Jumaat 21 September 2018
A- A A+

Keseimbangan pembangunan, alam sekitar perlu diutama

Antara isu penting dalam kehidupan manusia ialah perkara berkaitan alam sekitar. Isu ini merangkumi pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah, penebangan hutan tak terkawal serta kepupusan pelbagai jenis spesies flora dan fauna.

Ia juga merangkumi pencemaran di bandar-bandar besar, pembuangan sampah sarap, pembuangan sisa toksid, kesesakan lalu lintas dan bunyi bising.

Memang jika mahu cari puncanya pasti kita akan mengatakan bahawa punca utama timbulnya isu alam sekitar itu adalah disebabkan proses pembangunan dan kemodenan. Sebenarnya, proses pembangunan negara adalah sesuatu yang tidak boleh disekat.

Dari sudut ekonomi, alam sekitar yang membabitkan kawasan hutan dan kawasan tanah tinggi dianggap sebagai sumber ekonomi dan ia perlu dibangun dan dimajukan. Justeru, projek pembangunan di kawasan terbabit turut dirangka termasuk projek infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya.

Kepincangan dalam pengurusan pembangunan

Isu yang sepatutnya diberi perhatian ialah bagaimana kita merangka dan mengurus pembangunan itu dengan mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar. Jika projek pembangunan yang dilaksanakan mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar maka ia boleh mengundang pelbagai masalah seperti hakisan tanah, pencemaran sungai dan sebagainya. Maknanya, keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar mesti diambil kira.

Persoalan ini penting diberi perhatian kerana kegagalan kita mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pengurusan pembangunan. Manusia akan menjadi rakus dengan keuntungan kebendaan jika peraturan atau garis panduan yang jelas tidak disediakan bagi memastikan tanggungjawab memelihara alam sekitar dipatuhi.

Jika peraturan itu memang ada maka pastikan ia menepati piawaian sepatutnya termasuk piawaian ditetapkan badan antarabangsa. Selain itu, jika garis panduan itu sudah ada maka perlu dinilai sejauhmana ia dipatuhi dan dikuatkuasakan.

Pastinya masyarakat akan memberi fokus kepada kementerian bertanggungjawab, iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Mereka ingin tahu apa peranan sebenar NRE.

Ada tiga bidang utama NRE, iaitu pengurusan sumber asli (hutan, saliran dan pengairan, hidupan liar dan mineral); pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar dan kawasan perlindungan membabitkan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan taman laut; dan pengurusan pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan.

Kerajaan menerusi agensi berkenaan telah melakukan pelbagai usaha termasuk memperkenalkan pelbagai undang-udang berkaitan alam sekitar. namun, kebanyakan isu yang berbangkit hari ini dikaitkan dengan kelemahan dalam aspek penguatkuasaan.

Penguatkuasaan sepatutnya dilakukan sejak awal lagi kerana jika dibiarkan berterusan, maka ia membawa kepada kemusnahan yang lebih besar terhadap alam sekitar. Apa yang berlaku sekarang ialah tindakan hanya diambil apabila masalah sudah menjadi serius atau sesuatu apabila bencana itu berlaku seperti yang berlaku di tanah tinggi Cameron Highlands.

Justeru, sebarang kelemahan dan kekangan perlu diatasi segera termasuk keberkesanan kaedah kawalan alam sekitar. Antaranya ialah memastikan semua bentuk kawalan sedia ada itu mencukupi dan mencapai piawaian ditetapkan.

Kelemahan penguatkuasaan

Banyak faktor dikaitkan dengan kelemahan penguatkuasaan seperti kerenah birokrasi dan juga unsur rasuah menyebabkan isu ini tidak berkesudahan. Selain itu pertindihan kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri juga harus diberi perhatian.

Sebahagian besar sumber alam sekitar di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti tanah, air dan hutan. Justeru, mungkin timbul isu Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak dapat berperanan dengan berkesan kerana tindakan mereka membabitkan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Isu pertindihan kuasa perlu diteliti dan dicari penyelesaian.

Dari sudut lain pula, kerjasama dan peranan pihak swasta diperlukan bagi membantu kerajaan menjalankan kawalan menyeluruh ke atas alam sekitar. Pihak swasta sewajarnya menyumbang dengan lebih bermakna dalam perkara ini.

Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar turut menjadi faktor penting dalam penjagaan alam sekitar. Namun, kesedaran ini masih belum mencapai tahap diharapkan. Contohnya masih ramai yang membuang sampai sarap di merata-rata tempat.

Demikian juga dalam kenderaan bermotor apabila masih ada kenderaan yang mengeluarkan asap melebihi paras dibenarkan iaitu tak lebih 50 UAH yang ditetapkan di bawah kaedah Kereta Motor (kawalan Pelepasan Asap dan Gas) 1977. Dalam kalangan pengusaha kilang pula, masih ada yang membuang bahan toksik di tempat yang tidak dibenarkan.

Kementerian atau agensi terbabit harus memperbanyakkan pendidikan dan kempen kesedaran. Sistem pendidikan negara seharusnya dapat menanamkan nilai penting penjagaan alam sekitar secara berkesan kepada pelajar menerusi aktiviti praktikal penjagaan alam sekitar.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking