Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Usah Biarkan Bahasa Melayu Dirundung Malang

KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Ia diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan Akta Pendidikan 1996. Maknanya, pemartaban bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah bermula sejak 1957 lagi. Namun, di mana silap­nya? Setelah hampir enam dekad negara merdeka, kita masih berhadapan dengan persoalan me­ngenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bukankah kedudukan dan peranannya sudah jelas sebagai bahasa penyatuan rakyat, bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran kerajaan dan juga bahasa ilmu? Mengapa masih ada pihak yang sentiasa mempertikainya?

Oleh sebab banyaknya permainan ‘politik bahasa’ maka kedudukan bahasa Melayu yang dulunya kelihatan sudah mantap kembali lemah perlahan-lahan sehingga isu ini kembali membebankan pejuang-pejuang bahasa untuk membugarkan semula tenaga perjuangan mereka. Namun, pejuang-pejuang bahasa tulen kita semakin berkurangan. Pejuang-pejuang bahasa terdahulu ramai yang sudah pergi meninggalkan kita. Hanya tinggal saki baki yang kudrat mereka juga sudah lemah dimamah usia.

Sasterawan muda hari ini tidak seperti dahulu yang gigih memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Memang masih ada suara itu tetapi ia tidak segigih dulu. Demikian juga peranan akhbar Me­layu dulu sangat komited memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sejak sebelum merdeka lagi akhbar Melayu khususnya Utusan Melayu telah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran British.

Mutakhir ini, pelbagai pihak yang bersikap anti bahasa Melayu semakin berani mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pelbagai alasan remeh dikemukakan oleh pihak terbabit. Mereka lebih cenderung mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahawa utama bagi menggantikan bahasa Melayu. Sikap mengagungkan bahasa Inggeris inilah menjadi penghakis dan kemerosotan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Golongan yang ‘bermusuh’ dengan bahasa kebangsaan langsung tidak mempedulikan bahawa secara perundangannya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dicabar dan dipertikaikan. Mereka lupa bahawa kedudukan bahasa kebangsaan itu tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Bukankah pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 telah me­netapkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan dan mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Ia juga selari dengan Perkara 10 (4) yang meletakkan bahasa Me­layu sebagai perkara yang sensitif dan dilarang daripada dibahaskan di tempat awam (terbuka).

Namun, mereka tidak peduli itu semua, tidak peduli tentang undang-undang bahasa mana­kala orang politik dan mereka yang berkuasa juga tidak mementingkan sangat kedudukan bahasa kebangsaan. Kita mahu menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Justeru, apa pentingnya bahasa Melayu yang dianggap tidak bernilai ekonomi itu?

Itulah antara alasan yang biasa dilontarkan oleh mereka yang tidak mesra penggunaan bahasa kebangsaan. Setakat ini mana ada mana-mana pihak atau individu yang telah terang-terang mencabar dan mempertikaikan kedudukan bahasa kebangsaan didakwa dan dikenakan hukuman. Jika ada pun hanyalah yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang pengiklanan. Tidak lebih dari itu.

Wujudnya ‘trend’ penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan ‘stratifikasi sosial’ di mana bahasa kebangsaan hanya digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.

Sememangnya, kita wajar menguasai bahasa Inggeris kerana ia diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Namun, elemen pat­riotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan bahasa penyatuan rakyat perlu ada dalam setiap sanubari rakyat.

Memang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berusaha sekuat kudrat yang ada padanya untuk menobat dan mempertahankan martabat bahasa Melayu. Namun, jika dulu suaranya didengar dan diterima tetapi hari ini suara yang diluahkan oleh institusi bahasa itu habis di bilik-bilik seminar sahaja. Tidak banyak yang dipakai.

Ahli-ahli politik kita lebih gemar beretorik mempamerkan semangat memperjuangkan bahasa apabila dijemput memberi ucapan perasmian. Namun, realiti yang terhidang di depan mata adalah kebanyakan ahli politik kita lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau ‘bahasa campuran’ termasuk ketika diwawancara media tempatan.

Pernah juga dibangkitkan bahawa terdapat agensi kerajaan yang mencuba menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasminya. Mujurlah ada pihak yang cepat mengesan dan menegurnya. Memang tidak dapat di­nafikan bahawa berdasarkan Seksyen 4 Akta Bahasa, penggunaan bahasa kebangsaan boleh di­kecualikan dalam urusan rasmi kerajaan hanya untuk tujuan diplomatik dan latihan yang dijalankan oleh pakar-pakar asing. Hanya itu sahaja yang diberi pengecualian tidak dalam urusan-urusan rasmi kerajaan yang lain.

Demikian juga usaha menobatkan bahasa Melayu di Sarawak kelihatannya terus menjadi sukar apabila kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan menjadi bahasa rasmi selain bahasa Melayu. Kononnya hak autonomi berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda negeri-negeri tersebut terkandung dalam Memorandum Perkara 18/20 yang dikemukakan Sabah dan Sarawak ketika bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia (Persekutuan Malaysia) pada 1963 terus dijadikan hujah untuk mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris di negeri tersebut. Ini menjadi cabaran besar buat DBP Cawangan Sarawak (DBPCS) untuk meneruskan ama­nah memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di negeri itu.

Kesimpulannya, usaha me­mar­tabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan menjadi semakin mudah tetapi semakin sukar. Golongan yang taksub memperjuangkan bahasa Inggeris semakin berani mencabar kedudukan bahasa kebangsaan sehinggakan peruntukan-peruntukan berkaitan martabat bahasa kebangsaan di dalam Perlembagaan tidak dipedulikan sama sekali. Bahasa Melayu yang adalah penyatuan rakyat semakin dipinggirkan.

Kelihatannya krisis peminggiran ini dibiarkan begitu sahaja tanpa usaha konkrit dilakukan. Justeru, ingatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di DBP baru-baru ini yang mahukan kerajaan lebih bijaksana melakukan berimbangan bagi memastikan bahasa Melayu tidak tergadai harus diberi perhatian serius.

 

Penulis ialah Penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.