Rabu 23 January 2019
A- A A+

Bantahan Pindaan Akta Pencegahan Jenayah Kena Rasional

Pada asasnya tujuan utama sesuatu undang-undang jenayah itu ialah untuk mencegah jenayah daripada berkembang dalam masyarakat. Namun, keberkesanan dalam membendung aktiviti jenayah, terutamanya jenayah berat bukan sahaja bergantung pada kecekapan dan komitmen anggota polis tetapi juga peruntukan yang terkandung di dalam undang-undang jenayah itu. 

Justeru, usaha kerajaan untuk meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 adalah untuk menjadikan akta terbabit berkesan bagi membendung aktiviti jenayah berat.

Malah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi juga pernah mengesyorkan supaya Akta Pencegahan Jenayah 1959 (disemak 1983) yang sedia ada diperbaiki supaya memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah berat.

Pihak yang menentang pindaan akta itu harus berfikir mana satu yang mereka mahu - kerajaan meminda akta terbabit untuk tujuan membendung jenayah berat atau kerajaan memperkenalkan satu akta baru serupa Akta Darurat (EO) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan pada 2011.

Sayugia diingat, sejak EO dimansuhkan pada 2011, lebih 2, 600 tahanan Simpang Rengga, Johor dibebaskan. Menurut polis, peningkatan jenayah berat yang berlaku sejak kebelakangan ini dikatakan ada kaitannya dengan penglibatan bekas tahanan EO itu.

Di bawah PCA sedia ada, siasatan perlu dijalankan bagi menentukan seseorang yang ditahan itu berada di bawah salah satu kategori tersenarai, iaitu: ahli kumpulan haram (kongsi gelap), seseorang menyertai kumpulan terbabit dalam aktiviti jenayah, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia dan perjudian atau mesin judi haram.

Siasatan terperinci

Namun, polis memerlukan penahanan pencegahan (“tahanan tanpa bicara”) bagi menahan seseorang individu yang disyaki. Ini bagi membolehkan polis mempunyai lebih masa untuk menyiasat secara terperinci penglibatan orang yang disyaki itu dalam aktiviti jenayah berat. Di bawah PCA sedia ada, polis terpaksa membawa tertuduh untuk didakwa dalam tempoh 24 jam.

Ketika EO masih berkuasa kuasa, polis menggunakan akta itu untuk menahan orang disyaki tanpa dibawa ke hadapan majistret selama 60 hari. Ini memberikan polis lebih banyak masa untuk menahan kes-kes terbabit. Sebaliknya, di bawah PCA seseorang itu boleh ditahan selama 28 hari dan sekiranya gagal membuat pendakwaan dalam tempoh itu, tertuduh akan dilepaskan oleh majistret.

Justeru, pindaan ke atas PCA perlu bagi memberi polis lebih kuasa. Namun, kuasa perintah tahanan itu diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah yang akan ditubuhkan di bawah rang undang-undang itu. Ia akan dipengerusikan sama ada oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi bersama dua anggota.

Antara kuasa yang dicadangkan untuk lembaga itu ialah mengeluarkan arahan penahanan tanpa bicara seseorang yang ditahan di bawah akta itu untuk tempoh tidak melebihi dua tahun, dan kuasa melanjutkan tempoh tahanan kepada dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah. Pun begitu, arahan tahanan oleh pihak lembaga terbabit boleh disemak semula di Mahkamah Tinggi.

Kes jenayah berat

Kesimpulan, usaha membendung jenayah berat adalah sesuatu yang penting dan ia memerlukan undang-undang yang dapat memberikan “taring” kepada polis. Namun, PCA yang akan dipinda itu hanya digunakan untuk menangani kes jenayah berat, bukannya untuk tujuan politik.

Seperti namanya, Akta Pencegahan Jenayah hanya digunakan polis untuk membanteras dan membendung aktiviti jenayah berat, bukannya untuk menahan sesiapa sesuka hati.
Justeru, di mana logiknya mereka yang menentang pindaan akta itu mendakwa polis akan menyalah gunakannya. Lagi pun arahan menahan tanpa bicara itu akan diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah yang akan ditubuhkan nanti.

Adakah mereka yang menentang itu mahu melindungi penjenayah berat di negara ini? Adakah hak penjenayah berat lebih penting daripada keselamatan orang ramai? – BH 3/10/2013
___________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking