Ahad 16 December 2018
A- A A+

Antara Media Konvensional, 'Wartawan Jadian'

WALAUPUN media sosial beri saingan dan cabaran besar kepada media konvensional, media konvensional masih dilihat berwibawa dan beretika dari segi kandungan maklumat yang disiarkan. Sungguhpun media sosial membolehkan semua orang salur apa jua berita, maklumat serta video tanpa kawalan dan kekangan, kesahihan dan ketepatan berita dan maklumatnya banyak diragui.

Media sosial juga sering memeningkan pemerintah kerana penggunaannya secara terbuka tanpa kawalan membuka ruang kepada golongan atau individu tidak bertanggungjawab mengkritik dan memfitnah tanpa asas kebenaran semata-mata mahu membentuk persepsi buruk terhadap kerajaan. Apa tidaknya, fitnah, kata-kata kesat, maki hamun, intimidasi dan pelbagai bentuk mazmumah yang lain begitu berleluasa disebarkan melalui media sosial serta media online lain. Pembunuhan karakter individu juga dibuat melalui media sosial.

Jika media konvensional mudah dipantau dan diajak berkomunikasi, tetapi sukar untuk berbuat demikian terhadap media sosial kerana sifatnya yang individualistik dan luas jaringannya. Justeru, penting bagi media konvensional (akhbar, radio dan TV) terus main peranan bagi menggempur berita tidak tentu kesahihannya, palsu dan bersifat fitnah yang disebar atau ditularkan melalui media sosial.

Kesahihan berita penting

Media arus perdana tidak mungkin lenyap dengan wujudnya media sosial. Masyarakat kita masih mahu dapat berita sahih daripada media konvensional. Tidak dinafikan ada berita dianggap benar dan sahih disebarkan melalui media sosial, namun berita dan maklumat tidak sahih serta tidak tentu sumbernya lebih banyak hingga boleh bawa mudarat.

Biarpun media sosial cepat atau pantas, namun nilai ketepatan berita dan maklumatnya banyak diragui. Sebaliknya, media arus perdana masih tetap diakui ketepatan dan kesahihan dalam laporan dan pemberitaannya. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah sebut bahawa zaman atau era kerajaan tahu segala-galanya sudah berlalu disebabkan pengaruh media sosial, ia bukan bermakna sesiapa sahaja bebas membicara tanpa sebarang pertanggungjawaban moral dan etika.

Realitinya, media konvensional masih kuat dan istiqamah berpegang kepada nilai etika kewartawanan berbanding 'wartawan jadian' media siber. Sebab itu, ramai beralih kepada akhbar digital dikendali akhbar arus perdana.

Media konvensional juga masih kuat memainkan peranan dalam memelihara keharmonian masyarakat serta memastikan perpaduan negara terus kukuh, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Melalui berita dan maklumat sahih dan tepat, media konvensional masih berpengaruh menggerakkan pemikiran dan merubah sikap rakyat supaya bersama-sama berpartisipasi secara sihat, terutama dalam mendukung transformasi yang dibawa oleh kerajaan.

Tanpa menafikan sumbangan positif media sosial, media konvensional masih berpengaruh dalam membantu proses pembangunan negara. Namun media arus perdana masih main peranan besar mencorak arus pembangunan dan kemajuan negara. Justeru, pengamal media sosial seharusnya berpegang kepada etika dan moral kewartawanan supaya turut berlaku adil dan bertanggungjawab menyebar berita dan maklumat.

 

Sumber: Berita Harian

Dimuat naik pada 23 Februari 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking