Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Demonstrasi Jalanan Bukan Hak Mutlak

WARGANEGARA yang baik sentiasa menjauhkan di­ri daripada melakukan tin­dakan yang boleh merosakkan keharmonian ma­syarakat. Dia sedar bahawa tanggungjawab me­melihara nikmat perpaduan itu adalah penting. Antara ak­tiviti yang patut dijauhi adalah mengelakkan diri daripada me­nyertai demonstrasi jalanan.

Penulis tidak mengatakan ­ba­hawa rakyat tidak boleh berhimpun atau berdemonstrasi sama sekali kerana Akta Perhimpunan Aman 2012 memberi izin perhimpunan aman diadakan asalkan mendapat kebenaran pihak berkuasa keselamatan (Polis). Namun, sebelum memberikan kebenaran berhimpun, pihak polis pasti akan melihat dan menilainya dari banyak sudut. Jus­teru, jika tidak diizinkan atas sebab memelihara ketenteraman awam maka pihak penganjur mesti akur.

Sekiranya penganjur berdegil mengadakan perhimpunan maka ia dianggap sebagai perhimpunan haram dan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka yang terlibat. Rakyat pula harus menolak golongan bersikap keras kepala seperti ini yang gemar menggunakan pendekatan demonstrasi haram. Demonstrasi haram kemungkinan boleh bertukar menjadi ganas sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Dalam keadaan adanya ancaman kumpulan militan Daesh maka kemungkinan militan ter­babit mengambil kesempatan melakukan keganasan adalah sesuatu yang tidak mustahil. Malah, kumpulan ekstremis bersifat perkauman juga boleh mengambil kesempatan me­nyemarakkan api perkauman. Ini tidak mustahil berlaku kerana dalam perhimpunan haram yang dipenuhi dengan ucapan menghasut dan membenci pihak lain boleh bertukar kepada keganasan.

Amat malang bagi rakyat dan negara sekiranya perhimpunan yang dianjurkan secara haram itu bertukar kepada sesuatu yang bole mengganggu ketenteraman awam. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak keselamatan tidak membenarkan perhimpunan jalanan diadakan jika difikirkan ia boleh mengganggu ketenteraman awam. Hakikatnya, dalam perhimpunan haram anasir subversif boleh mengambil kesempatan untuk mencetuskan keadaan huru hara dalam masyarakat supaya mudah bagi mereka menjayakan agenda menggulingkan kerajaan.

Justeru, golongan pelampau yang keras kepala tidak boleh di­biarkan mempengaruhi ­psikologi, emosi dan minda rakyat kerana kesannya cukup mendalam. Iniboleh membawa kepada anar­kisme dan kehancuran negara.

Oleh itu, perhimpunan atau demonstrasi haram seharusnya dijauhi rakyat. Walaupun demonstrasi boleh digunakan sebagai satu cara untuk menyatakan perasaan, pendapat atau meluahkan fikiran secara terbuka, namun niat dan agenda sebenar penganjur juga mesti diambil kira. Jika ia mempunyai agenda meruntuhkan kerajaan sah yang dipilih rakyat atau perhimpunan itu dijangka boleh menyebabkan terjejasnya ketenteraman dan keharmonian masyarakat dan boleh meletakkan negara dalam kucar kacir maka ia patut dihalang.

Rakyat yang bijak tidak akan mudah termakan hujah bahawa demonstrasi jalanan adalah sebahagian daripada hak kebebasan yang diberikan perlembagaan negara. Perlu difahami bahawa persoalan berkaitan hak kebebasan seperti yang terkan­dung dalam Perlembagaan bukannya hak yang diberikan secara mutlak. Hak kolektif atau hak awam juga tidak harus diketepikan.

Justeru, di bawah Perkara 10(2-4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi tujuan mengenakan sekatan demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. Malah, Artikel 29(2) Piagam Mengenai Hak Asasi Manusia ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan oleh undang-undang bagi tujuan mengiktiraf dan menegakkan hak kebebasan orang lain, menjaga ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam sesebuah masyarakat demokrasi.

Ini bermakna sekiranya hak-hak kebebasan yang diamalkan itu boleh mengundang keburukan, kerajaan sewajarnya awal-awal lagi mengambil tindakan pencegahan terhadapnya. -  UM 24/8/2016

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia