Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Isu Pengemis Jalanan – Beri Pada Yang Berhak

Sifat pemurah rakyat Malaysia dikatakan menjadi punca lambakan pengemis warga asing di negara ini. Mungkin ada benar dakwaan itu. Jika tidak masakan negara ini menjadi lubuk rezeki bagi pengemis sekaligus menjadi tumpuan untuk menjadikan sindekit pemerdagangan manusia

Bercakap tentang sifat pemurah ataupun suka bersedekah, sememangnya ia adalah amalan mulia dan baik yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Namun ia perlu disalurkan kepada yang betul-betul memerlukan dan menggunakan saluran yang betul. Jangan kerana simpati kepada pengemis jalanan kita menghulurkan duit tanpa memikirkan kesan pada jangka masa panjang.

Ini bukan sahaja menggalakkan mereka terus mengemis tetapi menjadikan golongan tersebut malas untuk bekerja malah hanya mengharapkan bantuan orang ramai semata-mata. Laporan daripada pihak JKM mendapati pengemis ini mampu meraih kutipan sebanyak RM100 dalam tempoh 3 jam malah pada musim perayaan mampu meraih pendapatan sehingga ribuan ringgit.

Tidak hairanlah mereka terus selesa mengemis kerana ganjaran yang mereka peroleh cukup lumayan. Hanya meraih simpati orang ramai dengan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan dan membawa anak kecil pastinya jiwa kita tersentuh serta berasa kasihan dengan keadaan mereka.

Sememangnya tidak salah untuk menderma, namun kita perlu berfikir sejenak. Adakah wang tersebut menjadi kepunyaan mereka ataupun mereka dijadikan alat oleh pihak tertentu misalnya sindiket pemerdagangan manusia untuk memperoleh wang dengan cara yang salah?

Jika tidak, kita hanya menyumbang kepada lambakan pengemis dan menggalakkan sindiket pemerdagangan manusia di samping mencacatkan pemandangan dan kebersihan  terutamanya di ibu kota yang menjadi tumpuan pelancong. Ia secara tidak langsung memberi imej kurang baik kepada negara.

Bagi membanteras lambakan pengemis di negara ini, masyarakat harus bersama-sama menjayakan kempen membanteras pengemis yang sedang diusahakan pihak berkuasa ketika ini. Ia sebagai usaha mengelak kegiatan mengemis terus menjadi wabak dalam masyarakat di negara ini. Selain itu, turut dijalankan operasi bersepadu menyelamatkan pengemis di kawasan tumpuan di ibu negara dan setiap negeri.

Mentaliti masyarakat berhubung isu pengemis juga perlu diubah. Kegiatan itu tidak harus dibiarkan begitu sahaja kerana negara telah menghampiri status kelas pertama. Jangan biarkan golongan tersebut mengambil kesempatan akan belas kasihan masyarakat. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Sememangnya tiada halangan untuk kita berbuat baik, asalkan kena dan tepat pada masa dan orangnya.