Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

OBOR China Beri Impak Tinggi Kepada Pertumbuhan Ekonomi Negara

Inisiatif One Belt One Road atau (OBOR) yang diilhamkan oleh Presiden China Xi Jinping sebagai pengganti laluan sutera yang wujud suatu ketika dahulu dilihat dapat mengubah landskap ekonomi bukan sahaja bagi seluruh rantau ini malah dunia amnya.

Apa tidaknya laluannya yang menjangkau sehingga ke Eropah, Afrika, Asia Barat dan Asia Tenggara itu membawa kepada kewujudan rangkaian luas logistik dan pengangkutan menggunakan jalan raya, keretapi, pelabuhan dan lapangan terbang. Selain merancang untuk membina dan menyambungkan landasan keretapi ke negara-negara Asia Timur, China juga berusaha keras untuk menarik lebih banyak negara jirannya meningkatkan infrastukrtur pelaburan masing-masing untuk misi laluan sutera maritimnya.

Setakat ini OBOR telah berjaya menarik minat lebih 60 negara seperti ASEAN, Kesatuan Eropah dan United Kingdom. Ini disebabkan manfaat ekonomi yang akan diperolehnya dan pengukuhan hubungan sepanjang laluan sutera.

Projek seperti projek keretapi China-Laos, projek keretapi laju Jakarta-Bandung, projek keretapi laju Nakhon Ratchasima - Bangkok dan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang dijangka bermula tahun ini dan projek pembangunan Forest City di Johor akan memacu ketersambungan serta pertumbuhan ekonomi bagi wilayah pantai timur negara ini serta menjadi jambatan darat yang akan membolehkan barangan diangkut secara cekap, kos dan masa antara Afrika, Asia Barat dan Asia.

Begitu juga dengan projek infrastruktur berjumlah 46 bilion dolar dikenali sebagai Koridor Ekonomi China-Pakistan dan perkhidmatan keretapi fret yang menghubungkan China dan Eropah. Atas faktor itu Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yakin Malaysia akan mendapat manfaat yang besar hasil daripada gagasan berkenaan. Segala rangkaian OBOR yang besar dan komprehensif bakal menjadi suntikan dan rangsangan kepada pembangunan pelbagai sektor dan industri lantas menjana pertumbuhan yang lebih tinggi melalui infrastuktur yang baik sebagai pemangkin.

Melalui insitiatif tersebut pengangkutan dan peralihan barangan tentunya menjadi lebih murah dan mudah serta membolehkan pengusaha tempatan menembusi pasaran yang lebih besar. Sekaligus memberi satu peluang keemasan bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju terutamanya melalui pelaksanaan projek infrastruktur yang mampu mengubah landskap ekonomi dunia hasil daripada inisiatif berkenaan.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri projek tersebut akan memajukan banyak kawasan di negara ini dan membawa kemakmuran kepada rakyat tanpa mengorbankan pemilikan rakyat tempatan sebagaimana didakwa sesetengah pihak. Ia merupakan suatu peluang baik bagi Malaysia untuk merancakkan lagi kemajuan ekonominya bersama-sama ekonomi China.

Tidak salah rasanya jika kita merebut peluang yang terbentang luas untuk terus maju dan membina infrastruktur bertaraf dunia asalkan masih berpegang teguh dengan nilai saling menghormati, keamanan, keharmonian serta tidak campur tangan dalam hal ehwal negara berdaulat.