Rabu 24 October 2018
A- A A+

Bersama Tangani Kos Sara Hidup

KAMI sebenarnya gembira apabila Perhimpunan Agung UMNO 2017, baru-baru ini menerima sentimen rakyat dan akhirnya memberi perhatian kepada isu kos sara hidup yang terus 'memecut'. Dua tahun lalu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa kerajaan menghentikan semua kenaikan dan menumpukan usaha memastikan bebanan rakyat diatasi secara berkesan menerusi langkah penjimatan yang dibuat. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa bebanan kenaikan yang ada kini membuatkan rakyat seakan mula berpaling tadah dan tidak lagi menyokong kerajaan yang ada, terutama generasi muda.

"Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepemimpinan parti dan kerajaan, cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi. Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil, hakikatnya rakyat tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough," kata beliau pada ucapan perasmian dan amanat Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015. Sekitar Mac tahun ini, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan memastikan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup dihadapi rakyat kini. Beliau berkata, perkara itu mampu direalisasikan dengan pelaksanaan pelbagai aspirasi disuarakan generasi muda untuk TN50, antaranya dalam soal pengangkutan, perumahan dan kemudahan kesihatan mampu milik serta pekerjaan lebih baik. Isu kos sara hidup akan menjadi antara faktor utama yang bakal mempengaruhi sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sama ada kita mahu atau tidak dan suka atau tidak, isu kos akan menjadi penghitung dalam menentukan arah aliran sokongan pengundi, separuh daripadanya adalah kalangan pekerja. Itu sebabnya saya gembira isu ini diketengahkan, dibahas dan dihalusi dengan mendalam.

Kesejahteraan diutamakan

Kami menyambut baik langkah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara supaya isu peningkatan kos sara hidup dapat ditangani dengan berkesan. Bagi tujuan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersedia berkongsi pandangan bagi mencapai matlamat membantu golongan pekerja dalam menghadapi isu kos sara hidup. Kami mengambil maklum mengenai harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu kesejahteraan diutamakan kepada rakyat dan keadilan untuk seluruh rakyat dengan menyediakan subsidi melalui barang keperluan asas dianggarkan RM2 bilion.

Mengambil kira keperluan menangani isu kos sara hidup dengan menyeluruh, dalam cadangan Bajet 2018, MTUC menyenaraikan beberapa syor tindakan pelaksanaan bagi mengurangkan beban rakyat, yang kebanyakannya adalah golongan pekerja.

Ini termasuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak yang berpatutan dan berkualiti, mudah diakses oleh pekerja berpendapatan rendah dan sederhana. Yang turut disyorkan penyediaan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk kanak-kanak bersekolah (bas sekolah percuma) untuk semua kanak-kanak, terutama dalam kategori B40 dan M40 supaya populasi yang lebih besar boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu dan mengurangkan beban membayar tambang bas sekolah oleh ibu bapa.

MTUC berpandangan untuk menolong dan membantu pekerjaa Malaysia secara kewangan, perlu ada langkah untuk membantu pekerja dalam kategori B40 dan M40 dengan memberikan sekurang-kurangnya RM300 sebagai Elaun Kos Sara Hidup bulanan. Kami juga berpandangan perlu ada sukatan pelajaran di mana kanak-kanak sejak usia muda didedahkan kepada pengurusan kewangan memandangkan negara berusaha untuk menjadi penduduk berpendapatan tinggi.Kerajaan juga perlu memainkan peranannya dalam menyebarkan mesej 'perbelanjaan berhemat' kepada orang ramai sebagai peringatan berterusan mengenai pengurusan dompet mereka yang lebih baik.

Selain itu, pendidikan percuma adalah penyelesaian terbaik untuk pelajar yang ibu bapa mereka berada dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 bagi meningkatkan peluang menamatkan pengajian dan bergabung dengan tenaga kerja sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pendidikan percuma akan menaikkan taraf hidup pelajar yang menamatkan pengajian yang keluarga mereka terbeban dengan hutang.

Sistem pendidikan percuma untuk pelajar B40 dan M40 harus dilaksanakan dari awal perjalanan pendidikan mereka. Dengan cara ini, pendidikan mereka tidak akan terganggu. Satu lagi isu, kos hidup yang semakin meningkat mendorong pelajar daripada kumpulan B40 dan M40 memasuki pasaran kerja lebih awal, mencari pekerjaan yang tidak membina hanya untuk menjauhkan keluarga mereka daripada isu hutang, daripada mencapai potensi penuh mereka dengan menyelesaikan pendidikan tinggi mereka. Pelajar yang lebih miskin juga harus diberi elaun bulanan dan penginapan bulanan supaya tidak membebankan mereka dengan mencari pekerjaan ketika belajar.

Kita akan melangkah ke tahun baharu 2018 yang pasti tidak terkecuali daripada dugaan dan ujian serta cabaran kepada pekerja. Satu daripada cabaran yang kita sedia maklum adalah persekitaran kos sara hidup yang terus meningkat. Usaha menangani perkara ini tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata.

Sokongan semua pihak

Tetapi pihak swasta, peniaga, pengeluar dan majikan mempunyai bahagian peranan masing-masing. Pihak korporat hanya boleh merasai pertumbuhan kekayaan dengan sokongan semua pihak termasuk kerajaan dan pekerja. Oleh itu, amat wajar kekayaan harus dinikmati dengan adil dan pada kadar munasabah oleh semua. Komponen pekerja jangan dilupakan. Kepentingan pekerja jangan diketepikan. Ini harapan kami golongan pekerja jika kita mahu menangani isu kos sara hidup dengan efektif.

Justeru, menangani kos sara hidup juga adalah azam kami tahun baharu 2018. Kami berharap ahli politik akan menghentikan mempolitikkan setiap isu dari sudut kaum dan agama kerana ini hanya akan menghalang Malaysia daripada bergerak mahu ke hadapan. Semua ahli politik mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kekayaan negara dinikmati semua rakyat Malaysia.

Segala usaha mesti diambil oleh ahli politik tanpa kira apa ideologi mereka demi menangani kos sara hidup yang tinggi supaya semua rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati hasil perkembangan negara secara saksama. Gandingan parti politik, kongres kesatuan sekerja, kesatuan dan golongan pekerja diharap akan menjayakan usaha murni ini.

Penulis ialah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel dimuat naik pada 6 Februari 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking