Jumaat 21 September 2018
A- A A+

Perkukuh kerjasama ASEAN bendung keganasan serantau

Asia Tenggara tidak terkecuali daripada ancaman pengganas. Rantau ini pernah diancam Jemaah Islamiyah (JI) dipercayai rangkaian pertubuhan al-Qaeda. Kawasan selatan Filipina dianggap berpotensi besar menjadi sarang pengganas disebabkan ketidakstabilan politik di situ. Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina mendapat sokongan JI.

Pada tahun 2001, pihak keselamatan Malaysia sendiri menahan lebih 80 orang yang dikaitkan dengan pertubuhan yang dinamakan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Terbaru ialah laporan 17 orang ditahan mahu meletupkan bom di Kuala Lumpur. Jadi, rantau ini terdedah kepada ancaman kumpulan Negara Islam (IS) yang mana perjuangannya tidak berlandas kepada ajaran Islam sebenar.

Pelbagai usah dilakukan untuk membendung gerakan pengganas di rantau ini. Pada 1 Julai 2003, Menteri Luar ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar merasmikan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) - pusat latihan dan penyelidikan dalam bidang keganasan dan pencegahannya di Asia Tenggara.

Tujuan penubuhannya adalah untuk melatih dan mempertingkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam kalangan pegawai penguat kuasa keselamatan dan penggubal dasar, di samping mempertingkatkan kerjasama dengan institusi 'think-tank' dan organisasi antarabangsa. SEARCCT juga berperanan membentuk perspektif Malaysia dalam menangani isu keganasan dan mencegah keganasan melalui pendekatan yang komprehensif. Ia memberikan tumpuan kepada penyiasatan, perundangan, pengurusan krisis, keselamatan udara dan maritim, keganasan siber, belia dan pencegahan keganasan, pemulihan dan kewangan pengganas.

Dari segi gerak kerja, usaha membendung gerakan pengganas ini dilakukan melalui usaha sama serantau. Setiap negara ASEAN tidak akan mampu berhadapan dengan kumpulan pengganas secara sendirian tanpa kerjasama dengan negara lain. Justeru, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei sentiasa memperkukuh kerjasama bagai menangani ancaman pengganas dan militan.

Langkah terbaru seperti disebut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ialah majoriti negara ASEAN bersetuju menubuhkan unit keselamatan rentas sempadan khas, pasukan pengaman ASEAN sebagai persediaan menangani ancaman dan penularan pengganas khususnya IS. Secara prinsipnya semua negara anggota ASEAN membuat pendirian jelas menentang gerakan pengganas dan militan terutama IS.

Selain itu, anggota ASEAN juga secara dasarnya bersetuju menggerakkan pasukan keselamatan bersama pada peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani penularan aktiviti keganasan rentas sempadan secara bersepadu. Dari sudut perundangan, Malaysia sudah ambil keputusan memperkenalkan undang-undang menangani ancaman militan, iaitu Rang Undang-Undang Antikeganasan (POTA).

Kejayaan kerjasama

Banyak bentuk kerjasama membendung aktiviti dan gerakan pengganas dalam kalangan negara anggota ASEAN sebelum ini menghasilkan kejayaan yang cukup besar. Kesan kerjasama antara Malaysia dan negara lain terutama Indonesia dan Filipina berjaya menangani kumpulan militan JI.

Pendekatan perundingan seperti dipelopori Malaysia juga pendekatan berkesan membendung keganasan. Bagaimanapun, ia memerlukan kesabaran sebelum ia berhasil. Ini dapat disoroti dalam peranan Malaysia sebagai perantara rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga termeterainya perjanjian antara Kerajaan Filipina dengan MILF beberapa tahun lalu. Pemeteraian peringkat akhir perjanjian tersebut akan dibuat pada pertengahan tahun ini.

Usaha perundingan itu adalah sumbangan besar ke arah membendung kegiatan militan di selatan Filipina. Kejayaan itu menjadikan kawasan terbabit bebas daripada sasaran puak radikal-militan. Namun, hari ini kebimbangan mula dirasakan apabila ada kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina mengisytiharkan menyokong IS yang langsung tidak mengikut landasan perjuangan Islam.

Program kesedaran awam

Justeru, selari dengan pembentukan Komuniti ASEAN pada penghujung tahun ini, maka setiap negara anggota wajar meningkatkan kerjasama bagi membendung kumpulan pengganas di rantau ini. Ia memerlukan jaringan antara organisasi serantau dan antarabangsa dalam bidang pencegahan keganasan. Sekretariat Komuniti ASEAN harus membangun dan menganjur program kesedaran awam yang komprehensif mengenai ancaman keganasan.

Organisasi sedia ada seperti SEARCCT harus mempertingkatkan keupayaan web portal dan pangkalan data dengan maklumat dan penerbitan isu terkini keganasan, kumpulan pengganas serta langkah mencegah keganasan. Idea kesederhanaan yang diperjuangkan Malaysia melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) perlu diperhebatkan. GMM membawa mesej jelas bahawa suara majoriti (suara sederhana) mesti bersatu dan membentuk gerakan padu menentang sebarang bentuk keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis dan militan.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking