Rabu 15 August 2018
A- A A+

Laporan NTP tunjuk prestasi positif

Oleh Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor

SASARAN mentransformasikan ekonomi dalam jangka masa pertengahan semakin menampakkan angka yang memberangsangkan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2017.

Dalam laporan NTP 2017 yang dibentangkan kerajaan pada Jumaat lalu, data dan pencapaian makroekonomi menunjukkan prestasi positif dengan taraf kehidupan rakyat mula meningkat. Ia juga dapat dibuktikan menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, naik taraf infrastruktur pengangkutan dan pengenalan dasar yang berupaya memacu pertumbuhan ekonomi untuk jangka pendek dan panjang.

Di sebalik semua pencapaian itu, masih tidak begitu jelas impak dan keberkesanannya terhadap ekonomi mikro, terutama di luar bandar.Walaupun ada usaha dilakukan untuk meningkatkan taraf ekonomi luar bandar, masih wujud lompang yang boleh diisi dan diperbaiki, terutama berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimana penggiat PKS meningkatkan hasil mereka setiap masa dan meluaskan spektrum perniagaan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat. Langkah ini jika diberi perhatian oleh kerajaan menerusi agensinya, berupaya merangsang peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat di luar bandar.

Dari segi kos sara hidup yang semakin meningkat, pelbagai usaha sudah pun dilakukan kerajaan dalam mengimbangi kenaikan harga barang di pasaran. Namun, data lebih terperinci perlu ditunjukkan dari aspek perbelanjaan harian atau bulanan yang dikeluarkan oleh kumpulan berpendapatan rendah atau B40, sama ada mereka sebenarnya mampu untuk menanggung kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Perlu pemantauan berterusan

B40 membentuk kelompok yang besar di Malaysia dan memerlukan pemantauan berterusan kerajaan. Sememangnya diakui, pelbagai langkah sedang dan sudah dibuat kerajaan, termasuk memperkenalkan galakan program keusahawanan, selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira tujuh juta orang.

Walaupun terbukti memberi manfaat kepada rakyat, elok juga jika kriteria penerima BR1M diperketatkan, contohnya hanya disasarkan kepada orang kelainan upaya (OKU), asnaf atau penerima bantuan zakat serta ibu tunggal.

Jurang pendapatan adalah isu yang turut diberi perhatian dalam laporan berkenaan. Penilaian dari aspek keberkesanan dalam mengurangkan jurang pendapatan di antara B40 dengan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan tinggi mesti diberi tumpuan jelas di mana sasaran akhirnya mestilah ke arah memperkecilkan jurang sedia ada.

Kebiasaannya, kita mengaitkan mereka yang berpendapatan rendah, rata-ratanya menetap di luar bandar, namun era kini menunjukkan persekitaran yang berbeza. Masih ramai kalangan rakyat di bandar yang mendapat gaji atau pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,500 sebulan.

Justeru, jurang berkenaan perlu dirapatkan bagi mengelakkan kesan tekanan yang terpaksa dirasai kumpulan B40 di bandar. Sudah pasti dalam mencapai sasaran ini, aspek pendidikan menjadi kunci utama. Kumpulan B40 perlu dipastikan mendapat pendidikan yang sempurna dan menyeluruh.

Anak mereka perlu diberi peluang dan bantuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, sama ada di dalam atau luar negara. Tanpa pendidikan yang sempurna, sukar bagi kumpulan ini keluar daripada kepompong sedia ada atau sekurang-kurangnya membina peluang baharu untuk mensejahterakan hidup dengan memperoleh pendapatan yang tinggi.

Dengan pendidikan sempurna, masyarakat mampu mendapat manfaatnya. Sebab itu, pelaburan dalam bidang pendidikan bukanlah satu yang sia-sia. Dari aspek gejala rasuah pula, tindakan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani kes rasuah sehingga mendapat perhatian di media massa, sedikit sebanyak berjaya mengurangkan tindak-tanduk rasuah dalam kalangan kelompok sasaran.

Ini juga memberi gambaran yang positif apabila tindakan sedemikian kini berjaya menambah rasa takut dalam kalangan rakyat untuk mencuba atau terbabit dengan rasuah. Dalam sektor awam, ini memberi rangsangan yang baik kepada mereka untuk mengawal dan menghindari sebarang perilaku yang boleh menjurus kepada elemen salah laku.

Saya percaya, tahap ketakutan sudah mula ada dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat, menyebabkan mereka kini lebih berhati-hati. Jadi, tindakan dan pengawalan SPRM dalam aspek berkenaan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kita menghukum seseorang itu, namun pada masa yang sama, kita mendidik masyarakat yang lain sehingga sampai ke tahap di mana nilai integriti begitu dipandang tinggi setiap individu di negara ini.

Kerajaan peruntuk perbelajaan besar

Bidang kesihatan antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberi perhatian dalam NTP. Kerajaan juga sudah memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang ini, termasuk subsidi untuk ubat-ubatan dan kos rawatan tertentu di hospital.

Namun, keutamaan juga mesti diberi kepada kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. Maknanya, jika kerajaan dapat meningkatkan kualiti, contohnya mengurangkan tempoh menunggu atau tempoh janji temu dengan doktor pakar atau mempercepatkan urusan pemeriksaan doktor bagi pesakit luar, ia pasti mengundang maklum balas positif daripada rakyat.

Penilaian kepuasan rakyat tidak hanya berpaksi kepada jumlah subsidi yang diberi kerajaan, tetapi juga terhadap aspek kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada mereka. Akhir sekali adalah aspek pekerja asing. Malaysia diakui menerima kehadiran pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin yang begitu tinggi sejak beberapa tahun lalu.

Ini didorong oleh kerancakan projek pembangunan yang sedang dilakukan kerajaan bagi keselesaan rakyat. Biarpun begitu, masih menjadi keutamaan kerajaan untuk mengurangkan bilangan kumpulan berkenaan, terutama dalam sektor perkhidmatan.

Ketika ini, hampir keseluruhan sektor sudah mula diisi pekerja asing dan dengan bilangannya yang ramai, negara terpaksa menanggung ketirisan subsidi. Sebahagian warga asing membeli barangan yang diberi subsidi oleh kerajaan, tidak kurang juga yang menghantar wang diperoleh mereka hasil bekerja atau berniaga di Malaysia ke negara asal.

Semua ini sedikit sebanyak memberi kesan yang cukup signifikan terhadap ekonomi dan kewangan kerajaan serta negara.

Penulis adalah Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi Dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN)

 

Sumber: Berita Harian


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking