Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Sukarnya Menghukum Israel

TINDAKAN Israel menahan aktivis kemanusiaan kapal Zaytouna-Oliva yang membawa 13 aktivis wanita termasuk seorang doktor perubatan dari Malaysia, Dr. Fauziah Mohd. Hasan baru-baru ini membuktikan bahawa rejim zionis ini langsung tidak sensitif tentang soal kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza yang sudah dikepung sejak 2007. Walaupun kesemua aktivis sudah dibebaskan, namun tindakan rejim itu akan tetap diingati sebagai satu penindasan terhadap misi kemanusiaan.

Kapal Zaytouna-Oliva yang dalam rangka misi kemanusiaan untuk penduduk Gaza hanya membawa makanan dan ubat-ubatan sebagai usaha mengurangkan penderitaan yang dialami oleh penduduk Gaza. Ini bukan pertama kali Israel yang tidak mengenal erti kemanusiaan itu bertindak sedemikian.

Kapal yang dalam misi Wo­men’s Boat To Gaza (WBG) itu ditahan atas alasan kononnya menceroboh kawasan perairan Israel. Kapal yang ditahan itu ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod dan para aktivis kemanusiaan telah ditahan dan disoal siasat. Aktivis terbabit terdiri daripada rakyat Malaysia, Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia. Masyarakat dunia melihat penahan tidak sah itu suatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Persoalannya, mampukah masyarakat dunia menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak tegas ke atas Israel? Beberapa insiden yang lalu juga menunjukkan PBB tidak berupaya menghukum negara haram Israel itu. Pada Januari tahun lalu, tentera laut rejim Tel Aviv itu telah menghalang kapal Freedom Flotilla membawa 70 aktivis kemanusiaan yang mahu menjalankan misi kemanusiaan di Gaza.

Masalahnya Israel menganggap rakyat Palestin sebagai pengganas sedangkan mereka adalah rakyat yang ditindas, dijajah dan dibunuh sesuka hati.

Israel telah menggunakan tuduhan ‘pengganas’ sebagai justifikasi untuk menghalang misi kemanusiaan ke Gaza. Sudah tentu masyarakat dunia tidak lupa tindakan brutal tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang menjalankan misi bantuan kemanusiaan bagi penduduk Palestin di Gaza pada Mei 2010 sehingga mengorbankan 19 sukarelawan dan mencederakan 50 yang lain yang kehadiran mereka di atas kapal itu hanyalah untuk misi kemanusiaan bagi membantu meringankan beban penderita­an rakyat Palestin.

Memang jika dilihat tindakan keganasan yang dilakukan Israel selama ini, jelas menunjukkan bahawa rejim zionis itu dilin­dungi oleh kuasa besar tertentu seperti Amerika Syariakt (AS), Britain dan Perancis. Negara-­negara tersebut adalah negara yang terlibat dalam rangka membina negara zionis Israel di bumi Pa­lestin sejak tahun 1948 lagi.

Selama ini, lebih 50 resolusi PBB telah dibuat bagi menentang penindasan dan kekejaman Israel, namun semuanya tidak memberi kesan apa-apa. Israel terus kebal. Malah setiap kali resolusi dikeluarkan, tentera zio­nis tetap meneruskan siri kekejaman dan penindasan ke atas penduduk Palestin, termasuk menceroboh kediaman mereka sesuka hati.

Negara-negara Islam pula tidak bersatu dalam usaha memberi tekanan kepada Israel. Jus­teru, kita tidak nampak kemampuan negara-negara Islam untuk ‘memujuk’ PBB mengambil tindakan terhadap Israel apatah lagi menyingkirkan ‘negara’ itu. Walaupun Israel telah kerap kali gagal menghormati resolusi-resolusi yang dikeluarkan oleh badan dunia itu, nampak seolah-olah tidak ada apa-apa.

Namun masyarakat dunia tidak wajar berputus asa.Sebaliknya harus terus memperkukuh iltizam serta membentuk solida­riti yang lebih kuat bagi menghentikan kezaliman zionis Israel di bumi Palestine.

PBB pula sebagai badan yang menjaga keamanan dunia, mene­gakkan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa perlu lebih tegas terhadap Israel.

Dalam konteks ini, peranan Majlis Keselamatan PBB sangat penting menjayakan harapan ini. Majlis Keselamatan PBB sebenarnya sudah boleh mempertimbangkan Artikel 6 Piagam PBB 1945 yang dengan jelas menyatakan bahawa mana-mana anggota yang telah secara berterusan me­langgar prinsip yang terkandung dalam piagam itu boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor Majlis Keselamatan.

 

Penulis ialah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.