Isnin 19 November 2018
A- A A+

Orang muda pilih siapa undian kali ini

SERAMAI lima juta orang muda akan mengundi buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, meliputi kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan pengundi di Malaysia.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan boleh menjangka bagaimana pengundi berpengalaman mengundi akan memilih. Namun, apa yang membingungkan kedua-dua belah pihak ialah bagaimana 5 juta pengundi kali pertama ini akan memilih.

Pengundi muda yang kali pertama mengundi adalah golongan paling ramai di atas pagar dan merekalah akan menentukan pemenang dalam PRU-14.

Apa yang berlaku dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2008 boleh menjadi contoh selepas ia dimenangi Barack Obama, sekali gus menjadi Presiden kulit hitam pertama AS. Strategi kempennya fokus kepada golongan muda sehingga lebih 12 juta pemuda pemudi negara itu mengundi beliau.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza ketika kempen Hillary Clinton pada 2016 apabila golongan muda kurang memberi sokongan kepada beliau berbanding Barack Obama yang membawa kekalahan Hillary Clinton kepada Donald Trump. Berbeza dengan Barack Obama yang menerima 60 peratus sokongan orang muda pada 2008, hanya 55 peratus orang muda mengundi Hillary Clinton pada 2016.

Keinginan pengundi muda

Bagaimana pula pengundi muda di Malaysia akan mengundi pada PRU-14? Adakah mereka pilih untuk undi ikut kecenderungan politik keluarga masing-masing? Mengikut desakan rakan? Atau terpengaruh dengan aliran pemikiran media sosial?

Saya antara seorang orang muda yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU-14 dan saya masih belum membuat keputusan parti yang mana jadi pilihan. Saya yakin, ramai lagi pengundi kali pertama adalah seperti saya.

Persoalan di benak kami adalah apakah yang ditawarkan setiap parti mengenai perkara penting kepada generasi kami. Sebenarnya apa yang kami rasa paling penting ialah masa depan. Contohnya, sama ada kami mampu dapat pekerjaan baik selepas bergelar graduan, dan sama ada kami mampu memiliki rumah dan masih dapat menghantar sedikit wang kepada ibu bapa di kampung.

Kami juga ambil berat mengenai masalah generasi kami pada masa ini. Baru-baru ini, saya terdengar rancangan BN berkenaan program Transformasi Nasional 2050 (TN50), pelan yang mengambil kira pandangan generasi muda mengenai apa yang mereka mahu pada masa depan. Ia strategi baik kerana BN dilihat berusaha merancang masa depan generasi muda.

Mungkin itulah sebabnya kini BN mendapat reaksi baik orang muda. Contohnya, dalam beberapa pilihan raya kecil lalu, sokongan pengundi muda Cina meningkat di Sungai Besar daripada 15 peratus pada PRU-13 kepada 38 peratus pada 2016. Aliran peningkatan sama turut dilihat dalam kalangan pengundi muda Melayu apabila sokongan mereka meningkat 18 peratus kepada BN di Kuala Kangsar, dua tahun lalu.

Pembangkang tak fokus

Selain itu, keputusan pilihan raya kampus di 20 buah universiti-universiti awam sejak dua tahun lalu menunjukkan peralihan ketara sokongan orang muda mahasiswa kepada kumpulan prokerajaan apabila mereka menang hampir semua kerusi yang sebelum ini dikuasai kumpulan propembangkang.

Pembangkang turut dilihat tidak fokus kepada masa depan tetapi kepada soal legasi dengan melantik calon Perdana Menteri berusia 93 tahun. Orang muda mungkin ada masalah dengan perkara ini kerana masalah hari ini tidak sama seperti 20 ke 30 tahun yang lalu. Strategi Pakatan ini mungkin bercanggah dengan harapan orang muda sekarang.

Dalam ucapannya baru-baru ini, Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil, berkata: "Generasi muda adalah pemilik masa hadapan. Merekalah pemegang taruh terbesar masa hadapan. Janganlah kita ulangi kesilapan masa lalu dan memaksa generasi akan datang mengikuti amalan lampau dan tabiat lama. Tabiat lama memang sukar dibuang. Marilah kita ganti kesilapan lalu dengan aspirasi segar."

Oleh kerana sebab di atas, sebagai pemerhati dari perspektif generasi saya, kali ini saya berpendapat, BN akan dapat sokongan lebih tinggi daripada orang muda berbanding pembangkang.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking