Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pencerobohan Sabah Uji Semangat Patriotisme Rakyat

Pencerobohan bersenjata yang mendakwa sebagai pengikut Jamalul Kiram di Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah menguji semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat Malaysia. Malangnya, sejak awal-awal lagi insiden itu berlaku ia sudah dipolitikkan oleh pihak tertentu hingga mengelirukan pemikiran rakyat.

Ia diburukkan lagi dengan pelbagai ulasan dari sumber yang tidak sahih yang disebarkan melalui media sosial. Pelbagai persepsi yang tidak tepat dan mengelirukan disebarkan oleh mereka yang ghairah menjadikannya sebagai bahan dan modal politik, pada hal apa yang berlaku di Sabah itu membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sepatutnya, dalam keadaan seperti ini seluruh rakyat berusaha mendapatkan sumber maklumat yang autentik, iaitu dari pihak keselamatan negara yang disebarkan dari masa ke semasa melalui media-media utama negara ini. Apa yang penting ialah dalam keadaan yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara, seluruh rakyat wajar meletakkan kepercayaan penuh kepada pasukan keselamatan kita yang menjadi tulang belakang mempertahankan tanah air.

Bukan lagi sandiwara

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Sabah itu adalah realiti dan bukannya satu sandiwara atau drama seperti yang dituduh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Golongan terbabit terlalu asyik melihat sesuatu itu dengan kaca mata politik yang penuh sangkaan buruk. Benarlah apa yang dinyatakan Najib bahawa mereka yang menganggap pencerobohan pengganas di Sabah itu sebagai sandiwara adalah manusia yang sangat keji dan hina.

Apakah lapan perwira negara yang terkorban dalam tragedi itu adalah sandiwara kerajaan? Ianya satu tuduhan liar yang boleh memecahkan semangat solidariti dan patriotisme rakyat kita terhadap ancaman kedaulatan negara. Mungkin mereka yang membuat tuduhan liar itu mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh itu?

Keadaan yang berlaku ekoran pencerobohan pengganas di Sabah mendapat liputan meluas dalam dan luar negara sejak awal lagi sehingga rakyat dikelirukan pelbagai sumber yang bermotifkan politik. Maklumat dalam media sosial serta permainan politik pihak tertentu dalam isu pencerobohan bersenjata di Sabah berjaya melemahkan semangat patriotisme sebahagian rakyat kita, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Penceroboh dilabel pengganas

Mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani isu terbabit juga adalah sesuatu yang tidak wajar. Seharusnya mereka yang mempertikaikannya memahami bahawa kerajaan perlu bertindak mengikut pendekatan yang betul. Pastinya langkah pertama ialah pendekatan perundingan perlu dijalankan bagi memberi peluang kepada penceroboh terbabit menyerah diri atau meninggalkan Sabah.

Peringkat atau pendekatan pertama ini memerlukan penglibatan pasukan polis kerana ia masih dikategorikan ancaman keselamatan dan situasinya ketika itu dinilai mampu dikawal dan diselesaikan melalui perundingan. Namun, apabila gerombolan penceroboh itu mula bersikap keras kepala dan tidak mahu menolak proses rundingan, malah pendekatan keganasan dilakukan mereka dengan menyerang anggota polis, maka pihak keselamatan negara perlu bertindak balas.

Apabila mereka bertindak ganas membunuh lapan pegawai anggota polis kita maka ia memerlukan pembabitan angkatan tentera pula bagi menangani situasi yang serius itu. Pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara langsung bermula kelmarin melalui ‘Ops Daulat’. ATM terpaksa bertindak kerana penceroboh itu sudah dilabelkan sebagai kumpulan pengganas yang mencabar kedaulatan negara.

Status penceroboh sebagai kumpulan pengganas diperakui bersama Malaysia dan Filipina. Justeru, negara berhak menyerang dan menumpaskan segera kumpulan pengganas terbabit agar keadaan kembali aman dan kedaulatan negara dipertahankan.

Seluruh rakyat Malaysia wajar menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dengan memberi sokongan padu kepada pasukan keselamatan negara .Kita mengharapkan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah akan segera berakhir dan keamanan kembali pulih. –BH 7 Mac 2013
______________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.