Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran

1.    LATARBELAKANG

Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan di Parlimen pada 24 April 2007 dan telah dikuatkuasakan sepenuhnya pada 28 Februari 2008. Pada 3 Ogos 2010, Parlimen telah meluluskan cadangan Kerajaan untuk meminda Akta ini bagi memasukkan kesalahan berhubung penyeludupan migran selain daripada meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan pemerdagangan orang. Pindaan ini telah mula berkuatkuasa pada 15 November 2010 dan Akta ini kini dikenali sebagai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.






2.     MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN

2.1.    Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran telah ditubuhkan selaras dengan Seksyen 6, Akta ini.

2.2    Majlis ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan dianggotai oleh Kementerian dan Agensi berkaitan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti berikut:
i.    Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri;
ii.    Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
iii.    Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia; 
iv.    Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan;    
v.    Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan;
vi.    Peguam Negara Malaysia;
vii.    Ketua Polis Negara;
viii.    Ketua Pengarah Imigresen;
ix.    Ketua Pengarah Kastam;
x.    Ketua Pengarah Penguatkuasaan Maritim Malaysia;
xi.    Wakil Kementerian yang bertanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri; 
xii.    National Council for Women Organisations (NCWO);
xiii.    Majlis Kanak-Kanak Malaysia (MKKM); dan
xiv.    Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).






Dua NGO baru yang mempunyai pengalaman dalam isu berkaitan penyeludupan migran akan dilantik sebagai ahli dalam masa terdekat.






2.3    Fungsi Majlis seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta adalah seperti berikut:

(a)    menyelaraskan pelaksanaan Akta ini;
(b)  merumuskan dasar dan program untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran;
(c)    merumuskan program perlindungan untuk orang yang diperdagangkan;
(d)    memulakan  program pendidikan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap punca dan akibat perbuatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran;
(e)    memantau corak imigrasi dan emigrasi di Malaysia bagi bukti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dan mendapatkan respons segera daripada agensi kerajaan yang berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan tentang masalah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang dibawa kepada perhatiannya;
(f)    menasihati Kerajaan mengenai isu pemerdagangan orang dan     penyeludupan migran termasuk perkembangan di peringkat antarabangsa terhadap perbuatan pemerdagangan orang dan  penyeludupan migran;
(g)    membuat syor kepada Menteri tentang segala aspek mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran;
(h)    menyelaraskan perumusan dasar dan memantau pelaksanaan dasar sedemikian ke atas isu-isu pemerdagangan orang dan  penyeludupan migran dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan;
(i)    bekerjasama dan menyelaraskan dengan kerajaan dan organisasi antarabangsa mengenai pemerdagangan orang dan penyeludupan migran;
(j)    mengumpul dan mengumpul semak data dan maklumat, dan memberikan kebenaran bagi penyelidikan, berhubung dengan mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan  penyeludupan migran; dan
(k)    melaksanakan apa-apa fungsi lain bagi pelaksanaan Akta ini dengan sewajarnya.




2.4    Lima (5) Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melaksanakan fungsi Majlis seperti berikut:


i.    Jawatankuasa Perundangan diketuai oleh Jabatan Peguam Negara
ii.   Jawatankuasa Penguatkuasaan diketuai oleh Polis DiRaja Malaysia
iii. Jawatankuasa Perlindungan dan Pemulihan Mangsa Pemerdagangan Orang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
iv.    Jawatankuasa Media dan Publisiti diketuai oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; dan
v.    Jawatankuasa Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh diketuai oleh Kementerian Sumber Manusia.






2.5    Terdapat 5 Agensi Penguatkuasaan yang telah dilantik untuk melaksanakan Akta ini seperti berikut:

i.    Polis DiRaja Malaysia;
ii.    Jabatan Imigresen Malaysia;
iii.    Kastam DiRaja Malaysia;
iv.    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; dan
v.    Jabatan Tenaga Kerja.