Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Bajet Berhemah Untuk Rakyat Bukti Kewangan Kukuh

Bajet 2017 yang bersifat pemusatan kepada rakyat membuktikan bahawa kerajaan komited untuk mensejahterakan rakyat biarpun kerajaan berdepan cabaran ekonomi global tidak menentu. Walaupun anggaran cukai pendapatan petroleum dijangka merosot daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion pada 2016, namun hasil kerajaan masih meningkat RM219 bilion.

Penstrukturan semula dasar fiskal termasuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) banyak menyumbang hasil kerajaan. Kegigihan serta inisiatif stimulus ekonomi dan tujuh pakej bajet yang dilaksanakan sebelum ini telah meletakkan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan stabil dan kekal di landasan positif.

Ekonomi negara berkembang secara mampan dan masih berdaya saing. Mengikut ukuran kesamarataan kuasa membeli (purchasing power parity), Malaysia telah menjadi sebuah negara pendapatan sederhana tinggi (upper middle income), mengatasi banyak negara di Asia dan beberapa negara di luar rantau ini. KDNK per kapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada AS$23,100 pada 2012, kepada AS$26,891 pada 2015.

Bajet yang menekankan perbelanjaan berhemah itu memberikan kebaikan kepada semua lapisan masyarakat. Prinsip penting yang ditekankan dalam Bajet 2017 ialah “kebahagiaan masyarakat”. Ini selari dengan falsafah yang terkandung dalam Bajet 2017, iaitu mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa dan memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.

Selain itu, kesejahteraan hidup rakyat dengan menikmati alam sekitar yang bersih, kehidupan yang aman daripada jenayah serta kehidupan masyarakat dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna warni akan terus dipertahankan.

 

Terus laksana projek ‘berpaksikan rakyat’

Bajet juga menekankan pencapaian pendidikan berkualiti, khidmat kesihatan yang terjamin, perumahan rakyat yang lebih meluas, akses kepada pengangkutan awam yang efisien, pembangunan infrastruktur luar bandar, memperluas rangkaian jalur lebar, mempertingkat keselamatan dan pertahanan nasional serta membangun golongan usahawan.

Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan projek dan program ‘berpaksikan rakyat’ di bandar dan luar bandar membabitkan pemasangan lampu jalan (97,000), lampu LED di 7,500 kampung, menaik taraf jalan kampung , pekan dan bandar (616km), membina dan membaik pulih rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan orang asli (17,000), penyelengraan jalan negeri (RM4.6 bilion), bekalan elektrik luar bandar (10,000 rumah), Projek Mesra Rakyat seperti naik taraf, bina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil, Rancangan Tebatan Banjir (69 projek).

Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM300 juta untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia bagi membaik pulih kemudahan kawasan flat dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar. Bekalan air untuk rakyat juga dipertingkatkan melalui geran (156 juta), Tabung Bekalan Air (RM500 juta) dan pinjaman naik taraf sistem bekalan air (RM509 juta).

Dari segi bantuan secara langsung pula, pelbagai program bantuan rakyat yang dilaksanakan dalam siri-siri bajet sebelum ini diteruskan, malah ditambah jumlah bantuan, selain memperkenalkan beberapa skim baharu. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi semua katogeri penerima dinaikan. Pelbagai insentif lain turut disediakan untuk meningkatkan pendapat golongan berpendapatan rendah (B40).

Perumahan rakyat turut diberi perhatian dalam Bajet 2017. Antaranya skim atau program yang akan dilaksanakan ialah ‘MyBeutiful New Home’ sebanyak 5,000 unit akan disediakan berharga RM40,000-RM50,000 seunit. Melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula kerajaan akan membina 9,850 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga jualan RM35,000-RM42,000.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan tanah di lokasi strategik kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina lebih 30,000 unit rumah dengan harga RM150, 000-RM300,000. Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM200 juta untuk Syarikat Perumahan Negara Berhad (PNB) membina 5,000 unit Rumah Mesra Rakyat dengan subsidi kerajaan RM20,000 seunit.

Sebenarnya banyak lagi kumpulan lain dalam masyarakat yang mendapat faedah dari Bajet 2017 merangkumi kumpulan petani dan nelayan, golongan muda, pelajar, guru, penjawat awam, generasi kedua Felda, Felcra dan Risda, pemandu teksi, usahawan, karyawan, kanak-kanak, warga emas dan OKU.

Wawasan baharu – TN50

Selain mengetengahkan perkara-perkara berkaitan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, Bajet 2017 turut mengetengahkan wawasan baharu yang dinamakan Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50). Ia menjadi harapan masa depan Malaysia sebagai mana disebut Najib, "TN50, inilah azimat kita mulai kini, biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui".

TN50 bertujuan mencorakkan masa depan Malaysia.  TN50  akan menjangkau tiga dekad bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence (berminda cemerlang)  

Menurut Najib, TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional yang dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dinaungi sendiri oleh Najib selaku Perdana Menteri. Harapan beliau biarlah TN50 ini menjadi saksi bahawa kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab dalam mewariskan yang terbaik dan terhebat, diperturunkan kepada generasi pada masa depan.

Kesimpulannya, Bajet 2017 adalah bajet yang memberi keutamaan kepada kesejahteran dan kebahagian rakyat. Pelbagai insentif yang diberikan kepada rakyat membuktikan bahawa kedudukan kewangan kerajaan masih kukuh kesan daripada penstrukturan semula fisikal negara yang membabitkan penstrukturan semula subsidi dan penstrukturan semula sistem percukian negara. 

Selain itu asas ekonomi negara yang kukuh yang diperkuatkan dengan pembangunan 12 Bidang Ekonomi Utara Negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah menjadikan ekonomi Malaysia berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu. – BH Interaktif 27/10/2016

 

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia