Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Media 'Langit Terbuka' Cetus Perspektif Baharu

TUGAS media yang utama ialah melaporkan perkara yang berlaku di sekeliling kita, terutama peristiwa yang menjadi perhatian masyarakat. Biasanya, media akan memberi fokus kepada peristiwa yang dianggap mengandungi nilai berita.

Yang dimaksudkan dengan nilai berita itu ialah berita yang boleh memberi impak atau kesan kepada masyarakat. Antara unsur penting dalam sesuatu berita yang dianggap mengandungi nilai berita ialah unsur kejutan, keluarbiasaan, pengaruh berita kepada masyarakat, ketokohan, kemanusiaan yang menyentuh minat dan perasaan pembaca.

Antara isi kandungan media, sama ada media elektronik atau media cetak yang menarik perhatian masyarakat ialah berita berkaitan isu politik. Namun, sosialisasi politik dalam pengertian membina kesedaran politik seperti kefahaman mengenai sistem demokrasi, sistem pemerintahan negara, proses dan pilihan raya di negara ini tetap menjadi sebahagian daripada pendidikan politik yang diketengahkan oleh media di negara ini.

Apa pun, dalam konteks berita politik, media di negara kita dianggap berperanan penting dalam mendukung sesuatu ideologi politik berdasarkan kepartian. Jika dianalisis isi kandungan berita politik di media massa kita maka pastinya, kita akan menyedari bahawa mauduk mengenai situasi dan perkembangan politik semasa yang berlaku dalam negara adalah isu kandungan utama media di negara ini.

Persoalannya, sejauh mana berita politik itu dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai sesuatu isu politik, bergantung kepada motif sesuatu media itu memaparkannya, selain keupayaan penonton, pendengar dan pembaca menilai serta mentafsirnya.

Hakikatnya, media massa punya peranan dan kesan terhadap pemikiran politik masyarakat. Secara dasarnya, di negara kita akhbar dan televisyen lebih besar peranan dan pengaruhnya terhadap sosiolisasi politik masyarakat. Media massa menjadi medium utama memaparkan pelbagai cerita dan perkembangan politik.

Memang tidak dinafikan wujud pengaruh lain yang mempengaruhi sosialisasi politik masyarakat kita seperti pendidikan, rakan, keluarga, organisasi politik, organisasi agama, lingkungan pekerjaan dan sebagainya. Malah, dengan berkembang 'media baharu' yang lebih dirujuk sebagai media sosial, nampaknya 'pendemokrasian politik' di negara kita menjadi meluas dan rancak lagi.

Media dalam talian atau media baharu ini semakin kuat pengaruhnya dalam mempengaruhi pemikiran dan kecenderungan politik masyarakat, sama ada berkaitan aliran politik atau sokongan terhadap sesuatu parti politik yang ada di negara ini.

Maklumat lebih pantas

Hari ini, maklumat yang disampaikan oleh media baharu begitu pantas dan sangat mempengaruhi masyarakat, terutama generasi muda yang dianggap kelompok mesra teknologi maklumat.

Pengaruh media baharu merancakkan lagi pemasaran berita atau maklumat berkaitan pemikiran serta aktiviti politik pembangkang sehingga mengancam pengaruh politik parti yang berkuasa. Bagi sesetengah pihak, mereka melihatnya sebagai 'proses sosialisasi politik' yang lebih terbuka.

Apakah maksud sosialisasi politik itu? Ia adalah proses pembelajaran dan pembudayaan politik individu dalam masyarakat.

Pengkaji politik seperti Adam Ulan (1958) menyebut, budaya politik merangkumi sikap kepercayaan, emosi dan nilai sesuatu masyarakat mengenai kepemimpinan kerajaan, termasuk cara atau gaya memimpin serta hal berkaitan sistem politik dan isu politik.

Dennis EE (1994) menyebut, maksud sosialisasi politik itu merangkumi pendidikan politik sama ada formal dan tidak formal, dirancang atau tidak dirancang di setiap peringkat dalam ruang lingkup kehidupan masyarakat.

Kebanyakan pakar dalam bidang sains politik menekankan bahawa sosialisasi politik amat penting kerana ia punya pengaruh dalam proses pembentukan dan perkembangan sikap, nilai kepercayaan terhadap sistem politik dan kerajaan yang memerintah. Proses ini juga penting dalam memupuk ketaatan dan kesetiaan rakyat terhadap pemimpin dan pemerintah yang ada.

Pada hemat penulis, sama ada seseorang itu cenderung kepada mana-mana parti politik, bukan isunya kerana dalam negara demokrasi pilihan adalah terbuka kepada rakyat untuk menentukan parti atau ahli politik mana yang mahu disokongnya. Namun, perkara penting yang mesti dijaga ialah penyertaan dan aktiviti politik itu mestilah dapat membentuk kesetiaan kepada negara.

Sumber: Berita Harian

Dimuat naik pada 23 Februari 2018