Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Rangka Pelan Pendidikan Baru Perlu Bersifat Holistik

Langkah kerajaan untuk membentuk Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara merupakan satu langkah responsif ke arah memantapkan pendidikan negara selari dengan perubahan dunia pendidikan global yang semakin dinamik sifatnya.

Kini, Kementerian Pelajaran sedang mengadakan beberapa siri dialog peringkat kebangsaan bagi mengumpul maklum balas pelbagai pihak mengenai penilaian mereka terhadap sistem pendidikan negara yang kemudian dijadikan input penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara.

Perubahan dalam dunia pendidikan hari ini adalah penyesuaian bagi menghadapi proses globalisasi di abad ke-21 ini.

Justeru, Malaysia yang kini sedang rancak melaksanakan transformasi perlu melakukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan negara hari ini mesti mampu melahirkan modal insan berkualiti supaya dapat bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif.

Pada dasarnya perubahan pendidikan global hari ini menghendaki kita melahirkan generasi yang berbakat, menguasai pelbagai kemahiran, kreatif, inovatif dan berkeupayaan menguasai teknologi maklumat serta berketerampilan dalam aspek komunikasi.

Ini penting supaya mereka tidak menjadi manusia yang kaku apabila berhadapan dengan cabaran dan masalah, terutamanya dalam dunia kerjaya.

Oleh itu, pada hemat penulis, Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik perlu menekankan aspek pembangunan bakat secara tuntas yang diseimbangkan dengan pembangunan tradisi pendidikan, iaitu pembangunan intelek.

Pelan pendidikan baru itu juga perlu merangka strategi pendidikan yang dapat melahirkan pelajar yang memiliki sifat keusahawanan yang kreatif dan inovatif di samping kemampuan untuk berfikir secara kritis dan analitis.

Memang tidak dinafikan bahawa pendidikan nasional yang sedia ada sudah menekankan pembangunan insan yang seimbang, namun kita masih ketinggalan dalam menekankan perkara-perkara yang penulis sebutkan itu.

Ini disebabkan sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan serta mengutamakan pencapaian akademik. Kesannya, kebanyakan pelajar yang kita lahirkan bersifat beku dan kurang responsif terhadap perubahan persekitaran serta tidak berdaya saing dalam pasaran kerja.

Justeru, kerangka pelan pendidikan baru itu mesti lebih bersifat transformatif dan berwawasan. Perubahan dalam bidang pendidikan banyak dikaitkan dengan pandangan Jean Francois Lyotard. Dalam bukunya The Postmodern Condition (1984), Lyotard menjelaskan bahawa perkembangan pendidikan masa kini adalah untuk memenuhi cita rasa ekonomi dan  budaya pasca moden. Beliau menyebut status ilmu pengetahuan akan diubahsuai selari dengan keadaan budaya masyarakat pascamoden.

Satu ciri dominan pascamoden ialah penumpuan kepada penggunaan teknologi maklumat dan negara-negara akan bersaing untuk menguasai dan mengawal maklumat. Proses transmisi ilmu pengetahuan yang terdapat dalam sistem jaringan akan mengatasi peranan professor atau guru. Justeru, pendidikan abad ini perlu menyesuaikan diri dengan trend berkenaan.

Justeru, pada hemat penulis kerangka pelan pendidikan baru itu nanti mesti memberikan fokus mengenai meneliti dasar liberalisasi dan pengkomersialan pendidikan di negara ini supaya ia berada dalam arah yang betul dan dapat mendukung aspirasi nasional.

Apa pun setiap perkembangan baru itu tetap ada kebimbangan yang dicetuskan dalam minda kita. Kebimbangan kita ialah sekiranya perubahan pendidikan yang ingin kita laksanakan itu lebih mengutamakan kehendak kaum kapitalis yang mementingkan keuntungan semata-mata akan menyebabkan generasi yang kita lahirkan hasil dari pendidikan itu akan hanya menjadi ‘penakluk’ alam dan bukannya pengurus yang bertanggungjawab terhadap keharmonian alam sekelilingnya.

Pendidikan yang dikembangkan seharusnya dapat menanam dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan teknologi serta etika dan estetika ke dalam sistem sosial masyarakat sesuai dengan tuntutan perkembangan zaman tanpa mengubah peradaban masyarakat dan meleburkan  jati diri bangsa.

Justeru, pelan pendidikan baru yang akan dirangka nanti perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap isu ini. - BH 19 Jun 2012
PENULIS ialah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan