Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Banteras Gejala Rasuah Melalui Kempen 3J

Rasuah adalah jenayah. Ia telah menjadi satu wabak penyakit yang telah lama menular dalam kehidupan masyarakat. Di Malaysia, selari dengan hasrat orang ramai dan negara untuk melihat pembasmian rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan usaha agresif dan berterusan dengan penguatkuasaan undang-undang dan mendidik melalui prinsip bebas, telus dan professional.

Bagi menzahirkan ketegasan dalam menolak sebarang penularan dan percambahan gejala rasuah daripada meracuni rakyat negara ini, beberapa strategi dan perancangan baharu telah direncanakan SPRM sejak Ogos 2016. Ia menetapkan sasaran untuk memastikan dalam tempoh 3 tahun iaitu sehingga tahun 2020 sektor-sektor kritikal negara seperti perkhidmatan awam, syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan sektor swasta bebas daripada amalan rasuah. Terbaharu SPRM melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH). Ia bagi mencetus perubahan agresif dan drastik dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan meletakkan rasuah sebagai musuh nombor 1 negara.

GERAH adalah gelombang perubahan masyarakat supaya membenci rasuah dan memandang jijik kepada pesalah rasuah serta mempunyai kekuatan dalaman untuk mengatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa. Seramai 2,000 anggota SPRM akan digerakkan ke seluruh negara setiap bulan untuk mendekati rakyat..Ia akan diadakan serentak pada Isnin pertama setiap bulan. Ini selaras dengan hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi mesra rakyat dan pada masa yang sama digeruni rasuah.

Sebelum ini pelbagai usaha bagi menambah baik kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah telah dilaksanakan SPRM. antaranya Inisiatif Ikrar Bebas Rasuah. Ia memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu. Ini untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.

SPRM telah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Bagi membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar SPRM  membentuk Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Anti Rasuah bersama badan-badan bukan kerajaan dan pakar alam sekitar. Pihak media dturut dijadikan sebagai rakan strategik dengan penubuhan Kokus Anti Rasuah Media. Ia bagi mempertingkatkan kerjasama antara pihak media dan SPRM dalam membanteras gejala rasuah serta salah guna kuasa. Pasukan itu terdiri daripada editor kanan, media cetak dan media elektronik serta para pegawai kanan SPRM.  Hasilnya kempen 3J Jangan hulur, Jangan kaw-tim da Jangan settle dilancarkan pada 8 Mei 2017.  Ia bertujuan menyampaikan satu mesej kesedaran kepada rakyat agar mereka tidak terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melalui cara penerimaan mahupun pemberian rasuah.

Sesungguhnya, amanah yang dipikul SPRM amat berat. Tanggungjawab dan tugas untuk memastikan negara bersih dan bebas daripada gejala rasuah bukanlah tugas SPRM  semata-mata. Usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi gejala rasuah akan sia-sia dan tidak akan membuahkan impak mendalam jika rakyat tidak bersama SPRM.