Jumaat 21 September 2018
A- A A+

Nilai 20 Sen Sebagai Habuan PRU-14

SAMA seperti kempen anti-rokok, kita, pihak berkuasa tempatan, dan kerajaan – tidak bersungguh untuk menjayakan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik.

Perihal rokok, sana-sini telah diisytiharkan zon larangan merokok, kawasan bebas asap. Tetapi penagih tembakau terus bebas mengasapkan alam keliling.

Walaupun ada amaran, mereka tidak takut. Terang-terang, tanpa malu mereka menyedut dan hembus asap, walaupun di zon larangan. Tiada siapa ambil tindakan!

Pantang ada kesempatan dan ruang, mereka berkumpul sesama geng tembakau. Di alam maya mereka ada grup WhatsApp. Di alam nyata mereka berkumpul dalam ‘asap grup’. Dan, udara kita terus dicemari. Cehhh!

Sama juga halnya dengan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik yang dimulakan seluruh negara 2011. Beberapa negeri, termasuk Selangor, telah memulakan kempen bebas plastik setiap hujung minggu.

Di bawah kempen berkenaan pengunjung mana-mana pusat beli-belah dan pasar raya dikehendaki membawa bekas masing-masing untuk meletakkan barang.

Sekiranya tidak membawa bekas, pengguna terpaksa membawa barang tanpa bungkus. Atau, sekiranya hendak juga beg plastik, terpaksa membayar 20 sen setiap satu.

Maka timbul isu: 20 sen itu untuk siapa? Dulu dikatakan caj 20 sen setiap hujung minggu itu akan dikumpul dan didermakan kepada pertubuhan dan badan kebajikan.

Memang, 20 sen setiap beg plastik tidak senilai mana. Tetapi sekiranya 10,000 plastik? Jika 100,000 plastik? Apa kata jika 10 juta plastik?

Setelah sekian lama kempen bebas plastik hujung minggu, tidak pasti apakah caj tersebut betul-betul diserah kepada pihak sepatutnya.

Atau, adakah caj 20 sen setiap beg plastik itu menjadi keuntungan tambahan kepada pekedai?

Berapa banyak kita menggunakan plastik setiap hari? Menurut Persatuan Pembuat Plastik Malaysia (MPMA) purata setiap orang menggunakan 300 plastik beg setahun.

Kali dengan 30 juta penduduk, jumlah beg plastik yang digunakan setahun ialah 9 bilion. Katakan satu bilion sahaja dari jumlah tersebut yang dikenakan caj 20 sen, berapa banyak yang dikumpul pekedai?

Maka banyak pihak tidak bersetuju cara mengenakan caj 20 sen kepada pengguna. Caj itu hanya menguntungkan pekedai.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan, berkata sekiranya kerajaan negeri Selangor mahu menjayakan program tersebut, mereka harus mencari kaedah lain yang lebih sesuai.

“Kami sokong kempen pengu-rangan menggunakan plastik, tetapi apabila ada pihak peniaga yang ambil kesempatan dengan menjual plastik tersebut dan mendapat keuntungan, kami rasa ia akan mencemarkan kempen itu sendiri.”

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), juga sependapat dengan Fomca. Masing-masing mahu cara lain untuk menjayakan kempen kurangkan plastik.

Entah kenapa tumpuan hanya diberi kepada negeri Selangor, sedangkan kempen sama juga dilakukan di beberapa tempat lain termasuk di Wilayah Persekutuan KL, Melaka dan Johor.

Semua mahu kaedah lain digunakan, tetapi tidak pula memberikan cara apa yang lebih sesuai. Maka saya cadangkan:

Pertama: Pekedai sediakan beg kain atau kantung guni kepada pengguna. Boleh caj lebih tinggi katakan RM1 – RM5 setiap satu.

Katakan terus terang bahawa caj ini adalah untuk pekedai, bukan untuk derma kepada mana-mana pertubuhan. Pesan kepada pengguna: “Kantung ini jangan dibuang, boleh gunakan untuk masa lain.”

Caj 20 sen pengguna tidak kisah, tetapi sekiranya terpaksa membayar RM5, pasti mereka akan membawa beg sendiri. Barulah bebas plastik.

Kedua: Pekedai sediakan kotak, kenakan juga bayaran. Ini cara yang lebih berkesan untuk mendidik orang ramai supaya bawa beg atau kantung sendiri sewaktu membeli.

Ketiga: Kempen ini jangan ditumpukan di Selangor, sebab usaha mengurangkan penggunaan beg plastik adalah kempen peringkat negara yang digerakkan sejak 2011.

Memang rumit dan seperti tidak dapat dilakukan. Tetapi kalau semua bersungguh-sungguh – dan komited – kita boleh lakukan.

Menarik juga apabila ada orang politik mencadangkan kaedah lain sebagai jalan pintas membantu menjayakan kempen itu.

Seperti yang dilaporkan media, beberapa orang YB peringkat negeri dan pusat berjanji, sekiranya BN berjaya mengambil alih negeri Selangor pada PRU14, caj 20 sen setiap plastik itu akan dihapuskan. “Kita akan masukkan ini dalam manifesto,” kata seorang YB.

Tidak perlu bayar 20 sen, dapat beg plastik percuma! Kaedah ini sekiranya diterima, akan lebih menggalakkan orang ramai menggunakan plastik.

Sebab itulah kempen kita selalu kantoi!

 

Penulis adalah Kolumnis Sinar Harian: Abdul Jalil

Dimuat naik pada 23 Februari 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking