Ahad 16 December 2018
A- A A+

Malaysia Contoh Terbaik Amal Wasatiyyah

Perkataan 'wasatiyyah' bermaksud 'pertengahan', 'sederhana', 'tidak melampau' atau berlebih-lebihan (ghuluw). Ulama tersohor Nusantara, Prof Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup menegaskan kesederhanaan adalah antara syarat asas mencapai kebahagiaan hidup.

Seorang lagi ulama tersohor, Prof Dr Yusof al-Qardhawi pula menyebut 'pertengahan' adalah satu sifat dan kriteria agama Islam selain disebut sebagai 'al-tawazun' (berimbang). Ia disyariatkan dalam kehidupan supaya kehidupan manusia tidak ekstrem, sama ada ekstrem ke kiri atau ekstrem ke kanan.

Contoh, beberapa sikap terpuji seperti dermawan (murah hati) adalah sifat 'pertengahan' antara sikap boros dan kedekut. Sifat ini dinyatakan dalam surah al-Fur-qan, ayat 67 yang bermaksud, "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak (pula) bakhil, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Ambil kira urusan dunia

Islam juga menolak kehidupan kerohanian melulu sehingga mengabaikan kehidupan dunia. Islam menuntut umatnya mengambil kira urusan dunia tanpa melupai kehidupan akhirat seperti maksud ayat 10, surah al-Jum'ah: "Apabila selesai menunaikan sembahyang, maka pergilah kamu semua bertebaran di bumi dan carilah nikmat-nikmat daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan dan keberuntungan."

Memang Islam tidak menyuruh penganutnya meninggalkan hal keperluan hidup seperti makan, minum, keperluan seksual, perhiasan dan lain-lain tetapi ia perlu dilakukan dalam batasan kesederhanaan. Dalam ajaran Islam, kehidupan ditunjangi falsafah kesederhanaan ini jelas terkandung di dalam al-Quran (al-Baqarah:143) yang bermaksud, "Dan demikianlah pula Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) 'ummatan wasata' (satu umat yang pilihan, cemerlang dan adil), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."

Ayat tersebut jelas meletakkan umat Islam sebagai 'ummatan wasata', iaitu umat pertengahan, terpilih, adil dan mampu memberi keterangan tentang kebenaran kepada manusia. Dalam konteks bernegara, Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan sejak awal lagi mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam segenap bidang kehidupan.

Tak amal politik menindas

Dalam amalan politik Malaysia, kerajaan tidak mengamalkan politik menindas bukan Islam atau bukan Melayu. Malah, ramai menjadi wakil rakyat dan terbabit dalam pembentukan dasar negara. Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri dan barisan Kabinet kerajaan terdiri daripada pelbagai kaum.

Daripada segi ekonomi negara, semua kaum menikmatinya walaupun pada realitinya kaum bukan Melayu lebih dominan menguasainya. Pun begitu, kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu (UMNO) tidak merampas apa yang kaum lain nikmati itu. Kerajaan komited berpegang kepada prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Negara serta amat menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga memberi kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan negara.

Di era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, prinsip kesederhanaan dijadikan pendekatan penting dalam pentadbiran beliau. Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau menekankan aspek kesederhanaan dengan mengutamakan keadilan sosial untuk semua rakyat tanpa mengira kaum. Namun, kerajaan sedar bahawa tuntutan keterlaluan atas nama keterbukaan dan liberalisme menjadi ancaman kepada masyarakat.

Ketika merasmikan Seminar Antarabangsa 'Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah' pada April lalu, Najib menjelaskan apa yang ingin diterapkan melalui pendekatan wasatiyyah ini adalah nilai murni, antaranya aspek kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan.

Prinsip kesederhanaan turut diperjuangkan Najib pada peringkat antarabangsa melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diketengahkan beliau dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada tahun 2010. Asas pendekatan GMM ialah kesederhanaan dalam sudut politik, ekonomi dan sosial. GMM menjadi landasan menghapuskan prasangka dan prejudis Barat terhadap Islam yang dituduh menganjurkan keganasan.

Penulis Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

Sumber: Berita Harian, 9 November 2014

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking