Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Alasan Dangkal DAP Pertikai Sarawak Sambut 31 Ogos

Saranan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen (DAP) supaya kerajaan negeri Sarawak tidak lagi meraikan hari kebangsaan pada 31 Ogos jelas menunjukkan ahli perlimen itu tidak berjiwa kebangsaan. Kenyataan beliau itu disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada 1 September lalu. Sebagai rakyat Malaysia saya berasa amat kecewa kerana Dewan Negara kita mempunyai seorang ahli Parlimen yang berfikiran sempit dan tidak berjiwa nasionalis terhadap tanah air.  Kenyataan itu jelas menandakan bahawa parti cauvanis itu memang mempunyai sikap suka menghasut dan memecah belahkan negeri-negeri dalam persekutuan.

Menurut Chieng Jen, Sarawak sepatutnya menyambut hari kemerdekaannya pada 22 Julai. Chieng Jeng menggesa kerajaan negeri supaya tidak membazirkan dana awam untuk terus meraikan 31 Ogos dan mendesak kerajaan negeri untuk membuat keputusan mengenai kalendar sambutan kemerdekaan Sarawak. Alasan yang diberikan ahli Parlimen DAP itu sangat dangkal. Bukankah sambutan kemerdekaan merupakan perayaan kebangsaan Malaysia yang sudah menjadi acara tahunan kita saban tahun?

Dari segi roh kenegaraan, sambutan Hari Kebangsaan melambangkan kesepaduan dan semangat persekutuan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia. Mengapa ia harus dikelirukan sehingga boleh menimbulkan salah faham negeri-negeri dalam Persekutuan, khususnya rakyat negeri Sarawak?

Pada hemat penulis, kenyataan yang dibuat oleh ahli Parlimen DAP itu boleh dianggap sebagai satu hasutan yang boleh mendatangkan  mudarat kepada Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya seperti mana terkandung dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 149 adalah berkaitan undang-undang menentang perbuatan subversif, perbuatan yang memudaratkan Persekutuan, ketenteraman awan dan sebagainya.

Bagaimana sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos itu  boleh didakwa DAP sebagai tidak mempunyai kepentingan sejarah untuk Sarawak? Apa salahnya Sarawak yang sudah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia seperti terkandung dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan bersama negeri-negeri lain menyambut Hari Kebangsaan yang menjadi kebangaan kita semua ? Apa ruginya Sarawak?

Pemangkin proses dekolonialisme British

DAP atau mana-mana pihak yang mempertikaikannya harus ingat walaupun tarikh kemerdekaan Sarawak berbeza, namun kemerdekaan yang diperoleh Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah menjadi pemangkin yang mempercepatkan proses dekolonialisme British ke atas Sarawak. Apa tidaknya, melalui idea penubuhan Persekutuan Malaysia yang diketengahkan oleh Tunku Abdul Rahman, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura telah mendapat kemerdekaan lebih awal.

Ketika cadangan itu ditimbulkan Tunku pada 1961, Sabah dan Sarawak diletakkan dalam status cadangan negeri jajahan.  Singapura dan Brunei pula diletakkan sebagai negeri naugan. Namun, British berjanji akan memberikan kemerdekaan yang lebih awal sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia.

Gagasan Malaysia juga akan membawa kepada kestabilan politik kerana ketika itu wujudnya ancaman komunis yang serius di Sarawak. Satu pertubuhan sulit, iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak dalam kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani. Persatuan sulit itu telah menghasut masyarakat Cina menentang British sehingga Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) turut dipengaruhi komunis.

Walaupun kerajaan British melancarkan ‘operasi pisang’ untuk menyekat pengaruh komunis dalam  SUPP tetapi usaha itu gagal. Justeru, melalui gagasan Malaysia, Tunku Abdul Rahman percaya bahawa di samping dapat mempercepatkan kemerdekaan Sarawak, pengaruh dan ancaman  komunis dapat disekat.

Melalui kemerdekaan itu juga kaum bumiputera Sarawak boleh menikmati layanan yang lebih baik sebagaimana yang dinikmati oleh orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Penggabungan ini juga akan menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu daripada ancaman kuasa luar.

Justeru, apa salahnya Sarawak sebagai negeri dalam Persekutuan Malaysia sama-sama menyambut Hari Kebangsaan  pada 31 Ogos kerana dari segi semangatnya, kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 seolah-olah membawa kemerdekaan yang sama kepada Sarawak.

Kesimpulannya, pemimpin DAP Sarawak harus faham bahawa semangat solidariti dan kesatuan dalam Persekutuan adalah lebih aula atau utama daripada matlamat dan agenda politik adu domba mereka. DAP juga harus ingat bahawa pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Matlamat ini mesti dicapai melalui pemupukan semangat nasionalisme dan patriotisme yang bersifat nasional dan bukannya kenegerian. – BH 10/9/2016 (Ruangan Interaktif)

______________________________________________________________

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.