Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Ciss! Siapa Kata Melayu Bodoh

BETULLAH kata-kata Hang Tuah: “Tak kan Melayu hilang di dunia!” Andai kata pahlawan Melayu itu masih hidup, dia tentu kagum melihat bangsanya bukan sahaja terus wujud, malah sudah pandai dalam segala benda.

Saya baru sedar – dan terkesan – dengan kepandaian bangsa sendiri. Ketika memandu di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), hujung minggu lalu, beberapa insiden membuktikan Melayu tidak sebodoh dan sedungu seperti yang digambarkan selama ini.

Ini satu-dua contoh yang membuktikan Melayu pandai:

Pertama, ketika terperangkap dalam kesesakan menuju Tol Gombak, pemandu menunjukkan kepandaian dengan memotong kenderaan lain mengikut lorong kecemasan. Mereka tahu tidak ada petugas atau pihak berkuasa yang ambil peduli.

Mereka memotong ikut suka hati, tidak kira pada selekoh, lorong garisan berganda, hatta pada laluan yang jelas ada kenyataan ‘Dilarang Memotong’. Tentu sekali memotong tanpa memberi isyarat.

Mereka memandu sambil bercakap menggunakan telefon bimbit, malah sempat berwasap. Satu lagi kepandaian mereka, membuang sampah, termasuk pembungkus makanan dan tin kosong, ketika memandu. Mereka tidak kisah sekiranya tin kosong itu terkena kenderaan lain.

Kedua, di kawasan R&R, ramai yang berebut mengambil makanan, tidak beratur mengikut giliran. Oleh sebab mereka pandai, mereka terus ke depan, tanpa sedikit pun menghiraukan orang lain yang berbaris panjang.

Jangan ditegur, walaupun secara baik, sebab orang pandai tidak akan menerima sebarang teguran. Orang pandai tidak menghormati hak orang lain, mereka hanya pentingkan diri. Biar orang lain mati, mereka sahaja yang berhak untuk hidup.

Ketiga, ketika orang ramai berdiri sambil memegang makanan untuk mendapatkan tempat duduk, ada pula yang sudah selesai makan tetapi enggan beredar dan ‘buat dhek’ pada orang yang berdiri di sebelah.

Makanan dan minuman telah licin, mereka tergamak terus duduk sambil menghisap rokok, mencungkil gigi, malah ada yang terus berwasap. Orang pandai selalu ingat tempat mereka duduk dan mencungkil gigi itu opah mereka punya. Biar orang lain menunggu, ada aku kisah!

Ini sebahagian contoh kecil yang terjadi dalam kehidupan harian, semuanya menunjukkan orang kita semakin pandai. Ada macam-macam lagi perangai dan kepandaian orang kita yang sengaja dimegahkan, seolah-olah merekalah paling hebat, paling bertamadun, paling bersantun.

Terkini, semua orang – termasuk yang bukan Melayu, bukan Islam  – terpesona dan kagum bukan kepalang apabila dikhabarkan mengenai satu kehilangan yang terjadi di siang hari, di depan mata.

Sebenarnya tidak sahaja manusia, hatta mergastua, termasuk beruk, babi tonyok, tapir, badak sumbu, tikus, lipas kudung, katak puru, waimma harimau sarkas pun gumbira sakan mendengar khabar tersebut. Jin Afrit dan puntianak sundal malam pun turut terkedu.

Alkisah, empat bidang tanah yang terletak di kawasan prima Kuala Lumpur, tiba-tiba dikatakan hilang. Tanah di Jalan Semarak itu asalnya sah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, atau nama manjanya Felda.

Tetapi Pengerusi lembaga tersebut, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui tanah bernilai emas itu tidak lagi milik Felda. Seperti yang dilaporkan media tanah tersebut telah dijual, tanpa pemilik sahnya mendapat walau setengah sen pun.

Kata yang empunya cerita tanah empat bidang tersebut dijual pada harga RM270 juta. Siapa yang membeli telah pun diketahui. Tetapi siapa yang mengambil duit dari jualan tanah berkenaan Shahrir pun tidak pasti.

Tanah telah hilang daripada pegangan. Dan menurut mereka yang arif tentang undang-undang, tidak mungkin harta itu dapat dipulangkan kepada Felda, sebab penjualan tersebut dibuat secara sah. Tanah yang telah dipindah milik itu boleh pula dijual kepada pihak lain, Felda tidak boleh berbuat apa-apa, hanya tersengih. Mungkin ada yang ketawa!

Menurut mereka yang biasa dengan selok-belok hartanah, harta Felda yang dulu dijual pada harga RM270, nilainya kini – berdasarkan RM1,300 per kaki persegi – adalah kira-kira RM1 bilion.

Siasatan akan dilakukan untuk mengesan skandal tanah empat bidang ini. Sementara itu beberapa pemimpin Melayu, khasnya Umno, meminta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi atau persepsi. Jangan menuding jari, jangan tuduh-menuduh.

Sebenarnya tidak ada spekulasi, tidak ada persepsi. Ini realiti. Satu lagi bukti Melayu pandai dalam apa juga urus niaga. Bayangkan boleh menjual harta dengan harga RM juta-juta, tetapi satu sen pun tidak masuk hasil. Betul-betul macam cerita Pak Pandir, menang sorak kampung tergadai.

Maka, lepas ini jangan lagi asyik-asyik kata “Cina akan jual Melayu!” sebab kata-kata seperti itu hanya menunjukkan Melayu sahaja yang bodoh. Dalam kes tanah Felda yang empat bidang, jelas sekali “Melayu jual Melayu.”

Dan, itu bukti Melayu pandai!

Penulis ialah Kolumnis Sinar Harian: Abdul Jalil

Sumber: Sinar Harian

Dimuat naik pada 23 Februari 2018