Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Nahas MH 17: Seluruh Negara Berkabung

Pihak Kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 22 Ogos 2014 sebagai Hari Berkabung Negara bagi penghormatan kepada mangsa tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17. Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan 22 Ogos 2014 sebagai Hari Berkabung Negara rentetan ketibaan jenazah warga Malaysia yang menjadi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.


Sehubungan itu, satu istiadat penghormatan jenazah tragedi itu akan diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan ketibaan 20 jenazah tragedi itu. Jenazah itu akan dibawa melalui sebuah pesawat khas dari Amsterdam yang dijangka tiba di KLIA pada 10 pagi pada hari tersebut. Upacara penghormatan untuk jenazah dibuat secara tertib, sesuai dengan penghormatan,yang telah diumumkan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat MH17.


Sungguhpun hari tersebut telah diumumkan sebagai hari berkabung, namun tiada cuti umum sempena hari berkabung negara tersebut. Pada upacara itu, setiap jenazah akan diusung pegawai istiadat dari Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki 16 kereta jenazah dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berkenan berangkat ke istiadat tersebut, dan turut dihadiri Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak, jemaah menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta keluarga mangsa.  

Sebanyak 24 jenazah  mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Belanda, yang mana 14 daripadanya merupakan penumpang manakala 10 lagi ialah anak kapal. Keadaan ini menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam usaha membawa pulang kesemua mayat mangsa ke tanah air bagi tujuan pegebumian dan memberikan penghormatan yang terakhir kepada mangsa.


Secara keseluruhannya, nahas yang menimpa Pesawat MH 17 merupakan satu titik tolak bagi kita rakyat Malaysia khususnya supaya menjadi satu iktibar dalam menghadapi ujian selepas tragedi MH 370 yang masih dalam pencarian. Rundingan secara langsung yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri merupakan salah satu langkah paling berani yang telah dilakukan oleh ketua kerajaaan. Keadaan ini memperlihatkan kesungguhan serta kepimpinan yang ideal disaat kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Russia menggunakan kekerasan untuk menangani pemberontak. Malaysia sebuah negara yang kerdil mampu membuat pendirian berani untuk berdepan dengan pihak pemisah di Ukrine dalam rundingan dan  berjaya mendapatkan kotak Hitam serta memasuki kawasan nahas bagi siasatan kejadian tersebut. Kerjasama pelbagai pihak dalam menguruskan semua mangsa MH 17 amat dihargai oleh kerajaan Malaysia dan diharap urusan menguruskan jenazah mangsa nahas MH 17 diberkati serta dipermudahkan.