bapa yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 dan menghantar anak-anak ke TASKA swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Keadaan ini jelas menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan terhadap peri pentingnya pendidikan untuk anak-anak yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang.

Melalui Program Perumahan Rakyat pula sebanyak 223,000 unit rumah pada harga berpatutan  akan dibina menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan berjumlah RM578 juta. PPR ialah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah-rumah PPR dijual pada paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500 seunit untuk Sabah serta Sarawak. Sebanyak 80,000 unit rumah akan dibina menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan peruntukan RM1 bilion dan setiap unit rumah dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Program ini dilihat sangat baik dan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana akan berpeluang untuk memiliki rumah dengan kadar yang berpatutan.

Pengenalan cukai Barang dan Perkhidmatan atau Good and Services Tax(GST) pada kadar enam peratus akan mula dilaksanakan pada 1 April 2015 adalah lebih rendah daripada cukai-cukai yang sedia ada. Keadaan ini akan menyebabkan pengguna tidak dikenakan cukai secara berganda melalui cukai jualan antara 5-10 peratus dan cukai perkhidmatan. Peniaga-peniaga tidak boleh menyelewengkan harga barangan kerana tertakluk kepada cukai GST yang mana akan mudah dikesan oleh pengguna sekiranya berlaku penyelewangan harga sesuatu barangan. Pengenalan cukai GST ini dilakukan oleh pihak kerajaan kerana ianya baik untuk menambahkan pendapatan negara serta dapat mengurangkan beban rakyat yang dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (STT) yang terdapat kelemahanya.

Selain itu, pihak Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM239 juta dalam Bajet 2014 bagi meneruskan kecemerlangan sukan yang merangkumi menaik taraf kompleks dan gelanggang sukan di negara ini. Kecemerlangan sukan amat dititik beratkan kerana melalui pembangunan sukan ini dilihat dapat meningkatkan imej negara dipersada antarabanagsa secara amnya.
 
Pihak kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM6 bilion untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil. Melalui peruntukan sedemikian dilihat kerajaan berusaha dalam menambah baik serta menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju yang mana bidang pertanian juga bergerak seiring bagi memacu bidang agro negara.
 Antara lain yang diperuntukkan dalam Bajet 2014 ialah Kelajuan Internet juga dinaik taraf dimana Kerajaan akan melaksana fasa kedua projek Jalur Lebar Kelajuan Tinggi High Speed Broadband (HSBB) dengan usaha sama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion bagi meluaskan liputan ke bandar-bandar utama. Kelajuan Internet juga akan ditambah kepada 10 Mbp sesaat. Jaringan HSBB akan diperluas ke kawasan pinggir bandar pada kos pelaburan sebanyak RM1.6 bilion, dengan capaian Internet ditambah kepada antara 4 dan 10 Mb sesaat. Kerajaan memandang serius hal ini kerana dengan adanya liputan yang meluas akan dapat memberikan maklumat kepada setiap rakyat dan mengikuti perkembangan teknologi yang kian berkembang maju.

    Secara keseluruhanya Bajet 2014 ini adalah bajet yang dilihat sangat baik dan mampu untuk dilakukan oleh pihak kerajaan. Hal ini kerana ia meliputi setiap aspek bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan rakyat. Kita sebagai rakyat negara Malaysia ini perlulah yakin dengan kemampuan para pemimpin serta memberikan sokongan terhadap dasar yang membawa kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat. Bak kata pepatah, “Hujan emas dinegeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri”.