Rabu 23 January 2019
A- A A+

Elak Sambutan Syawal Bertukar Tragedi - “Masyarakat Perlu Dididik Bahaya Bermain Mercun”

Saban tahun ramai anak-anak Melayu kita cedera akibat bermain mercun dan bunga api. Peristiwa malang ini biasanya akan berlaku pada setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Pada bulan ini ada saja tragedi mengenai kecederaan yang disebabkan pembakaran mercun dilaporkan di dada-dada akhbar-akhbar kita. Kejadian sedih ini tidak pula berlaku ketika sambutan Tahun Baru Cina sedangkan masyarakat Cina juga bermain mercun ketika menyambut tahun. Jarang sekali kita mendengar kes kecederaan dan kebakaran akibat pembakaran mercun ketika menyambut tahun Baru Cina.

Jika diteliti, kebanyakan kes kecederaan akibat bermain mercun yang menimpa anak-anak kita adalah akibat terkena serpihan mercun buatan sendiri. Biasanya mereka menggunakan batang besi atau buluh (meriam buluh) yang disumbat belerang. Inilah yang berlaku di Taman Bersatu, dekat Baling Kedah baru-baru ini. Dalam tragedi itu dua remaja berusia 13 dan 14 tahun menjadi mangsa mercun buatan sendiri dengan menggunakan besi paip yang disumbat belerang.

Mengancam nyawa

Mercun tergolong dalam kategori bahan letupan dan menghasilkan bunyi yang kuat dan bising. Oleh sebab mercun mendatangkan banyak kesan buruk maka ia diharamkan di banyak negara termasuk di negara kita. Antara keburukan mercun ialah boleh mendatangkan kecederaan sehingga ke tahap kecederaan parah dan mengancam nyawa. Ia juga mengganggu ketenteraman dan boleh menyebabkan kebakaran.

Sering kali kecederaan yang dialami itu adalah kecederaan parah yang boleh membawa kecacatan kekal seperti putus jari, mata menjadi buta atau melecur muka atau bahagian badan tertentu. Kebanyakan mangsa letupan mercun ini ialah kanak-kanak dan remaja. Kecederaan kekal yang dialami itu boleh menjejaskan masa depan mereka dan membuatkan menyesal seumur hidup.
Justeru, di negara kita Akta Bahan Letupan 1957 (Pindaan 1991) memasukkan mercun sebagai bahan letupan kecil yang diharamkan. Meriam buluh turut dikategorikan sebagai mercun buatan sendiri dan diharamkan penggunaannya.

Pengharaman pembakaran mercun seperti yang termaktub dalam itu dibuat selepas berlaku tragedi ‘Hiroshima Sungai Buloh’ pada 7 Mei 1991 yang mengorbankan 26 orang, manakala hampir 90 lagi cedera. Ia adalah peristiwa kebakaran sebuah kilang mercun terbesar di Sungai Buloh, Selangor.

Peristiwa itu diberi jolokan ‘Hiroshima Sungai Buluh’ kerana kebakaran kilang terbabit menggegarkan kawasan sekitar dan kesan gegaran dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi disebabkan kesan letupan 200 tan belerang yang amat dahsyat.

Sebenarnya pelbagai peristiwa sedih akibat bermain mercun dan bunga api yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan parah dan kerugian harta benda berlaku setiap tahun, iaitu ketika umat Islam di negara ini bersiap untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Malangnya, masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripada kejadian itu.

Masih ramai berdegil

Masih ada yang berdegil walaupun mereka tahu mercu itu bahaya dan diharamkan. Ramai ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bermain mercun. Kadang-kadang mereka merasakan tidak mengapa kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya tetapi mereka lupa bahawa malang itu tidak berbau. Jangan sampai sudah terjadi baru hendak menyesal kerana ketika itu ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Pada hemat penulis didikan dan peringatan tentang pengharaman dan bahaya bermain mercun mesti diperluaskan di media massa. Ia mesti dibuat dari sekarang di sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri. Ibu-bapa patut mengambil peduli dengan sentiasa memantau dan menasihati anak-anak remaja mereka tentang perkara ini. Orang dewasa juga patut menunjukkan contoh teladan dengan menghindarkan diri daripada bermain mercun.

Pihak berkuasa juga patut meningkatkan kawalan kemasukan mercun secara haram. Banyak mercun yang dijual adalah hasil seludupan mereka yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mercun yang dibawa masuk secara haram ini tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Kesalahan miliki mercun

Seksyen 42, Akta Bahan Letupan 1957 (Pindaan 1991) menyebut mereka yang disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport bahan mercun itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 pula menetapkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Jualan mercun yang tidak diluluskan ini akan menjadi semakin galak apabila hampir menjelang hari raya. Berbagai-bagai bentuk mercun seperti mercun roket, mercun robot, mercun bola dan pelbagai bentuk yang lain dijual secara berleluasa terutama di pasar malam.

Lupakan soal keselamatan

Mungkin kegembiraan ketika saat-saat menjelangnya hari raya menyebabkan semakin ramai yang melupakan tentang bahayanya mercun. Ketika inilah kita akan membiarkan anak-anak membeli dan bermain mercun yang boleh mendedahkan diri mereka kepada bahaya.

Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti meningkatkan pemantauan, kawalan dan tindakan yang wajar ke atas mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta terbabit. Antaranya langkah yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kehadiran polis (omnipresence) secara konsisten di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi pembakaran mercun.

Bukan tradisi Islam

Kita juga perlu sedar bahawa bermain mercun bukan budaya orang Islam. Ajaran Islam cukup jelas mengharamkan umatnya melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan atau kemudaratan kepada tubuh badan dan harta benda.

Justeru, kita tidak boleh terikut-ikut dengan budaya masyarakat Cina. Masyarakat Cina mempunyai kepercayaan tersendiri berkaitan pembakaran mercun. Mereka membakar mercun bagi menghalau atau menakutkan roh jahat. Pun begitu, masyarakat Cina semakin sedar tentang keburukan membakar mercun.

Malah, Singapura yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina telah mengharamkan pembakaran mercun sejak 1962 lagi. Kebenaran membakar mercun hanya mula diberi pada 2003 ketika musim perayaan mengikut syarat dan kawalan yang ditetapkan.

Justeru, umat Islam di negara kita perlulah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap keburukan pembakaran mercun dan bunga api. Jangan letakkan diri kita dalam kejahilan kerana pembakaran mercu tiada ada kaitan sama sekali dengan sambutan Aidilfiri.

Kesimpulan, mercun terutamanya jenis mercun yang diharamkan adalah bahan yang boleh mengundang bencana. Justeru, semua pihak mesti mempunyai kesedaran untuk menjauhi amalan bermain mercun.

Jika ingin bermain juga mercun sekadar menyemarakkan kegembiraan maka belilah mercun yang diluluskan oleh pihak berkuasa. Paling baik ialah tinggalkan tabiat bermain mercun. – BH 13/7/2013
________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking